Sunday, June 12, 2011

Kisah ‘Ratu’ Panggung




DUA nama yang cukup gah dan kuat dalam dunia teater. Penggerak, aktivis dan ‘penari’ watak yang membuahkan kepercayaan bahawa teater itu hidup, inilah antara individunya.

Bersembang dengan Juhara Ayob dan Norzizi Zulkifli, banyak gelak ketawa lantaran mereka mengembara dalam lapangan seni pada asas dan gelanggang yang sama. Nama-nama ini adalah tugu kepercayaan dalam teater, meletakkan arena itu pada lapangan yang serius.

Kini mereka kembali dalam sebuah naskhah arahan Rosminah Tahir yang berjudul Mak Dara Nyonya yang bakal dipersembahkan pada 6 hingga 12 Julai ini. Teater dengan enam karakter lakonan Juhara Ayob, Sherry Abdullah, Misha Omar, Fara Fauzana, Sarimah Ibrahim, Norzizi Zulkifli dan Zaifri Husin akan dipersembahkan di Malaysia Tourism Centre (Matic), Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam. Tanda dagang yang diletakkan pada teater ini berbunyi dua cerita, dua negara, satu pengarah.

Wisran Hadi dan Siti Rohayah Attan bergabung mempersembahkan dua cerita. Mak Dara dan Nyonya diadunkan dalam satu nafas buat penonton. Sebuah naskhah untuk dibuat renungan dan pembelajaran tentang hidup.

Ceritakan serba sedikit tentang watak kalian dalam teater Mak Dara Nyonya ini.

NORZIZI ZULKIFLI (NZ): Watak saya sebagai ‘keponakan A’ ini sukar kerana perlu mempelajari slanga Indonesia. Dalam membuat latihan sekarang, saya sedang mencari watak saya kerana pelbagai karakter boleh dibina dan direka. Keponakan A boleh jadi seorang yang bermulut jahat atau seorang wanita yang dilihat lemah lembut tetapi hati busuk. Kata kuncinya adalah jahat dan pengarah memberi saya ruang untuk membentuk watak saya sendiri.

JUHARA AYUB (JA): Saya membawakan watak Mak Dara yang semestinya sudah dikenali ramai dengan jamu dan bisnesnya. Untuk watak ini saya perlu melakukan persiapan yang rapi. Saya akan menemu ramah sendiri Mak Dara untuk mengenali dengan lebih dekat personalitinya. Saya juga merancang untuk menemuramah anak-anaknya serta individu yang rapat dengan dirinya. Saya mahu selidik perjalanan hidup dan konflik dirinya.

Banyak nama disebut-sebut untuk membawa watak Mak Dara dan akhirnya ia jatuh ke tangan Juhara. Komen sedikit.

JA: Saya sebenarnya sudah lama dengar tentang teater Mak Dara Nyonya ini dan pencarian pelakonnya. Malah saya turut mencadangkan beberapa pelakon untuk pegang watak Mak Dara. Sampai satu peringkat saya mengagak bahawa Rohayah Attan sudah dapat aktres pilihannya. Sampailah Rohayah SMS saya dan menawarkan watak Mak Dara kepada saya. Saya sebenarnya mahu beri peluang juga kepada artis lain untuk mencuba. Malah bangga kalau ada pelakon lain yang mampu melakukannya. Saya tidak kecil hati kerana menjadi pilihan ‘masa-masa terakhir’. Saya faham tidak ramai yang berani untuk bermonolog sebanyak 20 muka surat.


PARA pelakon berbakat besar ini bakal memberikan naskhah Mak Dara Nyonya dengan jiwa teater sesuai dengan kedudukan mereka, aktivis teater.


Seperti kata Rohayah Attan, dua teater dalam satu iaitu Mak Dara dan Nyonya ini ada unsur feminisme yang mahu dipertontonkan kepada khalayak. Bagaimana kalian melihat elemen ini?

JA: Watak-watak dalam teater ini mengangkat siapa wanita itu sendiri. Mungkin tafsiran penonton akan melihat sudut positif mahu pun negatif. Saya tidak mahu khalayak datang dengan persepsi selepas menonton ‘teruknya wanita itu’ tetapi sebaliknya melihat di sebalik karakter tersebut. Kekuatan dan kelebihan wanita. Saya juga tidak mahu khalayak hanya melihat kelemahan Mak Dara tetapi sama-sama meneroka masa silamnya dan melihat usaha beliau selama ini. Melihat daripada kacamata positif.

NZ: Kalau melihat karya-karya yang dibawakan oleh Rohayah Attan memang ada unsur feminisme dalamnya dan kali ini dia meneruskan lagi elemen itu dalam Mak Dara Nyonya. Melihat kepada aspek ini, tidak salah kerana tiada aktivis lain yang membawa elemen ini. Saya harap Rohayah teruskan stail ini.

Berbalik kepada pelakon lain yang dicadangkan Juhara untuk watak Mak Dara, bagaimana kalian selaku aktivis teater melihat fenomena menaikkan nama-nama komersial sebagai pelakon utama sesebuah teater?

NZ: Kalau melihat perjalanan sejarah bangsawan, mereka menggunakan bintang untuk menarik perhatian penonton. Sistem bintang atau pelakon filem ini telah lama digunakan. Masa awal saya belajar dahulu, saya ada pandangan prejudis terhadap sistem ini dan bertanya kenapa ia terjadi. Tetapi apabila belajar sejarah, saya faham bahawa ia telah lama digunakan. Tidak salah menggunakan bintang selagi sebuah teater itu diadunkan dengan pelakon teater yang sebenar. Ada yang guna kaedah ini tetapi tidak tahu budaya teater. Saya rasa orang yang bertanggungjawab adalah bahagian pentadbiran teater itu sendiri. Tidak semua bintang tahu budaya teater sebenar. Mungkin perlu ada kuota antara pelakon teater dan bintang dalam sebuah naskhah atau pementasan.

JA: Pelakon perlu tahu kebolehan diri masing-masing. Kalau mampu dan boleh menjadi versatil, kami selaku penggerak teater mengalu-alukan kedatangan kalian. Malah tidak ada perasaan cemburu terhadap bintang-bintang yang menapak dalam arena teater. Kalau mereka berani dan bagus dalam teater, itu sudah dikira bonus. Kita sebagai aktivis teater tahu kehendak dan keperluan naskhah. Berbalik kepada pelakon komersial ini, kalau mereka melakukannya dengan baik, itu bagus. Kalau tidak, itu hanya akan membusukkan nama mereka. Gunakan peluang sebaik mungkin. Saya lihat ada bintang-bintang yang mempamerkan kesungguhan dan kebolehan dalam bidang teater.

Secara logistik, mungkin khalayak lebih terarah untuk menonton di tempat yang berprestij dan mereka tahu. Bagaimana nasib teater-teater bagus di tempat yang mereka tidak biasa pergi?

NZ: Jujurnya, teater yang bagus itu selalu dipertontonkan di skala yang lebih kecil. Didominasi oleh syarikat atau produksi yang kecil. Tetapi ia juga melibatkan bajet yang kecil. Mungkin kerana tidak ada liputan atau promosi yang secukupnya tentang teater di tempat kecil itu maka ia tidak dikenali. Ada nasib yang baik, ia akan dikenali. Selalunya teater di tempat kecil ini dikongsi bersama-sama penggiat teater dan penonton yang kenal dengan produk sebegini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: