Sunday, June 5, 2011

Nadias Inn Comfort ada segalanya


PANDANGAN hadapan Nadias Inn Comfort, Langkawi.


ADAKALANYA kita berasa ‘pening’ untuk mencari tempat penginapan selesa yang boleh didapati pada harga berpatutan, selain dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi.

Walau di mana sahaja kita pergi bercuti, itulah antara persoalan yang bermain di kotak fikiran. Begitu juga jika kita mahu menjejakkan kaki ke pulau legenda, Pulau Langkawi di Kedah.

Namun, usahlah risau jika anda tiba di pulau yang terkenal dengan kisah Mahsuri itu. Banyak hotel, resort mahupun inap desa menawarkan harga yang berpatutan, termasuklah Nadias Inn Comfort.

Terletak di pantai Chenang, penginapan selesa yang terletak hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta 30 minit memandu dari pekan Kuah mampu memenuhi kriteria percutian kita.

Lokasinya yang strategik iaitu hanya dua minit berjalan kaki ke pantai dan lima minit ke Underwater World.

Nadias Inn Comfort yang dibuka pada November 2001 menawarkan bilik yang selesa dengan katil besar, selain kemudahan televisyen serta bilik mandi dengan pancuran air panas dan sejuk.

Untuk mereka yang datang bersama keluarga, terdapat juga bilik-bilik yang bersambung selain balkoni untuk setiap bilik serta kedai serbaneka sekiranya mahu mendapatkan barangan peribadi atau makanan ringan.

Tidak melupakan keperluan pengunjung Muslim, kemudahan surau untuk lelaki dan wanita juga disediakan. Manakala kolam renang dengan jakuzi dan restoran yang menawarkan pilihan masakan Melayu termasuk kemudahan barbeku juga menanti pengunjung.

Bagi mereka yang ingin mengadakan seminar atau kursus, Nadias Inn Comfort turut memiliki dua bilik seminar iaitu Intan Kecil yang boleh memuatkan 30 orang dan Intan Besar yang menampung 80 hingga 100 orang pada satu-satu masa.

Pada masa yang sama, hotel ini turut menawarkan aktiviti sukaneka kepada pengunjung berkumpulan selain menawarkan beberapa program lain seperti menjelajah pulau iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Beras Basah serta melihat helang di Pulau Singa Besar.

Turut ditawarkan adalah lawatan ke Makam Mahsuri, menaiki kereta kabel, melawat pusat memproses gamat, mengunjungi Dataran Lang dan membeli-belah di sekitar pekan Kuah.

Pengunjung juga boleh mencuba trip memancing dan meneroka Taman Geopark Kilim atau menyelam di Pulau Payar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: