Sunday, June 12, 2011

Khemah tergantung

SELESA... tiga pendaki mendirikan khemah mereka di cenuram pada ketinggian 1,300 meter.
SELESA... tiga pendaki mendirikan khemah mereka di cenuram pada ketinggian 1,300 meter.
BAHAYA... tiga khemah tergantung di dinding batu di Artik.
BAHAYA... tiga khemah tergantung di dinding batu di Artik.

BAGI kebanyakan orang, perjalanan untuk berkhemah sudah cukup membuatkan mereka berpeluh sebelum mendirikan khemah itu. Namun, bagi kumpulan yang nekad ini, mendaki cenuram dan memasang khemah pada ketinggian lebih 30 kali ganda bas dua tingkat adalah perkara biasa.

Tergantung dengan keadaan berbahaya dalam khemah pada ketinggian 1,300 meter di dinding cerun, pendaki ini berusaha mencatatkan pendakian paling berbahaya pernah dicuba.


Seperti yang dapat dilihat dalam gambar ini, pendakian itu boleh mengambil masa beberapa minggu dan pendaki terbabit perlu mendirikan khemah pada dinding cerun untuk berehat, sesuatu yang sangat mereka perlukan.

Gambar mereka dirakam oleh jurugambar Gordon Wiltsie, 57, yang turut mempertaruhkan nyawanya untuk merakam detik mencabar itu.


“Ketika pendakian itu, ia adalah musim bunga di Artik. Kerana itu, salji yang cair di kemuncak sering menyebabkan batu dan ketulan besar ais jatuh.


“Malah ada ketulan ais sebesar kereta jatuh di sekitar kami. Beberapa kali saya hampir terkena. Ia boleh menyebabkan kematian.

“Bayangan objek yang jatuh sentiasa menghantui perasaan anda. Jika anda lihat betul-betul, khemah atau ‘portaledge’ itu berada di bawah bahagian yang mengunjur ke luar. Ini bertujuan mendapatkan perlindungan, mengelak terkena objek yang jatuh,” katanya.


Menurut Wiltsie, bagi pendaki yang sukakan cabaran lebih besar, berada di paras setinggi itu tidak menggerunkan.

“Meskipun pendakiannya sangat sukar, terdedah kepada maut, tidak banyak belebas, penggunaan tali moden cukup untuk menyerap sebahagian besar bahaya yang mengancam,” katanya.


Dia juga berkata, berkhemah dalam ‘portaledge’ juga tidak menakutkan, malah ia selesa, lebih-lebih lagi jika tidak ada gangguan objek dari atas.


“Saya mendapatinya sama dengan tidur dalam khemah biasa. Yang menyukarkan ialah apabila terpaksa keluar untuk mendapatkan makanan atau bekalan daripada beg yang tergantung di luar.” Koleksi gambar menakjubkan itu adalah sebahagian daripada yang dipamerkan untuk pameran musim panas Wiltsie di Galeri Mountain Light, California, Amerika Syarikat.


Pameran itu menunjukkan pelbagai imej pendakian sepanjang dekad lalu, termasuk pendakian pertama Puncak Great Sail, tembok granit tergantung di Pulau Baffin, Kanada.


Wiltsie yang berasal dari Bozeman di Montana berkata: “Meskipun mendaki gunung berbatu seperti ini dilihat kerja gila, berpuluh-puluh pendakian seumpamanya dilakukan di kawasan pedalaman setiap tahun.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: