Sunday, June 26, 2011

Anak muda pembawa gaya


ADI dan 6ixth Sense membawa aliran muzik yang selari dengan jiwa dan persoanliti mereka.


IMEJ adalah satu persembahan, visual tanpa suara atau kata. Pembentukan imej yang sesuai sudah memberi bukti kepada satu jalan yang dipilih untuk penentuan peribadi buat seseorang. Begitu pentingnya sesebuah imej yang dibentuk, kerana mata yang menatap seakan-akan sudah memberi cerita keperibadian seseorang itu.

Bertemu Adi (vokalis grup 6ixth Sense) dan Yazer pada malam media Universal Music Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini memberi kesempatan untuk mereka berbicara tentang imej masing-masing.

Belayar dalam bahtera hiburan, tetapan stail mereka sudah dapat dinilai mata. Kedua-duanya membawa imej santai namun memberi impak. Meletakkan sentuhan jiwa rock pada pemakaian dan gaya mereka, ini imej tulen yang mereka bawakan daripada hati yang terdalam. Mereka adalah antara pemuda yang setia dengan gaya pilihan masing-masing.

Kecenderungan untuk salah gaya itu tidak mustahil di awal kemunculan menjadi selebriti. KOPITIAM berkongsi cerita dua penyanyi berbeza gaya dan pendirian ini untuk melintas dunia imej dan stail.

Apa pentingnya imej buat artis?

YAZER (Y): Bagi saya, imej penting untuk membina pengikut dalam muzik. Dalam mencari pengikut, imej jatuh nombor dua selepas bakat. Imej juga penting kerana ia menampilkan penampilan kita mengikut peredaran masa. Sama ada relevan atau tidak.

ADI 6IXTH SENSE (A): Secara peribadi, saya berpendapat bahawa imej adalah sesuatu yang menonjolkan personaliti seseorang individu. Mewakili keperibadian diri seseorang, jadi sebagai seorang artis, mempunyai imej yang sesuai dan kuat adalah penting. Selebriti perlu mempunyai imej yang kuat untuk buktikan dia adalah artis atau anak seni. Perlu tonjolkan sesuatu yang ekstra agar orang kesan dan nampak kehadirannya.

Kalau bukan selebriti, imej kalian tetap begini?

Y: Saya akan tetap dengan imej rock, imej sendiri. Berseluar jean, jaket dan baju-T.


KANAN: 6ixth Sense yang dianggotai lima jejaka dari Malaysia-Indoneisa mula merakam album pada 2005.


A: Mungkin tidak. Mungkin lebih santai, lebih relaks, keluar dengan selipar Jepun. Bila jadi artis ini, saya tidak boleh jadi sangat santai atau selekeh.

Sejak bila kalian mula tetap dengan imej sebegini?

Y: Sudah lama sebenarnya. Orang kata rock itu tidak akan mati, begitu juga dengan imej rock. Sebelum jadi artis memang ini imej saya. Cuma selepas bergelar penyanyi, penampilan perlu ekstra bila di atas pentas.

A: Sejak mula jadi artis. Mula timbul rasa perlu menjaga imej dan keperibadian. Mula letakkan diri sebagai tumpuan orang ramai. Sebab apabila saya tengok ada artis yang keluar dengan imej yang selekeh, saya pun jadi tidak seronok melihatnya.

Imej mengikut personaliti atau produk?

Y: Dua perkara itu perlu seiring, produk dan personaliti. Artis perlu ikut peredaran zaman, perkembangan semasa.

A: Mengikut kedua-duanya sekali. Bagi saya, personaliti dan produk perlu berjalan sekali. Saya mahu membikin produk yang kena dengan jiwa dan personaliti sendiri. Bukan ikut trend.

Pernah tersalah gaya dan penampilan? Kenapa dan bila?

Y: (Ketawa besar) Pernah tapi itu dulu. Waktu dalam sebuah persembahan Talentime dan Battle of the Band. Buat sesuatu yang kononnya menampilkan kelainan tetapi akhirnya jadi kelakar. Saya berpakaian rock tetapi akhirnya kelihatan seperti seorang perempuan. Tapi itu zaman kolej, kini tidak lagi.

A: Alhamdulillah setakat ini tidak pernah lagi. Walaupun ikut rasa sendiri tetapi saya dan grup saya tetap sesuaikan juga dengan persembahan. Kami jarang pakai kot, tapi untuk kesesuaian keadaan dan acara, kami perlu hormatinya.

Kalau di mata kalian, imej siapa yang paling kuat untuk seorang selebriti di Malaysia?

Y: Bagi saya, ikon fesyen dan stail di Malaysia ialah Amy Search. Sebelum saya lahir sampai sekarang, apa sahaja yang disarung oleh Amy, boleh diterima pakai. Malah imej rock yang dibawanya masih di hadapan semua rockstar. Bagi saya, dia adalah pencetus dan trendsetter. Bayangkan, mana ada lelaki berusia 50 tahun yang masih segak memakai Converse? Tapi Amy mampu membawa imej itu dengan umurnya sekarang.


SEBELUM memasuki program Akademi Fantasia lagi, Yazer sudah selesa dengan imej rock. Kini dia kekal dengan imej tersebut yang kena dengan jiwa dan muzik yang dibawakannya.


A: Kebanyakan macam ikut trend dan tidak ikut personaliti sebenar. Ada artis yang ikut musim, orang pakai maka dia pun ikut pakai. Lebih banyak mengikut daripada menjadi trendsetter. Bagi saya, Amy Search adalah trensetter dan ikon sebenar kalau bab stail dan imej.

Pernah mengalami kesukaran untuk menentukan imej sendiri?

Y: Pernah tetapi bukan untuk menentukan imej. Cuma kesukaran mecari pakaian yang sesuai kerana badan saya cepat naik dan turun. Kalau pergi ke kedai pakaian, kebanyakannya baju bersaiz S atau M. Kalau XL, susah nak cari. Itu kesukaran yang saya alami. Bagi saya, pemakaian perlu cari sesuai dengan bentuk badan dan peredaran zaman. Sebagai penyelesaian kepada kesukaran tersebut, saya perlu pandai bermain dengan warna dan potongan.

A: Awal-awal jadi artis memang sukar sebab mahu menentukan apa yang sesuai dengan diri saya. Saya turut merujuk kepada artis-artis lain dalam berpakaian. Memerhati dan membuat kajian tentang apa yang sesuai dipakai. Bila tidak sesuai, saya tukar untuk beberapa kali. Sebelum masuk grup 6ixth Sense, saya lakukan kajian terhadap grup-grup lain.

Kalau dalam berpakaian, apa yang kalian pentingkan?

Y: Kalau untuk di pentas, saya pentingkan warna baju. Sebab kalau di luar, ramai orang berpakaian seperti saya iaitu jean dan baju-T, kedi untuk nampak ekstra, saya perlu bermain dengan warna.

A: Paling pentingkan keselesaan diri saya sendiri. Kalau nak pakai baju fit tapi tak sesuai, tidak guna juga. Kalau fesyen sekarang tidak sesuai dengan jiwa dan stail saya, saya tidak akan cuba. Contohnya kalau kasut, saya setia memakai jenama Converse.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: