![]() |
| Ras Adiba Radzi tetap gigih memperjuangkan seni lagu puisi bersama rakan-rakannya. |
SEPULUH tahun menyepikan diri dari dunia puisi lantaran ketidakupayaan yang dihadapinya, personaliti Ras Adiba Radzi kini kembali aktif untuk memartabatkan puisi menerusi siri jelajah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Merancang memulakan penjelajahan mendendangkan lagu puisi ke beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) terpilih tidak lama lagi, Ras Adiba atau lebih mesra dengan panggilan Dib berharap, cabang seni tersebut berjaya mendapat tempat di hati generasi muda.
Ketika ditemui pada persembahan menyampaikan lagu puisi di Bangunan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia meluahkan kekecewaannya terhadap sambutan pendengar ke atas lagu puisi.
"Zaman sekarang, lagu-lagu puisi seperti mana yang diperjuangkan oleh kumpulan Kopratasa, Ramli Sarip dan beberapa artis lain agak sukar untuk mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.
"Mungkin mereka merasakan sifat lagu tersebut yang tidak komersial dan tidak boleh cari makan dengan menyanyikan lagu berkonsep berkenaan.
"Bagaimanapun, pada pandangan saya, lagu-lagu sebegini mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan mempunyai kelompok peminat yang tertentu walaupun ia tidak seramai pencinta muzik pop," jelas Dib yang anggun dalam persalinan kurung biru firus itu.
Berbalik kepada perancangannya untuk menerapkan nilai-nilai seni puisi di kalangan jiwa anak muda, dia memberitahu, buat masa sekarang, pihaknya masih belum lagi menyenarai pendekkan senarai IPT yang ingin dikunjungi kelak.
Tambahnya, persembahan di lobi bangunan berkenaan adalah langkah pertama buatnya setelah lama berehat dan akan disusuli dengan aktiviti seterusnya.
"Apa yang direncanakan setakat ini adalah secara lisan. Belum ada hitam dan putihnya. Selepas ini, saya akan fokus membuat proposal untuk memulakan penjelajahan saya.
"Sebagai permulaan, saya akan tumpukan kepada IPT yang menawarkan kursus seni muzik. Ini kerana pelajar adalah golongan yang bakal memeriahkan industri muzik tempatan kelak.
"Kemudian, jika ada rezeki, barulah saya akan meluaskan skop penjelajahan tanpa mengira kursus yang diikuti," tambahnya.
Penuh harapan, Dib menggambarkan anak muda adalah golongan terbaik yang perlu didekati untuk menyemarakkan dan sekali gus, mengembangkan seni lagu puisi agar ia tidak ditelan zaman.
Kerakusan anak-anak muda dalam mengejar glamor dilihat antara punca yang menyebabkan nilai seni dalam lagu semakin kurang.
Dengan itu, menurut Dib, ia tidak sepatutnya berlaku kerana seni itu begitu tinggi martabatnya dan dengan seni juga, kita boleh membantu mempertingkatkan industri seni tempatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: