![]() |
| KEENA menarik nafas lega apabila single pertamanya, Cinta Luluh dilancarkan baru-baru ini. |
SEKIAN lama menyepi sejurus tamatnya program realiti Mentor musim ketiga (Mentor 3), protege kepada vokalis kumpulan Wings, Awie iaitu Keena kini tampil mengukuhkan portfolio seninya apabila single sulung, Cinta Luluh dilancarkan baru-baru ini.
Lebih memberi fokus kepada bidang lakonan usai Mentor 3 melabuhkan tirainya dua tahun lalu, Keena atau nama sebenarnya, Suriana Abdul Wahab, 25, memaklumkan, cintanya terhadap bidang nyanyian masih belum berkubur.
Kata Keena, bidang lakonan terlebih dahulu membuka pintu rezeki buatnya. Maka, disebabkan itulah dia menerima sahaja tawaran berlakon walaupun pada hakikatnya, cintanya pada nyanyian masih utuh.
"Meskipun menunggu lama untuk mengeluarkan single ini, saya tidak ambil kisah kerana inilah cita-cita saya yang sebenarnya, menjadi seorang penyanyi.
"Saya tidak mahu bakat nyanyian yang dibimbing oleh Awie ketika menyertai Mentor 3 dipersia-siakan begitu sahaja.
"Jadi, selepas mengenali komposer lagu ini, Y. Hamid menerusi laman sosial Facebook dan mendengar lagu ciptaannya, saya terus berminat untuk bekerjasama dengannya," ulas Keena mengenai single yang mempertaruhkan genre slow rock itu.
Keena yang bernaung di bawah label Dream Music Sdn. Bhd. itu turut berbicara mengenai album penuhnya yang dijangka direalisasikan selewat-lewatnya pada pertengahan 2012.
Buat masa ini, ujar pelakon siri Hotel Mania itu, dia berasakan lebih baik untuk mengeluarkan single demi single kerana batasan waktu yang tidak mengizinkan.
"Tambahan pula, saya perlu membahagikan masa antara nyanyian dan lakonan.
"Itu yang membuatkan masa yang ada begitu terhad untuk memberi tumpuan terhadap penerbitan album penuh," katanya pada majlis pelancaran single Cinta Luluh di Restoran 21 Kitchen, Jalan Changkat, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada masa yang sama, selaku penyanyi lagu bergenre rock, Keena menegaskan, dia tidak mahu disamakan dengan idolanya, Ratu Rock, Ella atau mana-mana artis lain kerana dia beranggapan, setiap individu mempunyai personaliti yang berbeza.
Mengulas mengenai perkembangan dunia seni lakonannya, Keena memberitahu, dia kini sibuk menjalani penggambaran filem keduanya, Tokak arahan Sabree Fadil dan filem Aiman Tak Kisah terbitan Mar Energetic.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: