|
|
PENYANYI lagu Langit Ketujuh ini membuat kesimpulan bahawa atmosfera yang dilalui pada zaman kegemilangannya sekitar awal 2005 tak sama dengan sekarang. Biarpun sudah bergelar artis senior tapi itu bukan tiket dia mendapat penghormatan. Terutama sekali ketika dalam kelompok artis baru.
“Ini adalah hasil pemerhatian saya. Kalau tak mahu bercakap panjang pun, paling tidak bersalam-salaman dan bertanya khabar sudah cukup. Tetapi itu tidak berlaku, saya tak tahulah kenapa. Mungkin sebab saya sudah lama tak keluar di media, orang tak kenal,’’ ringkasnya pada pertemuan bersama Pancaindera baru-baru ini.
Meski pun begitu, Sharifah Zarina tak kisah. Sebab mungkin itu cara kerja orang industri sekarang. Desir hatinya memujuk agar tak perlu terlalu memikirkan tentang perkara tersebut.
Artis wanita ini mengakui memang ada banyak perubahan yang telah berlaku kepada cara pergaulan artis pada hari ini.
“Kebanyakan penyanyi muda pada zaman saya cukup hormat kepada artis senior.
“Kalau bertentang mata, pasti menghulurkan salam. Selain bertanya khabar, pasti ada cerita harian dikongsi sama. Jarang sekali bermasam muka atau membuat hal sendiri kerana kami umpama keluarga.
“Saya memang rindukan suasana masa mula-mula dikenali dengan lagu Langit Ketujuh. Saya melalui episod suka dan duka tersendiri. Saya tahu populariti hanya bersifat sementara,” kata Sharifah Zarina lagi.
Pada masa yang sama, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini cukup optimis dengan ketetapan minat seni dalam hidupnya.
“Kehidupan kita sentiasa berputar. Bila kita berada di atas, ramai orang yang menyanjung dan memuja kita. Tak perlu risau tentang apa yang perlu dipakai, ramai yang sudi menghulurkan bantuan.
“Itu yang saya lalui sepanjang dua tiga tahun berada di puncak populariti. Tapi sekarang ini, bila sudah kurang popular, benar-benar berubah,’’ luah wanita ini bersungguh-sungguh.
Masih jelas di ingatan ibu kepada tiga anak ini tentang satu peristiwa melibatkan kemasyhurannya antara tahun 2005 hingga 2007. Sewaktu dia menerima undangan persembahan di Kota Kinabalu, Sabah.
Rasa cukup terharu apabila sekumpulan pekerja sanggup membuat pinjaman dahuluan dari gaji bulanan sebanyak RM1 kepada majikan demi untuk mendapatkan tandatangan penyanyi pujaan mereka.
“Saya nampak majikan itu mencatit satu persatu nama pekerja yang mengambil wang pendahuluan. Rasa tersentuh sangat bila mereka abadikan tandatangan saya di kepingan wang kertas yang masih bernilai itu,’’ dedahnya mengimbas kenangan lalu.
Tutup restoren kerana kurang sambutan
Mengasak persoalan apakah punca sebenar yang menyebabkan dia mahu kembali menceburi bidang nyanyian, wanita ini terdiam.
Katanya, dia mengalami episod kekecewaan dalam bidang perniagaan makanan yang diusahakan pada tahun 2009. Restoran Baso Sapi Asli yang bertempat di Plaza Mentari, Sunway, Petaling Jaya, Selangor itu ditutup lantaran kurang mendapat sambutan.
“Saya belajar semuanya dari kesilapan. Pengalaman mematangkan kita. Saya sudah bincang dengan suami (Buswani Abdullah) dan dia memberi keizinan sepenuhnya.
“Asalkan tugas sebagai ibu dan isteri tak diabaikan. Soal lewat membuat penampilan semula ditolak ke tepi. Itu bukan alasan kukuh buat pendengar tidak menerima kehadiran saya,” hujahnya
Mengulas tentang penampilan semulanya, mood naib juara Bintang RTM 1999 ini berubah ceria.
Katanya, single terbarunya berjudul Suratan Yang Menyakitkan
adalah langkah pertama kemunculannya.
“Ia sebuah lagu balada penuh perasaan. Ramai juga yang telah bertanya mengapa judulnya terlalu syahdu. Tapi sebenarnya Suratan Yang Menyakitkan itu tak ada kena mengena dengan saya langsung, ia cuma satu cerita tentang derita wanita didalam lagu, itu saja, ” ceritanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: