Monday, June 6, 2011

Futuristik dalam elemen tradisional




MEREKA bukan pertama kali menyertai persembahan fesyen dan memperkenalkan hasil rekaan pelbagai tema, tetapi kegusaran tetap timbul saat kaki melangkah ke dewan persembahan fesyen yang berlangsung di Harris Hotel and Conventions Kelapa Gading, Jakarta minggu lalu.

Berbekalkan pengalaman yang ada, tiga pereka Malaysia, iaitu John Paris, Khalik Mustafa dan Lorenzo Peh kemudian segera melupakan debaran tersebut untuk menjayakan misi mereka di Jakarta. Pengalaman menyertai banyak persembahan fesyen, menghasilkan rangkaian busana dan memiliki signatur tersendiri berjaya mengangkat nama mereka sebaris dengan kalangan 17 pereka muda yang beraksi di pentas fesyen itu.

Biarpun dikelilingi kumpulan pereka muda Indonesia yang tidak kurang hebatnya, peserta Malaysia bukan sahaja dapat memperkenalkan rekaan mereka dengan penuh yakin tetapi dalam masa sama memukau kalangan pencinta fesyen di Jakarta.

Tiga pereka, tiga tema

John Paris yang kini memiliki butik fesyen Conteng di Amcorp Mall, Petaling Jaya sudah dikenali dan menjadi fenomena dalam kalangan penggemar fesyen batik di Malaysia. Pada Festival Fesyen dan Makanan Jakarta 2011 (JFFF2011) beliau mempersembahkan karya futuristik batik yang merupakan interpretasi romantisisme abad ke-19.

Khalik Mustafa pula yang merupakan pensyarah fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempersembahkan koleksi Melayu kontemporari bertemakan identiti yang menggabungkan elemen sarung tradisional Melayu, songket dan ikat.

Lorenzo Peh pula tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan penggemar fesyen di Malaysia. Dia begitu diminati melalui hasil karya kreatif yang telah melayakkannya menerima pelbagai anugerah fesyen dalam pelbagai pertandingan fesyen bagi pereka muda di Malaysia.

Pada JFFF2011, Lorenzo Peh mempertaruhkan koleksi terbarunya iaitu Urban Tribe yang merupakan inspirasi kostum tarian suku kaum di Timur Malaysia.

Dia menggabungkan cetakan, ton warna asas bumi dan motif lukisan tangan yang diinterpretasi melalui rekaan moden dan savvy untuk mencipta rupa urban tribal dalam rekaannya.

John Paris ketika ditemui memberitahu, dia berpeluang menyertai JFFF2011 selepas bernaung di bawah Yoda bermula tahun lalu.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan khas dalam bidang fesyen, lulusan jurusan Teknologi Maklumat Kolej Sal di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bertekad untuk bergelumang dalam bidang fesyen secara serius.

“Saya gemar memberikan sentuhan futuristik kepada koleksi rekaan saya yang banyak dihasilkan menggunakan fabrik tradisional terutama batik. Justeru, saya mahu memperkenalkan keunikan rekaan ini ke pentas JFFF2011.


BARISAN pereka Malaysia dan Indonesia yang mempersembahkan karya mereka pada Festival Fesyen dan Makanan Jakarta 2011 minggu lalu.


“Pada JFFF2011, saya mempersembahkan 12 karya futuristik batik,” katanya.

Tambah John Paris, selain dapat memperluaskan minda dan mempelajari rentak industri fesyen Indonesia, dia gembira kerana dapat mengenali ramai pereka fesyen Indonesia sekali gus dapat bertukar-tukar fikiran mengenai fesyen.

“Saya mendapat banyak tip untuk mencipta rekaan-rekaan baru sepanjang menyertai JFFF2011, tetapi mestilah disesuaikan dengan atmosfera Malaysia,” katanya.

Khalik Mustafa yang menyertai Yoda pada tahun 2009 pula berkata, dia mahu menyampaikan budaya Melayu melalui rekaan-rekaan bertemakan identiti yang dibawakan khas untuk pentas JFFF2011.

“Saya mempertaruhkan 10 karya yang disiapkan hanya beberapa minggu sebelum menyertai JFFF2011. Tetapi, penyertaan saya bukan semata-mata memperkenalkan rekaan tetapi mencari idea baru daripada industri fesyen luar yang jauh berbeza dengan Malaysia.

“Saya mengagumi rekaan Indonesia yang kaya dengan perincian, teknik jahitan yang bagus, kualiti fabrik dan rekaan busana mereka yang sukar dibandingkan dengan industri fesyen negara lain,” katanya yang turut berpeluang menyertai minggu fesyen di Bangkok.

Lorenzo Peh pula memberitahu, dia lega kerana usahanya menghasilkan rekaan bertemakan Urban Tribe berjaya menarik minat pihak penganjur JFFF2011 dan berpeluang ditemu bual wartawan fesyen Indonesia.

“Selain berpuas hati dengan koleksi Urban Tribe ini, saya begitu tertarik dengan warna dan perincian yang ditampilkan pereka muda Indonesia.

“Ia memberikan saya banyak inspirasi untuk lebih maju dalam bidang fesyen dan rekaan kreatif serta telah mendedahkan saya dengan dunia fesyen luar yang masih banyak perlu saya pelajari,” katanya.

Pengasas Yoda Malaysia, Baizura Tazri memberitahu, penyertaan peserta Malaysia ke JFFF2011 bukan bertujuan menandingi rekaan fesyen Jakarta pada pentas persembahan berkenaan tetapi bagi membuka mata mereka kepada karya-karya luar dan mempelajari selok belok bidang fesyen yang tidak terbatas.

Kolaborasi

“Tujuan kolaborasi ini adalah bagi mencipta platform kepada pereka-pereka muda ini untuk memperkenalkan bakat mereka kepada industri fesyen Jakarta dan mencipta hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.


LORENZO Peh bersama busana rekaannya yang dipamerkan di ruang pameran.


“Ini adalah peluang yang baik untuk mereka mempromosikan label mereka di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah Baizura, Yoda Malaysia telah melebarkan sayapnya ke Thailand, Vietnam dan kini Indonesia. Sokongan yang diterima dari ketiga-tiga negara tersebut sangat luar biasa dan Yoda bertekad untuk terus melebarkan sayapnya ke seluruh negara Asia Pasifik sebelum menembusi peringkat dunia.

Sementara itu, 14 pereka Indonesia yang berentap pada pentas visionaire JFFF2011 termasuklah Ivan Gunawan, Ichwan Thoha, Ina Thomas, Erdan, Yudhistira, Yoyo Prasetyo, Andy Salleh dan Rena Laksita.

Pengasas Yoda Indonesia, Andy Salleh berkata, dia mengagumi hasil rekaan pereka Malaysia tetapi masih ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki untuk lebih maju sebelum mereka menyertai lebih banyak pentas minggu fesyen.

“Setiap rekaan yang dihasilkan untuk tujuan komersial dan persembahan harus ada pemisahan kerana untuk persembahan, perlu ada elemen dramatik dan glamor tetapi tidak keterlaluan.

“Pereka juga mesti memastikan ukuran rekaan menepati standard persembahan fesyen supaya ia kelihatan cantik dan selesa di tubuh model kerana rekaan yang tidak selesa akan menjejaskan mood mereka,” katanya.

Tambahnya, persediaan yang cukup perlu bukan sahaja daripada segi rekaan tetapi pemilihan aksesori yang bersesuaian dan praktikal untuk persembahan supaya tidak mengganggu masa dan jadual persembahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: