Sunday, June 26, 2011

Nabihan galas lima watak


MELALUI teater Shakespeare Demystified: Julius Ceaser, Nabihan bakal membawa lima watak. Teater tersebut akan dipentaskan pada 29 Jun hingga 3 Julai ini tersebut ini KLPAC.


SEBUT sahaja nama Nabihan Yaacob dalam kalangan penggiat teater Melayu, pasti ramai yang masih kabur dengan nama tersebut.

Biarpun dia berketurunan Melayu, tetapi Nabihan, 27, lebih dikenali dalam kalangan peminat teater berbahasa Inggeris.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur itu pernah menjadi penggerak kepada beberapa buah teater Inggeris termasuk Ismail: The Last days, Indicinelive, A Midsumer Night's Dream dan Single Worded Title.

Walaupun menjadi pelakon teater tidak mempopularkan dirinya seperti menjadi penghias layar filem mahupun drama, Nabihan optimis terhadap kerjaya yang dianggapnya memberikan kepuasan.

Kata gadis berkulit putih itu, dia memasuki dunia lakonan teater bukan mengharap popular semata-mata tetapi bidang itu membuatkannya bebas dengan kehidupan sendiri.

"Saya meninggalkan kerja sebagai eksekutif di syarikat swasta pada 2008 semata-mata untuk memberi perhatian kepada teater.

"Saya meminati teater kerana ia tidak menyekat kebebasan diri saya seperti bekerja di pejabat yang terikat dengan tugasan rutin," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Berbicara soal impian, Nabihan yang pernah berlakon teater bahasa Melayu berjudul Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli itu bersedia untuk berlakon dalam persembahan yang menggunakan dialek Kelantan.

Bukan kerana tidak menggemari teater dalam bahasa Kebangsaan tetapi katanya, dia kurang yakin untuk menuturkannya di atas pentas.

"Dalam pertuturan harian di rumah, saya sering menggunakan bahasa Inggeris dan dialek Kelantan.

"Bukan saya tidak fasih berbahasa Melayu, tetapi ketika di pentas saya akan tersasul menggunakan dialek Kelantan.

"Kadang-kadang ada antara kawan-kawan yang geli hati dengan pertuturan saya. Jadi saya rasa lebih selesa untuk berlakon dalam teater Inggeris," kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.


NABIHAN selesa berbahasa Kelantan dan Inggeris dalam percakapannya.


Nabihan yang kini tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarganya pernah menetap di Amerika Syarikat dan Australia sebelum terjun dalam bidang tersebut kira-kira tiga tahun lalu.

Wanita yang kedua-dua orang tuanya berasal dari negeri Cik Siti Wan kembang itu pantas mencipta nama biarpun baru setahun jagung bergiat dalam teater.

Dia yang berkebolehan bermain piano dan menggesek biola itu berharap diberi peluang membintangi teater dalam dialek Kelantan.

"Apa yang menarik dalam teater dalam dialek Kelantan adalah saya boleh melakukan addlip dan tidak terlalu terikat dengan skrip.

"Lagipun saya sangat fasih dalam bahasa tersebut. Jadi tiada masalah untuk saya melakonkan watak seperti dalam bahasa Inggeris," katanya.

Nabihan menghargai buah tangan arahan Norzizi Zulkifli yang menggabungkan naskhah Shakespeare berjudul Meet Summer Nights Dream dan Mak Yong dalam dialek Kelantan berjudul Titis Sakti.

Dalam perkembangan terbaharu, Nabihan bersama tujuh lagi rakannya bakal mementaskan teater berjudul Shakespeare Demystified: Julius Ceaser di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC).

Nabihan berperanan memegang lima watak termasuklah sebagai lelaki dalam teater yang akan dipentaskan pada 29 Jun hingga 3 Julai ini tersebut. Antaranya adalah sebagai Portia, Cobbler, Strato, Metellus Cimber dan penduduk kedua.

"Teater ini amat sesuai ditonton oleh remaja yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia kerana ia akan memudahkan mereka untuk memahami kisah Julius Ceaser daripada buku teks kesusasteraan Inggeris," katanya ketika sesi fotografi bersama Kosmo! di KLPAC baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: