|
|
DI saat manusia berlumba-lumba menikmati kejayaan, kekayaan dan kemewahan dalam kehidupan ramai lagi yang jauh ketinggalan dan tidak dilimpahkan dengan kemudahan untuk mengubah taraf kehidupan mereka walaupun berbagai usaha telah dijalankan.
Saban hari kita dipaparkan dengan pelbagai kisah keperitan dan penderitaan insan-insan ini. Sebahagian daripada kita mungkin memahami dan simpati keperitan yang ditanggung mereka.
Bagi menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan ini, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Melaysia (Pertubuhan IRM) dan stesen Radio IKIMfm akan menganjurkan majlis makan malam amal Simfoni Kasih Bersama Datuk Sharifah Aini, bersempena dengan sambutan ulang tahun sedekad usia IKIMfm.
Penganjuran majlis itu bagi mengumpul dana untuk kebajikan khusus kepada golongan fakir miskin, anak yatim, golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal miskin melalui pelbagai program kelolaan Pertubuhan IRM.
Bertemakan Hapuslah Air Matamu”, kerjasama julung kalinya itu akan berlangsung pada 2 Julai 2011 bersamaan hari Sabtu, bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Majlis itu akan turut dihadiri tetamu kehormat iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Uniknya, pada majlis makan malam amal itu biduanita Datuk Sharifah Aini turut meraikan ulang tahun kelahirannya. Ini pastinya merupakan satu pengalaman yang pasti akan dikenang dalam karier beliau lebih 40 tahun bergelar anak seni.
Pada sidang akhbar majlis itu baru-baru ini, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meluahkan rasa terharu atas pelawaan pihak penganjur.
Apatah lagi, bila mengetahui IKIMfm adalah satu-satunya radio yang berkonsepkan Islam dan kerohanian.
“Saya akan buat yang terbaik dalam menghiburkan tetamu yang hadir dan yang pasti saya akan memastikan mereka yang hadir akan meninggalkan dewan ini dengan memori yang indah,” katanya yang turut menyatakan kesudian untuk terus memberikan kerjasama pada masa-masa akan datang.
Tambah Kak Pah, dia akan mendendangkan 20 buah lagu dengan iringan para pemuzik secara live.
Terdapat tiga bentuk meja yang dijual secara berkumpulan iaitu Platinium (RM5,000), Emas (RM3,000) dan Perak (RM2,000).
Selain itu, jualan meja turut dibuka untuk individu, di mana tiga peringkat kerusi ditawarkan iaitu; Platinium (RM500), Emas (RM300) dan Perak (RM200).
Makan malam amal itu turut menampilkan para juruhebah IKIMfm. Tetamu yang hadir akan berkesempatan beramah mesra dengan mereka. Majlis turut diselangi dengan slot keilmuan Bingkisan Ilmu.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan IRM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada IKIMfm yang sedia bekerjasama bagi menganjurkabn majlis itu.
Hasil kerjasama itu katanya, diharap dapat menatijahkan kesinambungan usaha-usaha kemanusiaan yang telah dirancang Pertubuhan IRM.
Antaranya program Bantuan Makanan Asas di Kelantan, Kedah, Pahang, Perak dan Johor serta Program Membaiki Rumah Warga Miskin di Kedah dan Kelantan.
“Oleh itu, saya amat mengalu-alukan sumbangan dan sokongan daripada individu dan badan-badan korporat serta organisasi yang prihatin. Saya juga menyeru sokongan daripada orang ramai untuk turut serta menjadi sukarelawan.
“Orang ramai juga boleh temui dan mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti terkini Pertubuhan IRM melalui jaringan rangkaian komuniti sosial ‘facebook’ dengan carian nama irmalaysia.”
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai majlis makan malam amal Simfoni Kasih itu boleh membuat tempahan secara online dengan melayari laman sesawang rasmi Pertubuhan IRM www.irmalaysia.org atau hubungi di talian 03-89485939 /019-3973558 (Farouq Zauji).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: