![]() |
| Miley Cyrus |
SYDNEY 26 Jun - Penyanyi, Miley Cyrus mengalami detik cemas apabila seorang peminat menyerbu naik ke atas pentas ketika dia menyanyikan lagu hitnya, The Climb semasa mengadakan konsert jelajah Australia.
Bintang terkenal itu berada dalam ketakutan selepas pihak keselamatan terpaksa menghalang seorang peminat perempuan remaja yang berjaya mendekati Cyrus untuk menyentuhnya di Rod Laver Arena di Melbourne.
Cyrus kemudiannya menjerit 'Oh Tuhanku, Oh Tuhanku' tatkala pengawal keselamatan membawa peminat terbabit turun dari pentas sebelum meminta penyanyi berusia 18 tahun itu beredar.
Kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku membabitkan bintang muda Hollywood dalam tempoh beberapa hari selepas Justin Bieber menjadi tumpuan kerana diserang peminat fanatik di Macy's Herald Square di New York, semalam.
Cyrus membuat dua persembahan di bandar itu sebagai sebahagian daripada Jelajah Gypsy Heart dan dia menyatakan perasaan gembira dan diberkati berada di Australia.
Dia juga menguruskan pelbagai urusan dengan baik semasa berada di negara ini yang juga merupakan negara asal kekasihnya, Liam Hemsworth.
Ibu bapa Hermsworth, Craig dan Leonie, antara yang hadir untuk persembahan pertamanya di Melbourne dan Cyrus mengakui dia berasa gementar untuk membuat persembahan di depan bakal ibu dan bapa mertuanya.
"Saya berasa sangat gementar. Saya memberikan persembahan terbaik ketika menyanyikan lagu Can't Be Tamed.
"Saya benci untuk berasa gementar jika mengetahui orang yang dikenali berada di depan sebagai penonton," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: