|
|
SETIAP kali munculnya filem terbaru James Bond, antara yang mendapat perhatian ialah pemilihan pelakon wanita yang akan membawakan watak Bond Girl.
Perkara tersebut juga merupakan antara topik hangat yang sering dibincangkan oleh peminat tegar salah sebuah francais filem paling berjaya di dunia itu.
Semuanya mahu melihat adakah calon aktres yang dipilih itu benar-benar layak untuk membawa gelaran Bond Girl yang sudah dipegang oleh ramai aktres sebelum ini.
Sebaik sahaja studio MGM dan Sony Pictures mengumumkan projek filem ke-23 James Bond yang diberi judul Bond 23 akan diteruskan, spekulasi tentang pemilihan Bond Girl juga sudah mula tersebar.
Terbaru, aktres kulit hitam, Naomie Harris dikatakan sudah dirisik oleh penerbit Bond 23 yang mahukan dirinya menjadi Bond Girl dalam filem terbaru itu.
Ketika ditanya tentang soal tersebut, Naomie tidak menafikannya. Malah, dia sendiri sudah pun berjumpa dengan penerbit untuk berbincang tentang peranannya dalam filem itu.
“Tetapi, Naomie belum lagi memberikan kata putus sama ada dia mahu berlakon dalam filem itu. Ini kerana katanya, dia perlu meneliti skrip dan wataknya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” kata sumber dalaman yang enggan dikenali.
Mungkin nama Naomie tidak popular seperti aktres lain tetapi, dia merupakan salah seorang pelakon yang sering kali mendapat perhatian di tanah kelahirannya, London, England.
Bukan hanya sebagai seorang pelakon filem, tetapi Naomie juga dikenali sebagai pelakon teater yang cukup berkaliber.
Antara filem yang pernah dibintangi Naomie adalah 28 Days Later, After the Sunset, Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest, Pirates of the Caribbean: At World’s End, Miami Vice dan Ninja Assassin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: