PADA 16 Jun ini, rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan gerhana bulan penuh dari jam 1:25 pagi hingga 7:01 pagi.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama Bulan melintasi bayang Bumi seperti yang terdapat dalam Rajah 1.
''Gerhana pada awal pagi Khamis ini akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada jam 01:25 pagi waktu Malaysia.
''Bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap,'' menurut kenyataan itu.
Gerhana yang jelas dapat dilihat semasa Bulan memasuki bayang umbra Bumi ( U1 ) mulai jam 02:23 pagi sehingga gerhana maksimum berlaku pada 04:13 pagi.
Bulan akan mula keluar dari bayang umbra Bumi (U3) pada 05:03 pagi dan keluar sepenuhnya daripada bayang umbra Bumi (U4) pada 06:02 pagi.
Gerhana masih terus berlaku sehingga 07:01 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang.
Sementara itu, Angkasa dan Masjid Negara akan mengadakan program pencerapan gerhana bulan penuh pada hari berkenaan di perkarangan luar Masjid Negara bermula pukul 1 pagi.
Selain menyaksikan gerhana bulan penuh, orang ramai juga berpeluang untuk mencerap planet Musytari (Jupiter), Marikh (Mars) dan Zuhrah (Venus).
Selain itu, kuiz astronomi, ceramah gerhana dan solat gerhana akan turut diadakan.
Maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-2273 4301 / 4303 / 5484.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: