Genre: Fiksyen Sains
Pengarah / Penulis:JJ Abrams
Tidak kira drama, thriller, fiksyen sains mahupun aksi, kecemerlangannya sukar dinafi. Lihat saja filem tulisannya seperti Regarding Henry (1991), Forever Young (1992), Armageddon (1998), Joy Ride (2001), Mission: Impossible III (2006) dan terbaru, Super 8, semuanya dikira begitu berbeza. Dia juga penulis untuk siri televisyen seperti Felicity, Alias dan Lost.
Sama ada sebagai penulis mahupun pengarah (ada kalanya dia menggalas kedua-dua tanggungjawab itu sekali gus), lelaki berusia 44 tahun ini cukup kreatif, lebih-lebih lagi ketika menghasilkan filem bergenre fiksyen sains.
Cloverfield (sebagai penerbit) dan Star Trek (pengarah, penerbit), masing-masing terbitan tahun 2008 dan 2009, umpamanya, bagai membawa dimensi baru dalam filem genre berkenaan.
Menerusi Super 8, yang menyaksikannya sebagai penulis, pengarah dan penerbit, sekali lagi Abrams memperlihatkan kewibawaannya, bahkan ramai pihak melihatnya sebagai calon paling hampir menggantikan Steven Spielberg, andainya pengarah veteran itu tidak lagi aktif.
Lebih menarik, melalui Super 8, kedua-duanya bekerjasama sebagai penerbit. Gabungan dua pembikin penuh ilham ini pastinya membuatkan peminat filem teruja menyaksikan buah tangan mereka dengan hidangan penuh hiburan, debaran, fantasi dan aksi meyakinkan.
Filem ini bercerita mengenai sekumpulan kanak-kanak di pekan Lillian, Ohio, yang sedang menghasilkan filem menggunakan kamera Super 8 apabila mereka menyaksikan kemalangan kereta api yang dahsyat. Sejak malapetaka itu, berlaku insiden kehilangan penduduk serta kejadian yang sukar dijelaskan. Seorang timbalan ketua polis mula menyiasat insiden itu apabila dia mendapati kereta api terbabit adalah milik pihak tentera. Pada masa sama, kanak-kanak itu turut berasakan sesuatu tidak kena apabila pihak tentera mula mengawal pekan mereka.
Namun, siasatan berkenaan membawa mereka kepada penemuan makhluk asing yang terlepas sewaktu kemalangan berlaku.
Tarikan utama ialah lingkaran kehidupan kanak-kanak itu, Joe Lamb dan Alice Dainard yang ada misteri tersendiri. Jika Joe yang baru saja kehilangan ibunya akibat terkorban dalam kemalangan di tempat kerja, Alice pula memendam rasa kerana bapanya ialah pemabuk bermasalah.
Abrams bijak membawa penonton melihat tragedi kemalangan kereta api itu daripada kaca mata kanak-kanak. Walaupun insiden itu cukup menakutkan, ditambah misteri tersimpan di sebalik kejadian berkenaan, kanak-kanak terbabit yang ghairah ingin menyiapkan filem mereka menggunakan peluang ‘mencantikkan’ lagi filem sedang diusahakan. Lalu terhasillah banyak babak melucukan, pada masa penonton kecut perut menunggu jawapan apa sebenarnya yang keluar daripada kereta api sewaktu kemalangan. Di samping itu, kesan visual serta kesan khas yang hebat turut membantu menjadikan Super 8 filem yang cukup menggegarkan.
Babak kereta api meletup, dengan koc melambung ke sana-sini pada awal-awal cerita, memang mengagumkan. Kemudian, adegan serangan ke atas kereta polis di stesen minyak oleh makhluk tidak diketahui, serta babak makhluk asing menyerang bas yang membawa kanak-kanak terbabit sememangnya begitu menakutkan. Maka tidak hairanlah apabila Super 8 diklasifikasikan sebagai filem PG13.
Carta pecah panggung:
1 - X-Men: First Class
2 - Kung Fu Panda: The Kaboom Of Doom
3 - Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides
4 - Karak
5 - Nur Kasih The Movie
6 - Fast and Furious 5
7 - Insidious
8 - Toyol Nakal
9 - Priest
10 - Diary Of A Wimpy Kid: Rodrick Rules
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: