|
|
HEBAT! Langkah lima anak muda bergabung dalam satu kumpulan bergelar '5Stars' sesungguhnya membuktikan sekalipun dunia fesyen penuh persaingan tetapi hakikatnya masih boleh bersatu.
Kesungguhan lima pereka muda ini yang terdiri daripada Rizman Ruzaini, Nik Erwan Roseli, Zery Zamry, Hazwani Osman dan Hatta Dolmat di bawah 5Stars sekali gus menambahkan lagi kekuatan mereka bagi menyemarakkan lagi dunia fesyen di tanah air.
Lagipun persahabatan kelima-lima anak muda ini yang merupakan graduan senireka fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini telah menjalin persahabatan ketika masih menuntut di institusi pengajian tersebut.
Baru-baru ini hasil kreativiti anak muda ini telah dipamerkan dalam satu pertunjukan fesyen koleksi Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan di Menara Kuala Lumpur.
Koleksi Rizman Ruzaini memilih Tahun 60-an di Hollywood dijadikan sebagai tema bagi menyambut Aidil Fitri kali ini dengan gaya yang penuh glamor.
Penyatuan Rizman Nordin dari Pulau Pinang dan Wan Ruzaini Wan Jamil dari Perak dalam koleksi Rizman Ruzaini memberikan sentuhan istimewa dalam rekaan ala pelakon Audrey Hepburn.
Dua artis wanita terkenal iaitu Siti Norhaliza dan Erra Fazira yang turut menggayakan rekaan Rizman Ruzaini yang menjadikan gaya lebih hebat dan anggun.
Lebih menarik setiap baju rekaan pereka ini berkonsepkan kebaya ini banyak bersandarkan dengan keindahan dan kelembutan sutera Thai, organza dan crepe satin.
Pereka ini sengaja menampilkan fesyen yang direka ini dengan warna-warna terang sesuai dengan kemeriahan di Aidil Fitri.
Bagi Nik Erwan Roseli yang sebelum ini lebih banyak menumpukan rekaan untuk gaun malam juga tidak mengecewakan apabila tampil dengan idea bertemakan Citrus Raya dari inspirasi tiga warna buah-buahan bagi setiap rekaan.
Sekalipun konsep yang ditampilkan oleh Nik Erwan nampak agak pelik tetapi ia sesuai untuk mereka yang berani bergaya.
Ini memandangkan bukan sahaja warnanya agak terang tetapi kebanyakan bahagian depan baju dihiasi dengan manik-manik besar yang sesuai untuk mereka yang berumur dari 18 hingga 30-an.
Rekaan Nik Erwan dari kain jenis chiffon, sutera Thai dan taffeta ini juga disarungkan oleh penyanyi jelita, Atilia.
Nik Erwan berani menampilkan kelainan kerana sebelum ini mempunyai pengalaman dalam mencipta fesyen untuk selebriti tanah air dan juga peserta bagi pertandingan realiti termasuk Malaysia's Most Beautiful, Mentor dan Gangstarz.
Zery Zamry, anak kelahiran Kelana Jaya ini pula memilih tema Royal Raya yang ditampilkan dalam rekaan yang sesuai untuk wanita bekerja.
Sekalipun ia khusus untuk Hari Raya Aidil Fitri tetapi rekaan ini boleh digayakan oleh pemakai untuk ke pejabat dan menghadiri majlis-majlis formal.
Zery memilih sutera satin dan sutera chiffon dalam pilihan warna terang berasaskan batu permata indah seperti merah delima, biru laut dan kuning topaz.
Kesemua rekaan yang berasaskan baju kurung moden ini bukan sahaja ditampilkan dalam gaya sederhana tapi mampu menaikkan seri pemakai termasuk salah seorang modelnya iaitu pelakon Neelofa.
Sementara itu, Hazwani Osman memilih tema Raya Romance untuk disesuaikan dengan potongan baju kurung dari zaman klasik.
Kebanyakan ciptaannya menggunakan kain dari sutera crepe, renda Perancis dan sutera ciffon.
Sememangnya rekaan Hazwani tampak menarik yang disesuaikan dengan warna lembut seperti merah jambu, merah tua, ungu dan peach lembut.
Anak Perak ini juga turut menampilkan rekaan yang boleh digayakan bersama dengan tudung iaitu sesuai dengan sambutan Aidl Fitri.
Apapun rekaannya khusus untuk wanita yang sukakan gaya hebat di sekitar usia 25 hingga 45 tahun termasuk sesuai untuk pelakon, Intan Ladyana yang telah mengayakan salah satu koleksinya.
Hatta Dolmat yang kini menjadi salah seorang pereka fesyen terkemuka di tanah air pula menampilkan rekaan bertemakan Kasyaf Classic yang diilhamkan dari kurung tradisional.
Anak kelahiran Melaka ini cuba menyatukan fabrik klasik dan moden seperti broked, renda, kain net dan chiffon yang disesuaikan dengan fesyen yang menampakkan pemakai lebih feminin.
Hatta tidak sahaja memilih warna lembut seperti kelabu, peach malah juga warna terang iaitu emas, hitam dan biru.
Dengan rekaan yang dikelaskan klasik dan mewah ini maka sudah pastinya ia lebih sesuai untuk digayakan oleh wanita yang gemar bergaya anggun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: