Sunday, June 19, 2011

Muzikal dalam dakwah

Stesen TV Al Hijrah semakin optimis dalam perkembangan dunia Islam ke mata dunia. Pelbagai rancangan yang diterbitkan berjaya dekat di hati penonton.

Terkini, rancangan Studio Muallaf yang mengetengahkan kembara saudara baru Islam dalam meniti hari-hari mereka.

Program khusus ini menampilkan enam saudara baru dalam Islam dala, berkongsi cerita mengenai kehidupan mereka.

Dengan mesej Islam Sejuta Wajah Satu Akidah, program bual bicara ini terdiri pelbagai bangsa dan etnik.

Dianggotai Leia dan JV, Ustaz Ng (Tokoh Pendakwah Perak 2010), Divesh Kumar, Alex Koh dan pengasasnya Xifu Nasir turut bersama berkongsi cerita.

Disampaikan dalam bentuk muzikal, ia tepat kerana imejnya yang unik. Lebih penting ialah misi kumpulan ini yang berdakwah melalui muzik, kebetulan mereka semua meminati seni dan penyanyi.

Studio Muallaf selesai merakamkan 13 episod program selama 30 minit dan mula bersiaran pada 11 Jun lalu.

Terdapat 28 lagu baru digubah dalam program ini dan dinyanyikan anggota Studio Muallaf sendiri.

Matlamat program ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan kisah-kisah perjalanan hidup, serta mahu memberi ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami golongan mualaf secara lebih rapat.

Kehadiran program seperti ini akan menjadi sampel untuk lebih memahami isu-isu mualaf serta mengerti apakah dilema yang dialami oleh golongan yang mencari keredaan Ilahi ketika baru bergelar mualaf.

Selain berdamping dengan saudara baru, program ini turut aktif mengadakan pertemuan dan siri diskusi dengan penganut agama lain dengan usaha untuk menjelaskan apa itu keindahan Islam. Program ini akan bersiaran setiap Sabtu, 10.30 malam di TV Al Hijrah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: