Sunday, June 5, 2011

Nama Malaysia harum di Bulgaria

SAYA memang tak dapat bayangkan perasaan bila diumumkan sebagai pemenang. Jantung saya berdegup kencang dan rasa macam mahu terbang. Memang sangat gembira sampai tak tahu mahu cakap apa lagi,” ujar penyanyi Amanda Imani dengan penuh ceria pada perbualan malam Khamis lalu.

Kenangan di Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-20 yang berlangsung di Varna, Bulgaria pada 13 hingga 15 Mei lalu tidak dapat dilupakan.

Pertaruhan pertama Amanda Imani keluar negara membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang salah satu dari dua anugerah dalam festival masyhur berkenaan.

Perjalanan dan usaha selama tiga minggu sebelum berangkat ke negara Eropah Timur itu menyebabkan Amanda sangat bersyukur.

Dia masih tak dapat lupakan kejutan saat diumumkan sebagai penerima anugerah Bakat Muda Terbaik daripada World Association of Festivals and Artists (WAFA).

Acara itu menggunakan bahasa ibunda negara berkenaan dan tiada terjemahan bahasa yang dibuat.

“Apa yang saya dengar, nama saya dipanggil berulang kali. Terus saya naik ke pentas dengan tangan menggigil. Anugerah apa yang dimenangi, tidak pula diketahui sehingga saya membaca keterangan yang tertera di plak. Nasib baik ia ditulis dalam bahasa Inggeris,’’ ceritanya mengimbas kenangan terindah itu.

Satu lagi memori yang terukir pada malam terakhir temasya berkenaan apabila nama Amanda disebut buat kali kedua.

Degup jantungnya seakan terhenti apabila penganjur mengumumkan kemenangan di tempat kedua melalui karya aslinya berjudul Selamilah Cinta.

Single berentak balada penuh melankolik berjaya menarik perhatian juri yang rata-ratanya terpesona dengan keindahan bahasa Malaysia.

Biarpun tak mengerti apa yang ingin disampaikan, namun Amanda berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dan menjadi satu-satu calon dari negara Asia yang menyertai kejohanan itu.

Selain Malaysia, 15 buah negara yang turut menghantar wakil termasuk Turki, Itali, China, Sepanyol, Ukraine, Spain, Macedonia, Mexico dan Romania.

“Sememangnya, kemenangan ini adalah hadiah Hari Ibu paling berharga buat mama saya, Nina Hamzah. Dia adalah sumber kekuatan dan penyokong kuat kepada perjalanan seni saya,” ujarnya.

Tawaran terbuka

Disebabkan kejayaan Amanda, dia terus ditawarkan untuk menyertai sebuah lagi pertandingan nyanyian bertaraf antarabangsa di Romania. Ia bakal diadakan pada Ogos ini yang turut disertai penyanyi dari seluruh dunia.

Selain itu, anak muda berusia 20 tahun pada Disember depan ini juga diundang untuk membuat persembahan dalam satu majlis berprestij di Ukraine hujung tahun ini.

“Semua bermula selepas bertemu dengan dua wakil penganjur acara berkenaan usai pertandingan nyanyian itu. Saya sungguh teruja bila mereka menanyakan persetujuan saya.

“Rasa bangga sebab tak sangka kejohanan yang saya sertai itu memberi peluang lebih luas kepada saya untuk berkongsi pentas dengan artis terkemuka di dunia yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, pelajar Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Komunikasi di Kolej SEGi di Kota Damansara Petaling Jaya, Selangor ini perlu mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Perlu sesuai dengan jadual pengajian agar tidak mengganggu rutin hariannya sebagai pelajar.

Kekalkan persahabatan

Pada masa yang sama, Amanda memberitahu dia cukup bertuah apabila dapat bertemu dengan Presiden dan Pengasas International Music Festival Discovery, Dono Tsvetkov.

Lelaki berasal dari Bulgaria itu cukup terpesona dengan persembahan Amanda sepanjang berlangsung pertandingan berkenaan. Apatah lagi selepas mengetahui Amanda satu-satunya peserta amatur berbanding peserta lain yang sudah banyak pengalaman nyanyian.

“Biarpun menggunakan seorang penterjemah, komunikasi masih boleh diteruskan. Dono cukup teruja apabila mengetahui usia saya baru belasan tahun,” katanya.

Selain itu, Amanda turut mengekalkan persahabatan dengan beberapa peserta luar negara yang dilihat cukup peramah dan tak lokek berkongsi pengalaman.

Apa pun, Amanda tidak boleh terus terlena dengan kemenangan di Varna kerana sebenarnya perjalanan seni wanita tinggi lampai baru mahu bermula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: