Saturday, June 11, 2011

Muzik, tarian ungguli Bakat TV


NO Noise Percussion mempertaruhkan tarian yang menggunakan barangan terbuang seperti gaya pemuzik kumpulan Stomp dari Barat.


BAKAT TV merupakan sebuah pertandingan unik yang mempertaruhkan pelbagai bakat para pesertanya seperti menyanyi, menari, bermain alat muzik, silap mata dan berlawak.

Pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu yang masuk peringkat suku akhir keduanya Ahad lalu memperlihatkan penguasaan peserta kategori muzik dan tarian.

Peserta tarian solo, Nicholas Kho How, 10, dari Kuching, Sarawak, kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan dan pemuzik, No Noise Percussions layak melepasi pusingan itu.

Paling mendapat tepukan gemuruh para penonton ialah persembahan kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan yang dianggotai enam penari berusia dari 10 hingga 14 tahun.

Salah seorang pengkritik Bakat TV peringkat suku akhir kedua, Pat Ibrahim yang merupakan seorang koreografer terkenal berkata, persembahan itu sangat memukau sesiapa sahaja yang menontonnya.

"Persembahan anda semua sangat hebat. Saya yang duduk di depan ini pun tidak senang duduk. Kalau boleh saya mahu melompat ke depan dan menari bersama-sama anda," komennya.

Komen Pat turut dipersetujui oleh dua lagi pengkritik Bakat TV iaitu pelawak, Mr. Os dan pemuzik RTM, Asnawi Muta'ah di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur malam itu.

Sementara, Nicholas yang mempertaruhkan gaya persembahan ala Michael Jackson turut meriuhkan suasana auditorium dengan gaya tariannya yang cukup lincah dan bertenaga.

Kumpulan No Noise Percussions yang dianggotai tujuh anggota berasal dari Kuala Lumpur juga tidak kurang hebatnya dengan persembahan mereka yang unik.

Keunikan mereka kerana menggunakan bahan-bahan terpakai seperti tong sampah, penutup tong dan serpihan badan kereta yang diketuk bagi menghasilkan pelbagai irama.

Dengan mendapat undian markah tertinggi daripada juri dan khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton tiga peserta itu layak meneruskan saingan di peringkat separuh akhir Bakat TV.

Pemarkahan pertandingan yang dimulakan pada tahun 1970-an itu ialah 10 markah impak tepukan para penonton di studio, 10 peratus SMS penonton dan bakinya ditentukan oleh juri.

Selain tiga peserta terbabit, tiga lagi peserta yang bersaing pada suku akhir kedua Bakat TV ialah Hafidz The Wizard (ahli silap mata), Fairuz Zamani dan Ajwad (pemuzik).

Bakat TV yang mengadakan sesi uji bakat pada 26 dan 27 Februari lalu di 18 lokasi RTM seluruh negara akan meneruskan peringkat suku akhir ketiga pada 12 Jun dan keempat pada 19 Jun.

Sementara peringkat separuh akhir akan diadakan pada 26 Jun dan 3 Julai. Peringkat akhir pula akan disiarkan secara langsung pada di TV2 pukul 9 malam pada 10 Julai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: