Dr Mashitah (tengah) melancarkan program Ustazah Pilihan anjuran Astro Oasis di Muzium Kesenian Islam.
SELEPAS merealisasikan Imam Muda yang meninggalkan impak bukan hanya di kalangan khalayak tempatan malah mendapat liputan media antarabangsa, Astro Oasis meneruskan kesinambungan menghasilkan sebuah lagi program realiti keagamaan namun kali ini menjurus kepada pencarian pendakwah wanita yang dinamakan Ustazah Pilihan.
Uniknya, program realiti yang bakal memulakan sesi uji bakat bulan depan dan menemui khalayak pada 1 Oktober ini akan membabitkan sepenuhnya penyertaan golongan hawa, bermula dari kakitangan penerbitan, mursyidah, juri hingga kepada penyertaan penonton di studio sekali gus menjadi satu-satunya rancangan televisyen yang menonjolkan penguasaan wanita.
“Lebih menarik lagi apabila Ustazah Pilihan akan dihasilkan sepenuhnya oleh golongan hawa dan secara simboliknya menunjukkan kuasa wanita dalam menerajui segala macam bidang tidak terkecuali dalam penyebaran dakwah Islam kepada seluruh masyarakat khususnya untuk golongan mereka sendiri,” katanya pada majlis pelancaran Ustazah Pilihan.
Pelancaran program yang turut meraih kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Dalam merealisasikan misi ini, pihaknya mempelawa wanita muda berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun untuk menyahut cabaran menyertai sesi uji bakat di empat negeri iaitu Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur, yang memerlukan calon yang berkebolehan dalam komunikasi, berilmu, berpegang kukuh kepada agama, berdaya fikir tinggi serta matang.
Sementara itu, Dr Mashitah berkata, barisan pelapis untuk pendakwah sedia ada itu diharap mampu menangani permasalahan atau isu yang dikemukakan terutama yang membabitkan golongan hawa kerana ada di antara kelompok wanita yang sukar dikongsi dan malu untuk mendapatkan pandangan berhubung sesuatu perkara kepada pendakwah yang berlawanan jenis daripada mereka.
“Kita tidak menafikan peranan pendakwah lelaki, cuma ada di antara wanita yang lebih selesa mengadu atau bertanyakan sesuatu isu termasuk soal agama kepada kaum mereka sendiri disebabkan perasaan segan. Di sinilah tanggungjawab pendakwah wanita yang mudah didekati kelompok mereka sendiri dan tiada jurang pemisah antara mereka.
“Tambahan pula sekarang kita kekurangan pelapis muda yang boleh mengambil alih atau mengisi ruang yang ditinggalkan sementara oleh pendakwah wanita senior yang akan melalui kitaran hidup insan - berkahwin, hamil dan melahirkan. Justeru setiap ruang ini perlu diisi apatah lagi dalam sesebuah majlis atau program di TV, balik-balik wajah individu sama diundang.
“Peluang sebegini tidak harus dilepaskan oleh bakat muda di luar sana. Usaha yang dilakukan Astro Oasis ini wajar diberi pujian kerana mereka mencungkil pelapis yang mampu meneruskan kesinambungan penyebaran syiar Islam dengan membuka ruang serta peluang,” katanya mengenai program yang akan memilih 10 muslimah sebagai calon peserta itu.
Menerusi Ustazah Pilihan itu, 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, yang bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan.
Mereka akan diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: