|
|
RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sifat luhur dan berbudi pekerti tinggi. Ramai tidak akan menolak untuk memberikan bantuan dan pertolongan sekiranya ada pihak yang dilanda kesusahan.
Sebagai bukti, ada individu yang sukarela menubuhkan rumah anak-anak yatim dan insan-insan istimewa, melakukan pelbagai khidmat penjagaan dan pengurusan kepada golongan yang memerlukan dan sebagainya.
Paparan kali ini mengemukakan kisah mengenai individu-individu yang mengabdikan diri mereka demi untuk kebajikan insan-insan istimewa yang serba kekurangan menerusi pelbagai jenis terapi bagi membantu insan-insan kelainan upaya (OKU).
Biarpun tanpa dana yang mencukupi dan dihalang dengan pelbagai kekangan, namun itu sedikit pun tidak melemahkan semangat mereka untuk memberikan bantuan sekadar yang terdaya.
Ini mungkin sebahagian kecil daripada insan-insan yang melakukan usaha kebajikan demi kepentingan golongan OKU menjalani terapi bagi ‘memulihkan’ sedikit sebanyak fizikal dan mental golongan berkenaan.
Bagi Halimah Hashim, 51, pengetahuan yang tidak terbatas mengenai kuda ketika berada di luar negara selama 16 tahun membolehkan dia menggunakannya untuk membantu anak-anak istimewa. Ia khusus untuk yang mengalami kecacatan fizikal menerusi terapi menunggang kuda atau lebih dikenali sebagai terapi hippo.
Dibantu oleh suaminya, Abdullah Yahya, 51, dan tujuh anak-anaknya, keluarga yang sememangnya minat dengan aktiviti berkuda itu meluangkan beberapa hari dalam seminggu memberi kemudahan riadah berkuda kepada anak-anak OKU tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Halimah menamakan kegiatan itu Riding For Disable memandangkan untuk menjadi seorang pakar terapi, ia memerlukan sijil khusus.
“Saya pulang dari Amerika Syarikat pada tahun 1996 dan kemudian berpindah ke kejiranan sekarang sejak enam tahun lalu.
“Memandangkan kami sekeluarga memang gemar dengan riadah berkuda, kami telah membeli tiga ekor kuda untuk kegunaan pada waktu senggang,” jelas anak kelahiran Pulau Pinang itu.
Bercerita lanjut, Halimah menjelaskan pada mulanya dia tidak merancang menjadikan kawasan di persekitaran rumahnya sebagai tumpuan untuk membantu anak-anak OKU itu.
“Segalanya berlaku tanpa diduga. Enam tahun lalu ketika sedang menunggang kuda di persekitaran sini saya bertembung Renee, ketika itu berumur 4 tahun bersama ibunya.
“Saya mempelawa Renee menunggang kuda dan membawanya ke sekeliling kawasan ini. Setelah empat bulan kita melihat keajaiban kepada kanak-kanak ini. Daripada tidak boleh berjalan, dia sudah pun berjalan dan kemudian berlari,” katanya.
Renee Ng Krattli, 10, yang menghidap kornelia de Lange, iaitu sindrom kombinasi pelbagai simptom penyakit yang meliputi mental dan fizikal yang menyebabkan perkembangan dirinya terbantut.
Bermula dari saat itu, dapat dilihat perubahan Renee menjadi lebih tegap. Struktur badannya, tidak lagi membongkok. Dari tidak boleh berjalan Renee kini sudah boleh berjalan dan berlari sebagaimana kanak-kanak lain.
Semenjak itu Halimah memutuskan untuk melakukan aktiviti kebajikan berbentuk terapi itu secara percuma kepada yang memerlukan terutama kanak-kanak istimewa.
“Kami cuma ada tiga ekor kuda. Dua ekor kuda lagi sudah agak tua dan tinggal seekor kuda ini sahaja dinamakan Sam Dolphin.
“Sebagai kuda yang terlatih, Sam Dolphin memang lembut dengan anak-anak ini dan berjalan dengan sopan seolah-olah memahami keadaan anak-anak berkenaan.
“Bayangkan keadaan Sam yang terpaksa membawa berpuluh-puluh anak-anak ini berjalan. Hendak menolak, kami tidak sampai hati kerana ada yang datang dari jauh.
“Malah setiap hari Jumaat kami turut memperuntukan masa bagi anak-anak istimewa dari pusat pemulihan dalam komuniti (PDK), Klang, Selangor untuk menunggang kuda,” jelas Halimah yang memiliki perniagaan sendiri.
Halimah mengakui terapi berkuda membantu anak-anak yang tidak boleh berjalan menerusi saraf yang mengesan getaran sensitiviti pada kanak-kanak menerusi tunggangan yang dilakukan.
Tegasnya, ramai rakyat negara ini yang mempunyai kuda juga boleh melakukan kebajikan seperti itu sekiranya mereka mahu.
Halimah Hashim yang berada di No. 16, Jalan Putra Bistari 2/2D, Putra Height, Subang Jaya, Selangor ini boleh dihubungi di talian 016-3668976.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: