Monday, June 20, 2011

Ong Beng Hee jadi ikon kesihatan




PENGGEMAR sukan skuasy negara tentunya mengenali wajah dan nama Ong Beng Hee. Pemain profesional yang berasasl dari Pulau Pinang itu mempunyai rekod cemerlang sebagai pemain skuasy terbaik lelaki di Malaysia dan juga dalam ranking dunia.

Jejaka berusia 31 tahun itu pernah memegang gelaran Asian Championship pada tahun 2000 hingga 2006, meraih pingat emas dalam Sukan Asia pada tahun 2002 dan 2006, mengungguli 11 pusingan Pertubuhan Skuasy Profesional (PSA Tour) daripada 19 kemunculan dan menduduki tangga ketujuh dalam kerjaya terbaik dunia sebagai pemain skuasy.

Pada tahun 1998, remaja dari Pulau Pinang itu telah merangkul gelaran World Junior Champion di Amerika Syarikat (AS), satu pencapaian yang menjadikannya orang Asia bukan Pakistan pertama yang memiliki gelaran itu.

Kini, walaupun masih aktif sebagai pemain skuasy profesional Malaysia, Beng Hee telah menggorak langkah untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Dia kini merupakan salah seorang personaliti di bawah syarikat pengurusan artis, model dan bakat komersial iaitu Blivene International Sdn. Bhd. (Blivene).

Beng Hee memberitahu, bidang komersial merupakan satu perkara yang baharu baginya dan dia berharap dapat menimba banyak pengalaman dan diberi banyak peluang menarik.

“Blivene adalah satu kumpulan yang hebat dan saya tidak sabar untuk memulakan tugas baharu saya di sini,” katanya ketika ditemui pada parti ulang tahun Blivene ketujuh yang diadakan di pejabat Blivene di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Rakan lama


BENG HEE (dua dari kanan) bersama barisan model sempena pengenalannya sebagai selebriti baharu di bawah pengurusan Blivene International.


Menceritakan pembabitannya, Beng Hee memberitahu, dia dilamar oleh Pengarah Blivene iaitu CK Ding yang juga merupakan rakannya semasa zaman persekolahan.

“Saya dan Ding pernah bermain skuasy bersama-sama tetapi kini kami memilih kerjaya yang berbeza. Dia mengajak saya menyertai Blivene bukan semata-mata untuk diketengahkan dalam bidang komersial tetapi membentuk imej yang baik dalam diri saya.

“Sebagai atlet kebangsaan, saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dan dunia kerana saya kini mewakili Malaysia dan itulah yang akan cuba saya tonjolkan semasa menyertai Blivene,” katanya.

Beng Hee berkata, selain hanya tertumpu dalam bidang sukan, atlet di Malaysia kurang didedahkan secara komersial sebagaimana personaliti sukan di negara-negara luar. Justeru, dia berharap dapat mencetus trend baharu di Malaysia.

“Saya harap melalui kerjasama ini, saya dapat memberikan contoh yang baik sebagai ikon kesihatan.

“Tanpa imej yang dibentuk dengan baik, kita bukanlah sesiapa. Selepas ini, saya harap lebih ramai atlet akan mengikut jejak langkah saya dan melibatkan diri dalam bidang komersial dengan lebih aktif pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun masih baharu menyertai bidang komersial tersebut, Beng Hee mengakui mudah untuknya membiasakan diri. Mujur dia dapat belajar dengan cepat melalui keluarga Blivene yang banyak membantu.


IMEJ positif Beng Hee yang aktif bersukan, menjauhi rokok serta minuman keras membolehkannya menjadi personaliti naungan Blivene.


“Saya masih terikat dengan tanggungjawab sebagai atlet dan tidak akan mengabaikannya semata-mata untuk bergiat dalam bidang komersial.

“Semua aktiviti dengan Blivene dijalankan semasa saya berada di luar tugasan dan tidak mengganggu sebarang perlawanan atau menjejaskan jadual latihan saya,” katanya.

Tambahnya, melalui pembabitan dengan Blivene juga, dia mahu menyampaikan mesej yang baik kepada remaja di luar sana terhadap sukan skuasy, sekali gus dapat memartabatkan sukan itu ke suatu tahap yang lebih tinggi.

“Ia juga adalah peluang terbaik untuk saya untuk keluar dari kepompong saya selama ini,” katanya.

Imej sihat

Sementara itu, Pengarah Blivene, CK Ding memberitahu, Blivene memilih Beng Hee sebagai artis mereka kerana selain statusnya sebagai pemain skuasy profesional, Beng Hee turut memiliki personaliti menarik dan menjalani gaya hidup yang sihat dengan menjauhi rokok dan minuman keras.

“Dia juga sentiasa menjalani aktiviti sihat sebagai rutin hariannya. Justeru, kami yakin dia amat sesuai untuk tugas sebagai duta atau pengiklanan berdasarkan imej sihat yang dibawakannya,” katanya.

Menurut Ding, Beng Hee mampu menjadi contoh kepada rakyat Malaysia dengan menggalakkan mereka menjalani kehidupan yang sihat.

“Dengan mengekalkan imej yang baik ini, kami percaya dia bukan sahaja dapat meneruskan kerjayanya sebagai atlet sukan skuasy dengan lebih berjaya, malah dia dapat berkongsi gaya hidup positifnya dengan masyarakat melalui peranannya sebagai duta,” katanya.

Ding memberitahu, Blivene yang ditubuhkan pada tahun 2004 merupakan platform yang baik untuk mengetengahkan bakat-bakat baru dan lama bukan sahaja model-model fesyen, malah model peragaan dan cetakan, pelakon dan juga artis rakaman antarabangsa.


BENG HEE (kiri) bersalaman dengan Ding tanda penerimaannya sebagai selebriti naungan Blivene International di Solaris Dutamas Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Setelah berada kukuh di dalam industri selama tujuh tahun, kini Blivene memiliki bakat-bakat kreatif dan keupayaan teknikal untuk penggambaran komersial dalam iklan cetakan, televisyen, video korporat, video muzik, filem, acara-acara dan sebagainya.

“Kami melengkapkan bakat-bakat kami dengan pengetahuan profesional untuk menghadapi pelbagai situasi dan menyampaikan hasil yang baik, bertenaga dan dinamik serta memenuhi kepuasan yang dikehendaki,” katanya.

Buat masa ini, katanya, Blivene menaungi lebih daripada 20 personaliti yang dibarisi bakat-bakat tempatan dan antarabangsa termasuk empat orang dari Rusia dan dua orang dari Uzbekistan.

“Kebanyakan model di sini sentiasa mengembara untuk mengembangkan bakat mereka dan ia juga merupakan peluang yang baik untuk Blivene mengetengahkan pasaran Malaysia ke negara-negara luar.

“Tambahan pula, industri ini begitu dahagakan wajah-wajah baharu dan pembabitan model-model sentiasa silih berganti,” katanya.

Tambahnya, Blivene juga ingin sentiasa menyampaikan kelainan di samping menyediakan bakat-bakat yang dapat menyampaikan sesuatu yang baharu kepada masyarakat.

“Kami bukan sahaja mementingkan penampilan, malah personaliti seseorang itu yang mampu mempersembahkan dirinya dengan cara yang tersendiri dan berusaha meningkatkan keupayaan diri mereka untuk menjadi serba boleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: