|
|
DALAM kalangan warga Pahang, Pekan sememangnya dikenali sebagai Bandar Diraja yang selesa dan sunyi daripada hiruk-pikuk kota metropolitan.
Jika berkunjung ke bandar Pekan, 'tidak lengkap' kunjungan jika tidak singgah di warung Murtabak Mengkasar di Jalan Sultan Abu Bakar. Ia dikatakan murtabak paling popular dalam kalangan rakyat Pahang dan pelancong luar.
Rata-rata berpendapat murtabak yang dijual oleh Ahmad Tajuddin Abdul Hamid, 66, sejak 33 tahun lalu adalah terbaik kerana menggunakan rempah-ratus berkualiti dan rasanya tidak berubah sejak dahulu.
Di samping itu, harganya yang berpatutan berbanding tempat lain membolehkan gerai Murtabak Mengkasar ini tidak pernah putus dikunjungi pelanggan.
"Setiap hari, tak menang tangan saya hendak melayan permintaan orang ramai yang mahu merasa murtabak ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
"Murtabak Mengkasar sering menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya beliau berkunjung ke sini,"katanya ketika kepada S2.
Selain itu, katanya Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut menggemari murtabak beliau dan menjadi juadah pada majlis-majlis keramaian baginda.
"Saya pernah diminta menyediakan murtabak untuk Tuanku yang ketika itu berada di luar negara," katanya.
Selain memiliki rasa enak dan aroma membuka selera, salah satu keistimewaan murtabak Mengkasar adalah harganya yang sangat berpatutan.
Katanya, warung itu menyediakan dua jenis murtabak iaitu murtabak biasa berharga RM6 dan RM8 bagi murtabak istimewa yang masing-masing boleh dimakan sehingga empat orang.
Berbanding dengan murtabak biasa yang boleh ditemui di tempat lain, murtabak Mengkasar memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dan 21 jenis rempah-ratus berkualiti, menjadikannya lebih enak berbanding yang lain.
Ahmad Tajuddin memberitahu resipi asal murtabak itu diperoleh daripada rakan bapa mertuanya, pada tahun 1970-an.
"Arwah Datuk Abdul Rashid Salleh yang dikenali sebagai Datuk Awang Rashid adalah insan yang mewariskan resipi murtabak beliau kepada saya.
"Rahsia resipi itulah yang menjadikan murtabak saya digemari dan dikenali sehingga kini," katanya.
Katanya lagi, selain keenakan rasa murtabak, harganya juga sangat berpatutan walaupun harga barang runcit telah beberapa kali naik.
"Jika difikirkan tentang kos pembuatannya, sudah tentulah ia tidak mencukupi memandangkan harga barangan sekarang yang semakin mahal.
"Oleh kerana pendekatan perniagaan saya lebih kepada menjaga hati pelanggan dan tidak terlalu mementingkan keuntungan semata-mata, maka saya kekalkan harga seperti dahulu," katanya.
Tambahnya, amalan itu membuatkan jumlah pelanggan tetapnya semakin bertambah.
"Saya bersyukur dengan sambutan yang diterima walaupun tidak untung berlipat ganda.
"Dalam berniaga, kami amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan kualiti produk yang dihasilkan," ujarnya.
Dia turut mempunyai cawangan murtabak Mengkasar di Taman Seri Rampai dekat Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: