![]() |
| Mohamad Razi Kail (tengah) bersama Hishamuddin Mustafa (kanan) dan Jamal Mohd. Amin (kiri) menanam pokok pada kempen 1Malaysia Green 1Malaysia Clean (1MG 1MC) di Kolej Uniti, Port Dickson, baru-baru ini. |
LEBIH 2,000 penuntut Kolej UNITI Pasir Panjang dekat Port Dickson mengambil bahagian dalam kempen 1Malaysia Green 1Malaysia Clean (1MG 1MC) yang dipelopori oleh kolej swasta itu bersama PDS Training Camp Sdn. Bhd. di Port Dickson, baru-baru ini.
1MG 1MC adalah kempen yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan pada tahun lalu dengan tujuan memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan di kalangan rakyat khususnya di lokasi tarikan pelancong di negara ini.
Kolej UNITI yang ditubuhkan pada Mac 1997 adalah sektor swasta pertama di negara ini yang menyahut seruan kerajaan menjayakan kempen 1MG 1MC.
Ketua Eksekutif Kolej UNITI, Jamal Mohd. Amin berkata, para penuntut bersama 400 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah digerakkan bagi membersih dan mengindahkan lokasi tumpuan pelancong di Tanjung Agas, Port Dickson.
Beliau berkata, lima kawasan utama menjadi tumpuan aktiviti itu iaitu perhentian bas, Jeti Tanjung Agas, masjid, UNITI Village dan PD Sanctuary yang semuanya mempunyai kaitan dengan industri pelancongan di Port Dickson.
Menurutnya, pihak kolej turut menjadikan Jeti Tanjung Agas sebagai produk pelancongan angkat memandangkan ia sedang meningkat popular melalui kegiatan Sungai Linggi River Cruise yang menawarkan pelbagai tarikan alam semula jadi seperti melihat buaya, bangau dan udang galah.
"Kami mahu menyahut seruan kerajaan agar pihak swasta sama-sama menjayakan kempen 1Malaysia Green 1Malaysia Clean terutamanya bagi memastikan lokasi pelancongan sentiasa bersih dan menarik.
"Pada masa sama, kita juga mahu mendidik diri kita sendiri dan generasi muda agar sentiasa menghargai tempat pelancongan," katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya membelanjakan lebih RM50,000 bagi menjayakan kempen tersebut.
Jamal berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama jangka panjang dengan Tourism Malaysia bagi meningkatkan kemampuan dan populariti Tanjung Agas sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.
Kempen berkenaan dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail.
Turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Hishamuddin Mustafa.
Sementara itu, Mohamad Razi menyanjung tinggi usaha Kolej UNITI menjayakan 1MG 1MC dan berharap lebih banyak entiti swasta tampil untuk menyertai kempen itu.
Katanya, penyertaan daripada pihak swasta amat dialu-alukan kerana semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam membantu kerajaan memajukan sektor pelancongan yang memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara.
"Kempen ini bertepatan dengan konsep 'berfikir dan bertindak pelancongan' kerana semua orang mempunyai peranan masing-masing menjaga lokasi pelancongan dengan memastikan ia sentiasa bersih, indah dan cantik.
"Saya bersyukur kerana ada pihak swasta yang mahu menjayakan program ini iaitu penuntut kolej UNITI dan pelatih PLKN. Ia memupuk semangat kesukarelawan melalui aktiviti gotong-royong," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: