Thursday, June 9, 2011

MAS kekal sasaran keuntungan operasi

Malaysia Airlines Systems Bhd (MAS) terus mengekalkan daya tahannya, walaupun berhadapan dengan persekitaran mencabar dan tidak akan mengubah sasaran keuntungan operasinya antara RM300 dan RM600 juta bagi tahun ini.

Pengarah Urusannya, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, syarikat itu perlu menghadapinya dan memastikan paras pertumbuhan ditetapkan selari dengan profil kos dan perolehan.

“Paras harga minyak tinggi dan berpanjangan memberi kesan terhadap kami seperti ia memberi kesan terhadap syarikat penerbangan lain,” katanya di Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia di Singapura.

Tengku Azmil mengulas mengenai pengumuman IATA bahawa ia memotong unjuran keuntungan industri penerbangan bagi tahun ini sebanyak 54 peratus kepada ASD4 bilion, daripada ASD8.6 bilion yang diunjurkan pada Mac berikutan bencana alam semula jadi di Jepun, ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan Afrika Utara serta peningkatan mendadak harga bahan api.

“Kami juga tidak terlepas dan kami tentunya menyaksikan kesan negatif berikutan harga bahan api tinggi,” katanya.

Bagi menghadapi keadaan itu, Tengku Azmil berkata, syarikat penerbangan itu telah mengambil langkah untuk mengawal harga bahan api.

“Kami tidak boleh mengawal harga bahan api,” katanya sambil menyatakan MAS telah menyelaraskan surcaj bahan api seperti yang sepatutnya dengan kenaikan harga bahan api.

“Justeru itu, kami masih lagi mengejar, dan ia agak sukar, tetapi kami juga melakukan lindung nilai. Sebagai contoh, kami melindung nilai kira-kira 25 peratus daripada keperluan bagi tahun ini,” katanya.

Mengenai trafik syarikat penerbangan global, katanya walaupun ia meningkat 11 peratus, kenaikan harga bahan api memberi kesan negatif kepada keuntungan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: