Thursday, June 16, 2011

Malam eksklusif Jamal Abdillah


PELUANG yang diberikan oleh PWTC dimanfaat sepenuhnya oleh peminat Jamal Abdillah untuk meluangkan masa dengan penyanyi pujaan mereka.


LEBIH tiga dekad menghambakan diri menjadi seorang penghibur melagukan karya indah dengan bakat istimewanya itu, Jamal Abdillah mengakui peminat merupakan nadinya untuk terus hidup.

Baginya, tanpa peminat yang terus menyokong dan memberi semangat kepadanya untuk terus menyanyi, mana mungkin dia mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Atas alasan itu, apabila pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menganjurkan majlis Makan Malam Istimewa Bersama Jamal Abdillah di Tanjung Lounge, Restoran Riverside, PWTC, Kuala Lumpur, Jamal benar-benar terharu.

Manakan tidak, selama dia bergelar seorang seniman, belum pernah dilayan seperti golongan aristokrat dalam majlis yang cukup eksklusif bersama 10 peminat bertuah.

"Saya tidak sangka akan diberikan layanan istimewa seperti ini. Seingat saya, belum pernah saya menghadiri majlis makan malam yang begitu eksklusif seperti ini.

"Saya sendiri sebenarnya mahu mengekalkan hubungan baik dengan PWTC. Seandainya terus diberi peluang mengadakan konsert atau persembahan di sini, saya menganggapnya sebagai satu penghormatan.

"Ini kerana jentera promosi dan pemasaran PWTC memang cekap serta pantas. Malah, mereka juga mempunyai maklumat yang luas tentang setiap tetamu yang pernah menghadiri majlis di PWTC," kata bekas juara Bintang RTM 1979 itu dalam nada teruja.

Makan malam istimewa itu merupakan lanjutan daripada persembahan Jamal, Kasihnya Ibu sempena Hari Ibu yang berlangsung pada 17 Mei lalu di PWTC.

Semua 10 wanita yang juga memegang status sebagai ibu itu dipilih berdasarkan cabutan bertuah yang berlangsung sewaktu persembahan Hari Ibu itu.

Mereka yang terpilih adalah Zainab Mat, Saleha Abdul Rahman, Aziah Abdul Hamid, Ubaidah Sahari, Azura Abdullah, Abby, Rashidah Abdul Samad, Norhafizah Mohd. Nor dan Suhaila Rashidi.

Setiap tetamu yang hadir semuanya diberi peluang bergambar berdua dengan Raja Pop itu yang kemudiannya dihadiahkan dalam sampul istimewa.

Menyentuh tentang makan malam eksklusif itu, semuanya diatur dengan rapi sehingga setiap tetamu dihidangkan dengan makanan yang enak dengan tujuh set hidangan yang disediakan khas untuk majlis tersebut.

Lebih menarik apabila kesemua hidangan tersebut menggunakan judul lagu-lagu popular Jamal yang menjadikan ia lebih unik dan istimewa.

Untuk pembuka selera, judul lagu yang digunakan adalah Takdir Penentu Segala iaitu hidangan berupa salmon dengan tomato cincang, ayam berperisa bawang putih, wantan udang dengan mayonis manis serta telur puyuh bersambal.

Begitu juga dengan hidangan Penghujung Rindu - gabungan potongan daging dengan udang harimau yang dihidangkan sekali bersama nasi beriani, sayuran dan sambal belacan.

Hidangan pencuci mulut, Di Sudut Kamar Hatiku yang juga tidak kurang enaknya apabila tetamu dihidangkan dengan parfait limau nipis bersama pisang dan sagu manis yang dihiasi dengan sos strawberi.

Pilihan tiga jenis coklat dalam bekas istimewa yang diberi nama Penawar Kasih merupakan pilihan terbaik untuk penutup hidangan pada malam itu.

Sewajarnya tahniah diberikan Chef Eksekutif PWTC, Chef Suzaini Mohamed Salih dan pasukannya kerana menyediakan hidangan yang sememangnya lazat.

Malam bersejarah itu juga dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Maxson Abdullah Jaafar; Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Mohd. Said dan Pengurus Operasi, Sukhidir Kemat.

Bagi Maxson, dia menganggap percubaan pertama PWTC menganjurkan makan malam seperti itu sebagai satu sukses bagi pihaknya.

Malah, dengan penuh terbuka beliau memberitahu pihaknya tidak teragak-agak untuk menjemput artis-artis popular lain selepas ini.

"Kami memang sudah merangka strategi untuk memilih artis yang sesuai bagi menjayakan persembahan untuk hari-hari istimewa seperti Minggu Setiausaha, Hari Ibu dan Hari Bapa.

"Kami memilih Jamal bagi persembahan Hari Ibu untuk dua tahun berturut-turut kerana populariti dan permintaan yang tinggi daripada orang ramai yang mahu terus menonton persembahannya.

"Sudah pasti kami akan meneruskan tradisi makan malam eksklusif ini kerana selain mahu memberi penghargaan kepada peminat yang sanggup membayar untuk menonton persembahan artis, ia adalah juga untuk menghargai artis itu sendiri," kata Maxson.

Antara nama-nama yang sedang dipertimbangkan adalah Datuk Sheila Majid, Anita Sarawak dan Anuar Zain.

Pada malam itu, tetamu yang hadir juga dihiburkan dengan tiupan saksofon Alif Nasir selain tiga staf PWTC yang memiliki suara mirip Jamal.

Tidak mahu menghampakan peminatnya, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali turut meluangkan masa dengan melontarkan suara emasnya untuk tiga buah lagu iaitu Tidurlah Permaisuri, Keluhan Perantau dan Penghujung Rindu.

Biarpun diapit kiri dan kanan serta duduk berhadapan dengan peminatnya, ternyata Jamal lebih selesa untuk mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap sepanjang majlis.

"Itulah sifat saya yang sebenar dan peminat sendiri boleh melihat serta menilai perwatakan sebenar saya. Apa-apa pun, saya tetap melayan setiap soalan yang diajukan dengan baik yang rata-ratanya merupakan peminat setia saya.

"Ada seorang ini merupakan peminat saya sejak bergelar Bintang RTM 1979 sehinggalah sudah beranak-pinak. Minatnya terhadap diri saya tidak sedikit pun berganjak.

"Dengan adanya majlis seperti ini juga, ia membuatkan saya lebih dekat dengan peminat," kata pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM 1994 ini tanpa selindung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: