DUA grup anak muda meneroka, walaupun tidak sejauh mana tetapi tetap dalam siri kembara muzik. Bunkface menuju Makassar manakala Grey Sky Morning (GSM) menjelajah Jakarta buat kali pertama atas nama muzik.
Anak-anak muda ini baru setahun jagung dalam dunia muzik tetapi visi dan misi mereka dalam memperjuangkan muzik sudah membuktikan bahawa kemahuan adalah segala-galanya.
Mereka membawa senjata utama mereka iaitu muzik ke negara seberang. Bukan sekadar mahu diterima dan mempamerkan sisi kreatif anak Malaysia, kedua-dua grup ini membentuk sebuah perhubungan baik melalui muzik dan mengembangkan sayap bakat bukan hanya buat penduduk tempatan.
Muzik mereka merentas udara dan lautan. Usaha dan kegigihan mereka juga wajar diberi perhatian. Kalau mengikut kronologi penerimaan seberang, bukan senang-senang mereka mahu menerima kreativiti asing. GSM dan Bunkface sudah membuka pintu itu untuk sebuah produk dan karya yang muda dan segar.
Bunkface bikin kecoh
Bukan satu, bukan dua tetapi semua lagu yang dinyanyikan oleh grup Bunkface di Makassar, Sulawesi dinyanyikan bersama-sama penonton. Grup yang dianggotai Sam (vokalis), Youk (bass) dan Paan (gitar) itu berjaya menawan hati dan telinga penduduk Makassar sewaktu acara Makassar Fest diadakan pada 28 Mei lalu.
Konsert yang dihadiri oleh 5,000 penonton yang datang dari Jakarta dan Surabaya itu merupakan sebuah festival muzik rock terbesar di Indonesia. Ia merupakan sebuah acara tahunan yang diuruskan oleh sebuah kumpulan yang menamakan grup mereka Athirah. Bunkface dijemput oleh pihak penganjur setelah kaji selidik dijalankan di kalangan remaja berusia 16 hingga 25 tahun memilih Bunkface.
“Kami tidak menyangka akan diterima sebegitu rupa dan sangat teruja dengan sambutan yang diberikan oleh penonton Makassar. Kami diberi penghargaan untuk bermain di segmen terakhir yang di luar pengetahuan kami. Paling mengejutkan, semua penonton menyanyikan kesemua lagu yang kami mainkan di sana. Malah lagu-lagu lama kami juga dinyanyikan bersama-sama,” ujar Paan mewakili Bunkface.
Sebanyak lapan buah hits dalam album Phobia Phoney iaitu Situasi, Revolusi, Ekstravaganza, Dunia, Prom Queen, Bunk Anthem, Escape Dance dan Soldier diperdengarkan.
Penerimaan yang baik ini mempamerkan bahawa peminat-peminat muzik di Indonesia dapat menerima buah tangan dari Malaysia.
“Kami juga sedang merakamkan album baru dan dua buah lagu direkodkan di Jakarta. Kami turut merangka untuk keluar dengan klip video terbaru buat tatapan para peminat kami,” ujar Sam.
Grey Sky Morning Jelajah Jakarta
Ini peluang perdana membawakan muzik Grey Sky Morning (GSM) ke pendengaran khalayak luar. Sebuah peluang yang dirasa menambahkan lagi semangat dan kreativiti lima jejaka iaitu Yatt (bass), Ojex (gitar utama), Ery (dram), Ewan (gitar kedua), Ejan (vokal) dan Ammar (keyboard) yang berasal Klang ini.
GSM dijemput ke Jakarta pada awal Mei lalu bagi menjayakan program pertukaran budaya yang berkonsepkan sebuah festival rock. Selain berpeluang membawa nama Malaysia ke permukaan seni muzik luar, ini juga dianggap sebagai sebuah peluang berkenalan dan mengikat hubungan atas dasar seni dengan grup luar yang mempunyai perjuangan yang hampir sama dengan mereka.
“Tiga hari kami di sana dan mengadakan persembahan pada 1 Mei lalu. Kami menyampaikan lagu kami iaitu Pancaroba dan Cinta Gila dan turut membawakan lagu kumpulan Drama yang bertajuk Babak Pertama,” ujar GSM yang teruja kerana diberi kesempatan oleh pihak Kementeria Belia dan Sukan (KBS) untuk berada di Anchol, Jakarta.
“Respons sangat membanggakan malah kami didatangi penonton yang menyatakan keseronokan mereka melihat persembahan kami,” ujar Ewan mewakili GSM. Kumpulan GSM juga berpeluang berkenalan dengan grup dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Vietnam yang turut mengadakan persembahan.
“Ini kali pertama mengadakan persembahan di luar Malaysia. Terasa kelainan sedikit dan meletakkan GSM sebagai sebuah grup yang baru di mata peminat di sana, “ senyum mereka yang sempat menghabiskan sesi makan malam bersama Gabenor Jakarta.
Ujar GSM, penonton Indonesia mengenali tiga nama dari Malaysia iaitu Siti Nurhaliza, Amy Search dan Zamani Slam.
“Banyak yang kami pelajari di sana, paling utama ialah aspek pengurusan sesebuah grup yang sangat serius. Mereka ada tim pengurusan yang lengkap. Bukan setakat pengurus tetapi pasukan krew yang mengambil berat setiap aspek sebelum, selepas dan semasa mengadakan persembahan. Kami belum sampai ke tahap tersebut dalam pengurusan grup tetapi kami mengambil pembelajaran ini untuk pengetahuan kami,” ujar Ejan yang merupakan vokalis grup GSM.
Dikenali melalui single debut mereka, Cinta Gila, GSM kembali menyegarkan khalayak dengan lagu mereka yang bertajuk Hilang Rasa Cinta yang sedang menduduki carta radio kini.
“Cabaran apabila lagu Cinta Gila diterima, ramai yang menyatakan bahawa kami ini grup ‘one hit wonder’. Kami tidak meyangka Cinta Gila mendapat tempat di hati peminat. Kini kami mempertaruhkan lagu berentak balada, Hilang Rasa Cinta yang terarah kepada rasa putus cinta. Ini juga percubaan kami terhadap pasaran dan mempersembahkan sesuatu yang baru daripada GSM,” ujar Ewan yang menyatakan ini adalah kematangan GSM.
“Penjualan album pertama bagus dan banyak dibeli secara online. Begitu juga dengan barang-barang kami turut dijual secara online. Sekarang kami sedang mengumpulkan material untuk album kedua dan akan diterbitkan sendiri dan diedarkan oleh pihak FMC,” ujar GSM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: