DETIK BERSEJARAH...gabungan pakar rambut terkenal dunia, Taw, Yuko bersama Amir dan Tay mencipta sejarah tersendiri kepada industri fesyen tanah air.
MENCAPAI kesempurnaan, inilah gambaran keseluruhan untuk majlis peragaan fesyen Sunsilk dan Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (Moda) di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara, baru-baru ini.
Majlis gilang-gemilang yang �diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-21 Moda itu dihadiri barisan pereka fesyen tempatan popular, selebriti tempatan dan kelompok pencinta fesyen yang setia menanti seawal jam 6 petang lagi.
Gabungan unik buat julung kalinya bagi dua nama besar itu berjaya mengangkat tema kesempurnaan ke satu tahap yang cukup tersendiri.
Tampil memberi kejutan, pihak penganjur turut menerbangkan dua pakar rambut terkenal, Thomas Taw dan Yuko Yamashita yang amat dikenali di peringkat antarabangsa khas untuk majlis berkenaan.
Dua pakar rambut itu mempamerkan kreativiti masing-masing untuk menghasilkan gaya rambut yang sesuai dengan busana indah yang dihasilkan dua pereka tempatan iaitu Amir Luqman dan Alvin Tay bagi menghangatkan lagi pentas peragaan.
Ternyata rekaan Amir dan Tay berjaya memanfaatkan peluang keemasan itu dengan sebaiknya.
Pengalaman dan kreativiti yang dimiliki pereka menghasilkan koleksi busana yang bukan saja indah dipandang malah cukup glamour untuk digayakan.
Pemilihan material ideal dan hiasan iaitu kristal berkilau menyerlahkan lagi busana rekaan.
Apatah lagi kebanyakan rekaan busana yang ditampilkan hadir dalam palet warna terang dan ceria.
Majlis bertambah hangat apabila selebriti remaja, Diana Danielle muncul di pentas peragaan.
Dia tampak begitu anggun dalam persalinan baju tanpa lengan rekaan Tay sementara rambut mendapat sentuhan Yuko.
Presiden Moda, Gillian Hung berkata, dunia fesyen bukan sekadar pemilihan pakaian yang ideal semata-mata.
Sebaliknya, ia turut membabit beberapa elemen penting iaitu solekan, gaya rambut dan penampilan model itu sendiri.
Kata Gillian, penampilan tidak akan mencapai tahap sempurna seandainya salah satu elemen itu tiada.
“Tiada guna jika berpakaian cantik tetapi rambut tidak terurus atau tidak disempurnakan dengan baik.
“Membiarkan rambut �berminyak ataupun gugur tanpa �mencari jalan penyelesaian untuk �mengatasi masalah ini sebenarnya �memperlihatkan wanita itu malas dan mengambil sikap sambil lewa pada penjagaan diri,” katanya.
Sementara itu, Amir dan Tay menyertai barisan 33 pereka �tempatan terkenal seperti Tom Abang Saufi, Bill Keith, Jovian Mandagie, Key Ng, Melinda Looi, Michael Ong, Zang Toi, Eric Choong , William Liew, Nurita Harith, Michelle Lau, Jonanthan Cheng, Eric Choong, Sonny San, Albert King dan Carven Ong untuk berkongsi pentas peragaan berkenaan.
Seperti pada acara peragaan lain, himpunan busana seperti gaun malam kembang, gaun meleret serta gaun koktel paling mencuri tumpuan.
Tidak ketinggalan, koleksi pakaian semi formal berkonsepkan santai, kasual, kaftan serta futuristik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: