PUNCA KELEMUMUR...kulit kepala jadi tebal dan tertanggal menjadi kelemumur teruk.
MALU, tertekan dan terasa terasing. Inilah perasaan yang dialami pesakit psoriasis setiap kali penyakit menyerang kerana tidak mungkin mereka mahu keluar rumah walaupun untuk bertemu saudara mara atau kawan rapat ketika kulit bersisik atau berkeruping yang boleh tanggal menjadi kepingan kecil seperti kelemumur.
Adakala apabila keadaan sangat teruk, kepingan kulit ini boleh dilihat berserakan di lantai. Bagi yang alami psoriasis kulit kepala pula, kepingan kulit ini akan berterabur memenuhi baju terutama di bahagian bahu sehingga kelihatan seperti ditimpa salji.
Psoriasis ialah salah satu penyakit kulit paling lazim yang dialami dua hingga tiga peratus penduduk sesebuah negara. Sehingga kini punca sebenar psoriasis masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi pakar perubatan berpendapat psoriasis disebabkan kecelaruan sistem imun, ia menghantar isyarat salah yang mempercepatkan kitaran sel.
Bagi kulit normal, proses penggantian kulit berlaku secara perlahan yang mengambil masa 28 hingga 30 hari sebelum sel mati ini tanggal dari badan. Namun bagi pesakit psoriasis, kesilapan isyarat yang dihantar sistem imun mempercepatkan proses kitaran kulit ini kepada tiga hingga enam hari saja, menyebabkan wujudnya timbunan sel.
Lapisan epidermis kulit akan menjadi tebal dengan sel yang berlebihan ini dan salur darah pula mengembang untuk meningkatkan bekalan darah kepada sel berkenaan. Sel mati akan kering dan menggelupas menjadi kepingan putih berkilat. Biasanya kepingan kulit kering ini akan tanggal sendiri, tetapi jika dipaksa (ditanggalkan) ia akan menyebabkan luka.Psoriasis tidak berjangkit, oleh itu anda tidak perlu risau untuk berjabat tangan dengan pesakit. Psoriasis adalah penyakit keturunan, wujud dalam genetik tetapi biasanya ia dirangsang oleh beberapa faktor lain seperti tekanan emosi, kecederaan kulit, sesetengah jangkitan, tindak balas badan terhadap ubat tertentu, alkohol, atau rokok.
Menurut Pengarah Pusat Rawatan Kulit dan Psoriasis, Jabatan Dermatologi Universiti California, Dr John Koo, psoriasis boleh berlaku pada semua bahagian kulit. Kulit akan terasa gatal dan menjadi tebal dalam masa beberapa hari saja. Apabila ia cukup ‘matang’, kulit akan mati dan tertanggal sendiri. Bagaimanapun sebelum tempoh ini jika ia merekah, akan menyebabkan luka dan rasa sakit.
Sebaliknya, jika psoriasis berlaku pada tapak kaki pesakit tidak dapat berjalan dan jika membabitkan tapak tangan, pesakit sukar untuk melakukan kerja. Jika terus dibiarkan hingga menjadi serius dan tidak mendapatkan rawatan, pesakit berisiko tinggi untuk mengalami serangan jantung terutama di kalangan pesakit muda (20 hingga 30 tahun).
Hampir 50 peratus pesakit turut mengalami psoriasis pada kulit kepala dan keadaan penyakit mereka lebih teruk kerana kulit kepala adalah bahagian yang sukar dirawat. Di Malaysia, psoriasis kulit kepala jarang dibincangkan.
Malah pemahaman mengenai penyakit ini juga masih rendah dan kebanyakan pesakit lambat mendapatkan rawatan kerana menganggapnya sebagai masalah kelemumur yang teruk. Bahkan pilihan rawatan untuk psoriasis kulit kepala juga agak terhad.
Dalam soal selidik yang dijalankan di beberapa hospital di negara kita pada 2008, didapati masalah ini berlaku pada kadar sama di kalangan lelaki dan perempuan. Dalam soal selidik itu, hampir 50 peratus pesakit terdiri daripada pesakit Melayu, 25 peratus (Cina), 14 peratus (India) dan bakinya pada bangsa lain dengan purata umur 33 tahun.
Siapa yang berisiko mendapat psoriasis? Dr Koo berkata, psoriasis adalah masalah kulit yang sangat lazim dan biasanya ia berlaku pada golongan muda berumur antara 15 hingga 35 tahun.
Ia adalah penyakit keturunan. Jika anda lahir dalam keluarga yang ada psoriasis, anda mempunyai risiko 30 peratus untuk mendapat penyakit yang sama. Simptom psoriasis biasanya ditunjukkan dalam lingkungan umur 15 hingga 35 tahun. Jika anda melepasi had umur ini dan tiada simptom, secara umumnya anda boleh dikira selamat. Bagaimanapun, psoriasis boleh menyerang semua peringkat umur.
“Ia boleh berlaku secara mendadak atau perlahan-lahan. Bagi kes psoriasis kulit kepala, ramai pesakit tersalah anggap dan menyangka mereka mengalami masalah kelemumur yang teruk. Psoriasis kulit kepala tidak sekadar memalukan tetapi ia juga menyebabkan ramai pesakit tertekan, tidak mahu keluar rumah, terpaksa mengelak memakai warna pakaian yang gelap.
“Dalam soal selidik yang kita jalankan didapati 57 peratus pesakit mengadu mengalami tekanan psikologi dan pengasingan sosial kerana malu hendak keluar dengan keadaan begitu. Malah ramai juga pesakit mengadu mengalami keguguran rambut yang teruk pada bahagian kulit kepala yang ada tompok psoriasis,” katanya pada pelancaran ubat sapu Xamiol, yang dapat membantu mengurangkan masalah ini.
Ubat dalam bentuk gel ini hanya perlu disapu sekali sehari pada waktu malam dan dicuci keesokan paginya. Ia tidak berbau, melekit atau meninggalkan warna tertentu seperti ubat lain yang ada di pasaran sehingga menyebabkan ramai pesakit keberatan untuk menggunakannya setiap hari.
Kesan psoriasis
Kebanyakan pesakit mengalami kesan yang sama - malu, tertekan, berasa terasing, tidak mahu keluar rumah, sakit (jika kulit merekah dan luka) dan perlu mengehadkan pergerakan serta pemilihan pakaian.
Malah ada yang terpaksa menghentikan aktiviti kegemaran kerana bimbang kehadiran mereka akan menyebabkan rasa kurang senang pada orang lain yang mungkin jijik melihat kulit khususnya ketika mengalami serangan psoriasis.
Psoriasis boleh berlaku
di mana-mana saja termasuk di kulit kepala, kemaluan, punggung, kaki atau belakang badan. Walaupun ia tidak menjangkiti orang lain, keadaan pesakit dan cebisan kulit yang tertanggal membuatkan ramai berasa tidak senang untuk duduk bersama mereka.
Pesakit mengadu kulit terasa panas, tegang dan sangat gatal yang menjejaskan tumpuan mereka terhadap kerja. Ia juga menyebabkan ramai pesakit tidak dapat tidur malam. Keinginan untuk menggaru sepanjang masa membuatkan pesakit berasa kurang selesa, malu, kecewa dan marah. Untuk mengelakkan mereka mendapat malu terutama ketika berada
di khalayak ramai, pesakit biasanya memilih pakaian berwarna cerah atau tidak mahu menghadiri sebarang aktiviti sosial.
Keadaan ini menyebabkan pesakit berasa rendah diri, sentiasa berasa risau dan bimbang terhadap pandangan orang lain pada dirinya. Pesakit psoriasis juga sentiasa bimbang akan menimbulkan ketidakselesaan pada orang lain walau di mana mereka berada.
“Kesan psikologi, emosi dan fizikal yang dialami semua �pesakit biasanya lebih kurang sama termasuklah pesakit remaja. Secara umumnya �psoriasis menyebabkan
kualiti hidup pesakit merosot dan jika tidak dibantu (mendapatkan rawatan), tidak mustahil mereka akan mengalami kemurungan.
“Psoriasis menyebabkan �‘ketidakupayaan’ yang sama seperti penyakit lain seperti khususnya dari segi fizikal dan mental. Kebanyakan pesakit akan mengalami tekanan berpanjangan sehinggalah mereka menemui rawatan yang sesuai untuk mengurangkan atau menghilangkan gejala penyakit,” katanya.
Menurut Pakar Dermatologi, Dr Stephen Chow, ramai pesakit menderita dalam diam kerana ramai yang malu untuk membincangkan masalah mereka. Kebanyakannya hanya merungut mengalami �kelemumur yang teruk tanpa mengetahui masalah sebenar mereka.
“Psoriasis kulit kepala juga akan membuatkan akar rambut mati mati dan akhirnya menyebabkan keguguran rambut yang banyak sehingga bahagian yang ada tompok psorisis itu nampak botak. Biasanya tompok psoriasis ini ada di kulit kepala belakang telinga.
“Tompok kulit mati ini boleh menjadi sangat tebal dan boleh dilihat dengan jelas kerana ia berwarna putih berkilat. Masalah ini juga boleh berlaku pada individu botak. Selain kulit kepala, ada juga pesakit yang mengalami masalah ini pada kening! Kening mereka akan kelihatan seperti ada kelemumur,” katanya.
Diagnosis dan rawatan
Oleh kerana psoriasis kulit kepala sering disalah anggap sebagai masalah kelemumur yang teruk, ada baiknya anda berjumpa pakar kulit jika �mengalami gejala seperti yang disebut diatas. Lebih cepat �masalah anda dikesan, lebih baik kerana ia dapat mengelakkan psoriasis daripada bertambah teruk. Selain itu ia juga dapat menjimatkan wang dan masa kerana ramai pesakit mencuba pelbagai kaedah rawatan kelemumur sebelum mendapatkan bantuan pakar kulit.
“Kulit kepala adalah bahagian yang sukar dirawat. Sehingga kini tiada ubat yang boleh �menyembuhkan psoriasis tetapi ia boleh dikawal dengan berkesan. Walaupun ada rawatan sistemik (ubat yang dimakan) untuk merawat psoriasis, tetapi ia kurang popular kerana menimbulkan banyak kesan sampingan.
“Kebanyakan pesakit memilih ubat sapu dan didapati ia sesuai untuk 70 hingga 80 peratus pesakit yang mengalami psoriasis tahap ringan hingga sederhana. Kajian terbaru mendapati hampir setengah pesakit gagal mematuhi arahan penggunaan ubat dan lebih 50 peratus menggunakan syampu antikelemumur bagi mengatasi masalah mereka,” kata Dr Koo.
Antara punca yang menyebabkan kegagalan pematuhan penggunaan ubat ialah ramai pesakit tidak suka tekstur ubat yang membuatkan kulit kepala mereka berminyak, melekit, berbau, berwarna atau berkilat. Namun sebab yang paling utama ialah waktu pemakaian yang tidak digemari kerana kebanyakan ubat yang ada di pasaran perlu digunakan beberapa kali sehari.
Kehadiran Xamiol bagaimanapun dapat membantu mengurangkan masalah mereka kerana ia hanya perlu dipakai sehari sekali, pada waktu malam. Ia tidak melekit, mudah diserap, tidak berbau atau meninggalkan sebarang warna. Pesakit hanya perlu mencuci rambut mereka keesokan paginya.
Berdasarkan ujian klinikal selama 52 minggu, kesan penggunaan gel berubat ini boleh dilihat dalam tempoh dua hingga empat minggu. Lebih menarik, keberkesanannya berpanjangan sehingga setahun jika digunakan dengan cara betul setiap hari.
Bagi individu yang masih ragu-ragu mengenai masalah mereka, anda boleh buat penilaian kasar melalui soalan di bawah.
1. Adakah kulit kepala anda ada tompok merah, timbul dan terasa gatal - yang boleh dibezakan dengan mudah?
2. Adakah tompok pada kulit kepala anda dilitupi sisik berwarna putih yang kelihatan seperti kelemumur?
3. Adakah tompok bersisik putih kilat itu juga ada pada lain bahagian seperti siku, lutut dan belakang badan?
4. Adakah anda mengalami masalah keguguran rambut pada bahagian yang mempunyai tompok bersisik itu?
5. Adakah kuku anda menggerutu atau berlekuk-lekuk?
6. Pernahkah anda mencuba pelbagai kaedah rawatan kelemumur tetapi tidak berkesan?
7. Adakah anda mempunyai ahli keluarga atau saudara mara yang mengalami psoriasis?
Jika anda menjawab ‘ya’ pada hampir kebanyakan soalan di atas, anda mungkin mengalami masalah psoriasis dan disarankan berjumpa pakar kulit supaya pengesanan tepat boleh dilakukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: