Sunday, June 19, 2011

Jiwa kental Ali Mamak

Pelawak Datuk Osman Jantan atau lebih dikenali dengan nama Ali Mamak mula menceburi bidang seni pada tahun 1985.

Menghadiri uji bakat Radio televisyen Malaysia (RTM) yang mencari bakat baru sebagai pelakon berusia 60 tahun itu berasa bertuah kerana terpilih antara 600 peserta yang hadir ketika itu.

Pengalaman yang dikutip selama beberapa tahun mengadakan persembahan di majlis kenduri dan keraian memberi kelebihan kepada anak kelahiran Melaka ini.

“Saya diterima dan diserapkan ke sitkom Santan Berlada. Itulah lakonan saya yang pertama. Diberikan watak sebagai Ali seorang penebar roti canai, kehadiran saya mula diterima.

“Berlakon di samping Mr Os, Ibrahim Akhil, Fauziah Nawi, Mak Mah, Khairul Azhar dan Accapan, saya bangga kerana sitkom pertama di Malaysia itu mendapat rating tertinggi,” katanya yang suka berlawak sejak kecil lagi.

Kenangan bersama Santan Berlada

Selama tiga musim bersama sitkom itu, Ali Mamak terus mencipta nama.

Mengakui agak kesal kerana sitkom pertama Malaysia itu tidak dapat bertahan lama, Ali Mamak terus menyusuri bidang seni sebagai pelawak.

Mengimbas kenangan santan Berlada, ia mencetuskan fenomena tersendiri. Hanya kerana masalah dalaman syarikat penerbitan menyebabkan sitkom ini terpaksa dihentikan.

Gandingan bersama Accapan dan Khairul Azhar menjadi sehingga mereka turut menjadi penyanyi dengan nama Trio Santan Berlada.

“Kami sempat merakamkan dua buah album bersama Suria Records iaitu Di bawah Bulan Purnama dan Senyumanmu Yang Manis.

“Masalah kegawatan ekonomi telah mengehadkan kerjaya kami. Seorang demi seorang mengundurkan diri bermula dengan Khairul Azhar dan disusuli Accapan,” katanya.


Di sebalik nama

Nama Ali Mamak diperoleh daripada sitkom Santan Berlada. Nama itu semakin besar hingga lupa pada nama asalnya.

Meskipun pernah diberikan nama samaran lain seperti Atan, Pak Itam dan Kadat, namun Ali Mamak sudah sebati dengan dirinya.

“Dah macam-macam nama saya bawa. Nama Pak Itam juga orang panggil saya. Tapi lebih terkesan dengan nama Ali Mamak.

“Lagi pun, sitkom itu memberi impak besar terhadap diri saya sehingga ke hari ini kerana peminat saya adalah mereka yang sempat menonton siri itu,” katanya.

Hampir 26 tahun memegang nama itu, kini ia sudah sebati dengan dirinya. Nama dan jasanya dalam industri seni tempatan begitu banyak.

Tidak hairanlah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk kepadanya kerana sumbangannya dalam industri seni.

Gelaran Datuk tidak sedikit pun membatasi pergerakannya untuk terus berkarya biarpun usianya sudah menjangkau 60 tahun.

Ali Mamak masih aktif menerima undangan dan tawaran untuk membuat persembahan lawak jenaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: