Ahmad Rodzi Pawanteh
AMANAH Raya Bhd (Amanahraya), melalui anak syarikatnya Amanah Raya Capital Group bekerjasama dengan Fattah Finance, syarikat pengurusan aset Islam Kazakhstan untuk menubuhkan sebuah institusi berasaskan model Lembaga Tabung Haji yang dikenali sebagai Kaz Haj.
Seperti Tabung Haji, Kaz Haj yang dilancarkan semalam akan menyediakan dua kemudahan utama bagi umat Islam Kazakhstan iaitu skim simpanan dan logistik.
“Kaz Haj adalah berasaskan kepada model Tabung Haji Malaysia, yang sudah terbukti kejayaannya dan kita akan menggunakan pengalaman mereka dalam Kaz Haj.
“Ia adalah sebahagian sumbangan Amanahraya kepada pengembangan Islam global,” katanya ketika ditemui di Astana, Kazakstan semalam. Turut bersama beliau ialah Pengerusi Amanahraya, Datuk Dusuki Ahmad.
Majlis memeterai perjanjian usaha sama 50:50 antara Amanahraya dan Fattah Finance telah diadakan di Palace Of Independence dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketujuh yang bermula semalam.
Kini, sejumlah 3,000 hingga 4,000 umat Islam Kazakhstan menunaikan haji setiap tahun dan ia dijangka meningkat dua kali ganda apabila pembentukan Kaz Haj menjadi realiti. Kira-kira 70 peratus daripada 16 juta penduduk Kazakhstan beragama Islam.
Ahmad Rodzi berkata, selain Kazakhstan, Amanahraya juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa negara lain di Asia Tengah, khususnya Azerbaijan dan Tartastan untuk menubuhkan tabung sama di negara masing-masing.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada sidang medianya berkata, susulan perbincangan Najib dengan Presiden Nursultan Nazarbayev di sini, kelmarin, Kerajaan Malaysia dan Kazakhstan melantik beliau dan Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Aset Issekehev sebagai rujukan kerjasama ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Katanya, fokus utama adalah pelaburan lima projek signature dalam sektor perbankan Islam, minyak dan gas, pertanian, penjanaan tenaga serta perhotelan bercirikan kesenian Malaysia seperti yang sudah dipersetujui.
Beliau berkata, untuk projek signature minyak dan gas, Petronas akan menghantar pegawainya ke sini, bulan depan untuk mengadakan perbincangan dan membuat kajian kemungkinan untuk melabur di negara ini, manakala bagi sektor pertanian, satu perjanjian persefahaman ditandatangani National Feedlot Corporation Sdn Bhd dengan Wilayah Jambul di selatan Kazakhstan, kelmarin, untuk mengusahakan ladang ternakan lembu untuk kegunaan Malaysia.
Kumpulan Genting dikatakan akan mengumumkan untuk membina sebuah loji janakuasa bebas yang mampu menghasilkan 200 Megawat (MW) di Kazakhstan dalam tempoh terdekat.
Mengulas mengenai pembabitan syarikat Malaysia dalam WIEF, Mustapa berkata, lebih 10 syarikat Malaysia, termasuk Sime Darby dan UEM menyertai forum kali ini, selain kira-kira 200 anggota delegasi dari Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: