|
|
MELANGKAH masuk ke restoran Laksamana Bistro, pengunjung akan merasai seolah-olah berada di sebuah rumah kampung. Ini kerana dekorasi di restoran itu menggunakan daun nipah dan nibung bagi menghiasi ruang menjamu selera.
Menumpukan ciri kemelayuan yang berkonsepkan gabungan tradisional dan moden, restoran Laksamana Bistro menyajikan pelbagai jenis masakan ala carte dan bufet ala kampung.
Terletak di lokasi strategik iaitu di tengah pusat bandar Kuantan dan bersebelahan pusat beli-belah East Coast Mall, tentunya ia menjadi tumpuan ramai yang sedang mencari lokasi makan untuk menikmati sajian enak setelah penat membeli-belah.
Mereka yang tidak pernah berpeluang merasai sajian dari Sarawak, inilah lokasi yang wajar disinggahi. Menu utamanya, Nasi Ayam Sarawak cukup menyelerakan.
Aroma dari ayam goreng yang menjadi lauk utama nasi ayam ini begitu enak. Ia disalut dengan pelbagai jenis rempah ratus dan dicicah pula dengan sos pedas yang membangkitkan selera.
Menariknya, restoran yang dibuka hampir enam bulan itu bukannya dimiliki orang Sarawak tetapi dikongsi bersama enam rakan karib yang memang meminati bidang masakan.
Menurut salah seorang pemilik restoran itu, Mohd. Syaiful Effendy Mohd. Yusof, Nasi Ayam Sarawak diilhamkan selepas beliau pulang dari tugas mengajar sebagai guru di Bumi Kenyalang.
Sekembalinya ke Kuantan, Pahang, beliau tidak menunggu lama untuk mengilhamkan idea bersama rakan-rakan dengan membuka restoran Laksamana Bistro.
Selain menu dari Sarawak,nasi kukus ayam berempah serta nasi goreng kambing yang dihidangkan dengan pilihan masak merah, berempah dan sos lada hitam turut menjadi tarikan.
''Bagi penggemar masakan ala barat, mereka patut mencuba lamb chop, chicken chop dan stik daging dengan sos lada hitam yang kami hasilkan sendiri dan harganya amat berpatutan iaitu antara RM10.90 sehingga RM15.90 untuk hidangan set," tambahnya.
Beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam, restoran ini menjadi pilihan pelbagai golongan termasuk pekerja di sekitarnya terutama pada waktu rehat dan hari cuti.
Bukan sahaja menu yang menarik, malah semua jenis minuman yang disajikan turut memikat rasa.
Tambah Mohd. Syaiful, Laksamana Special merupakan minuman pilihan utama pengunjung kerana campuran pelbagai perisa dan buah-buahan, selain minuman white lady dan pink lady.
''Dihidangkan dengan gelas besar, harga bagi minuman istimewa ini amat berbaloi iaitu bermula dari RM3.50 sehingga RM4.50 sahaja," ujarnya.
Selain itu, restoran Laksamana Bistro turut menerima tempahan majlis persendirian dan katering dengan menghubungi talian 09-5609100.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: