Saturday, June 11, 2011

Komedi silang jantina makan diri


JOZAN gagal pancing undi menerusi lawak silang jantina.


KOMEDI bersilang jantina (cross gender) yang dipersembahkan pada siaran langsung Maharaja Lawak Jelajah Pulau Pinang di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) Jumaat lalu memakan diri apabila mengubah peratusan undian peserta berkenaan.

Kesemua juri program realiti televisyen (TV) itu sependapat bahawa persembahan cross gender yang berpaksikan kisah golongan lembut dan mak nyah yang ditampilkan oleh kumpulan Jozan, gagal memancing undi.

Menurut Ahmad Idham, komedi cross gender dianggap lucu oleh peserta dan sekadar sesuatu yang menghiburkan.

Namun, kata Ahmad Idham, pandangan itu mungkin tidak dirasai oleh peminat di luar yang merasakan, jenaka cross gender sebagai satu sindiran.

“Banyak komen di laman sosial Twitter dan Facebook saya yang mengakui mereka terkejut dengan lawak persembahan Jozan.

“Begitu juga dengan komen yang rata-rata melahirkan terguris hati apabila kumpulan Jambu tampil dengan lawak pemuzik buta dan pekak.

“Saya berharap peserta dan pihak pengurusan Astro fikir balik konsep yang nak dibawa oleh peserta setiap minggu.

“Ini kerana apa yang dilakukan dalam Maharaja Lawak mencetuskan fenomena di kalangan penonton terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar selepas siaran langsung itu tamat.

Pada persembahan di minggu ke-10 itu, Jambu terus menguasai gelanggang Maharaja Lawak apabila kumpulan yang dianggotai oleh Taukeh dan Yus berjaya memperolehi 59 peratus undian.

Ini diikuti oleh Sepah (56 peratus), Jozan (55 peratus) dan Nabil (50 peratus) manakala R2 pula terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tangga tercorot melalui 33 peratus undian.

Sementara itu Mamat Khalid mahu peserta lebih sensitif dengan citarasa penonton yang mana, tidak semua boleh menerima jenaka cross gender sebaliknya menganggap ia sebagai lawak jelek.

“Saya harap peserta lebih sensitif dengan apa yang dipersembahkan. Contohnya, lawak Nabil seolah-olah mempersendakan kanak-kanak gemuk dan kumpulan Jozan pula, meniru lagak lelaki lembut.

“Tetapi biar apa pun, saya nampak peningkatan di kalangan peserta apabila mereka mampu berinteraksi dengan penonton yang mencecah 12,000 orang di PISA pada malam ini dan nyata ia bukan satu tugas yang mudah,” ujarnya.

Jelas Mamat lagi, persembahan di PISA boleh dimasukkan dalam resume peserta tetapi perlu dikaji semula sekiranya peserta mahu menjadi seorang pelawak yang padu jenakanya.

Tambahnya, segala apa yang diperolehi oleh peserta pada malam itu boleh dijadikan sebagai satu lagi pengalaman berguna untuk mereka di masa hadapan.

Dalam pada itu, Astro turut membuat kejutan apabila tiada penyingkiran pada persembahan minggu ke-10 walaupun R2 yang dianggotai oleh adik-beradik Rahim, 40, dan Ridhzuan Mat Ali, 22, mendapat undi terendah.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, ada sedikit kejutan yang dirancang dalam persembahan pada minggu-minggu akan datang di Kuantan dan Johor sebelum pertandingan akhir pada 24 Jun ini.

"Biarpun tiada penyingkiran minggu ini tetapi dalam perancangan kami , sudah ada berapa peserta bertanding pada final nanti. Jadi, jangan terkejut kalau minggu depan situasi berbeza.

"Inilah format yang dibawa oleh Maharaja Lawak yang penuh dengan elemen kejutan dan sesuatu yang ditunggu oleh penonton bagi memastikan ia lebih menarik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: