MALAYSIA memang terkenal dengan program bantuan kemanusiaan di seluruh dunia. Lihat saja hampir semua negara yang bergolak dan ditimpa bencana, negara kita sering menawarkan diri menjadi sukarela membantu meringankan beban.
Mungkin daripada aspek kewangan, negara kita tidak sehebat negara besar lain seperti Amerika Syarikat, namun kita tidak pernah gentar biarpun mempertaruhkan nyawa demi mencapai misi bantuan kepada golongan yang memerlukannya.
Begitu juga dengan program berkaitan hak asasi manusia, negara kita lantang memperjuangkannya sehingga Malaysia terpilih menjadi ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) bagi 2010 hingga 2013.
Begitu tinggi pengiktirafan diberi kepada Malaysia, apatah lagi jika melihat latar belakang keamanan 27.5 juta penduduk berbilang kaum yang hidup aman dan penuh harmoni.
Namun bagi isu pelarian, Malaysia memilih untuk tidak menjadi ahli bagi Konvensyen 1951 (Konvensyen) dan Protokol (Protokol) 196 atas sebab tertentu.
Mengulas isu itu, Pengerusi Komuniti Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia, Andrew Khoo Chin Hock berkata, Malaysia perlu memberi perlindungan kepada pelarian kerana tujuan mereka berhijrah adalah untuk mendapat perlindungan disebabkan ancaman keselamatan di negara asal.
“Biasanya pelarian terpaksa meninggalkan negara asal disebabkan ketakutan atau wujud ancaman keselamatan mereka di negara asal. Berdasarkan takrifan konvensyen, ancaman berkenaan disebabkan beberapa faktor termasuk nasional, agama, kewarganegaraan, pembabitan dan pandangan politik serta tidak mendapat perlindungan dari negara asal.
“Mereka terpaksa atau tiada pilihan lain kecuali berpindah ke negara lain untuk mendapat perlindungan. Oleh itu, pelarian mempunyai pengiktirafan khusus dalam undang-undang antarabangsa dengan mengambil kira hakikat tiadanya perlindungan keselamatan di negara asal.
“Keadaan ini biasanya disebabkan berlaku peperangan di negara asal seperti di Myanmar dan Afghanistan, menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri. Ia berbeza dengan pendatang tanpa izin (Pati) kerana golongan ini berpindah ke negara lain secara sukarela atas faktor ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Andrew berpendapat, Malaysia tidak mahu menggalakkan kehadiran pelarian, menyebabkan negara tidak menjadi ahli dalam Konvensyen dan Protokol walaupun sudah 60 tahun diwujudkan.
Beliau berkata, keadaan itu mungkin disebabkan Malaysia tiada sumber mencukupi dan menepati garis panduan dalam Konvensyen dan Protokol bagi menampung pelarian.
Katanya, ini kerana, dengan mempersetujui kedua-dua perkara itu, Malaysia perlu memberi komitmen terhadap pelarian, termasuk memenuhi garis panduan dikenali sebagai hak pelarian di negara penerima, termasuk kebebasan bergerak, penempatan dan pemberian status atau identiti serta dokumen perjalanan sah.
“Golongan ini bukan akan tinggal selama-lamanya di negara penerima. Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), status pelarian mereka akan terbatal secara automatik dan mereka harus kembali ke tempat mereka jika keadaan negara asal stabil atau tidak lagi berlaku ancaman keselamatan.
“Namun kekacauan di negara asal memakan masa panjang, menyebabkan mereka terpaksa berada lama di sini. Oleh itu, Malaysia perlu menjaga kebajikan mereka dalam usaha meringankan beban yang mereka tanggung.
“Saya juga melihat perkara ini memberi situasi menang-menang, di mana negara kita juga memperoleh banyak kebaikan jika Malaysia memberi pengiktirafan kepada pelarian yang datang ke sini,” katanya.
Satu daripadanya ialah menunjukkan komitmen Malaysia menerusi perkongsian beban dalam menangani isu pelarian dalam konteks global. Isu pelarian adalah isu kemanusiaan yang memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pelarian.
“Selain itu, kita juga boleh mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi ketika ini. Golongan pelarian boleh mengisi tenaga kerja di sektor seperti industri pertanian dan pembinaan yang kebanyakannya tidak mendapat sambutan di kalangan masyarakat kita.
“Pada masa sama, negara boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing serta banyak kos, terutama perbelanjaan membawa tenaga asing dari luar untuk bekerja dalam negara kita. Ini kerana pelarian biasanya datang sendiri ke negara kita.
“Bayangkan sekarang jumlah pelarian di negara kita kini mencecah 100,000 orang, ia satu sumber potensi tenaga buruh yang besar, lebih-lebih lagi pertumbuhan ekonomi pesat memerlukan tenaga kerja ramai,” katanya.
Difahamkan, ada juga pelarian mempunyai latar pendidikan tinggi serta mampu bekerja di sektor profesional. Bukan mengambil kesempatan dalam kesusahan hidup mereka, tetapi negara boleh mendapat tenaga kerja yang baik dan pada masa sama membantu pelarian menjana kewangan sendiri tanpa mengharapkan ihsan dan bantuan semata-mata.
Jika Malaysia mengiktiraf Konvensyen dan Protokol, pelarian tidak akan ditahan ketika operasi berkaitan migrasi haram sebelum dihantar ke depoh tahanan Jabatan Imigresen.
Kebanyakan depoh tahanan di negara kita melebihi kapasiti umum, menyebabkan tahanan terpaksa tinggal dalam keadaan sesak serta berdepan pelbagai masalah, terutama ancaman penyakit.
Justeru, dengan pengiktirafan status mereka, pelarian tidak akan ditahan pihak berkuasa, sekali gus mengurangkan kapasiti tahanan di depoh Pati. Ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan, khususnya dalam mengurus depoh tahanan itu.
“Namun kini, kebanyakan nasib pelarian di negara kita tidak terbela. Mereka sering dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Oleh kerana pelarian tidak diiktiraf di negara kita, mereka tidak boleh berbuat apa-apa sepanjang berada di sini, disebabkan mereka tiada hak kebebasan bergerak, mendapat tempat tinggal serta bekerja.
“Ada antara mereka terpaksa bekerja di ‘pasaran gelap’ iaitu bekerja secara tidak formal. Oleh itu, pengeksploitasian sering berlaku ke atas mereka seperti tidak dibayar gaji, kerja lebih masa dan sebagainya. Pelarian pula tiada pilihan kecuali menerima keadaan itu, selain tidak dapat membuat aduan kepada pihak berwajib memandangkan status pelarian yang tidak diiktiraf.
“Malah ada sebahagiannya terpaksa terbabit dengan kegiatan jenayah dan masalah sosial seperti pelacuran dan kongsi gelap akibat ditipu atau tiada pilihan kerana tidak boleh bekerja di tempat lain,” katanya.
Selain isu pekerjaan dan kebebasan bergerak, golongan ini juga berdepan masalah pendidikan. Difahamkan, satu pertiga daripada jumlah pelarian di Malaysia adalah golongan kanak-kanak pada tahap persekolahan.
Jika mahu menghantar ke sekolah, ramai pelarian tidak mampu disebabkan tiada pekerjaan dan pendapatan mencukupi untuk menampung kehidupan seharian.
>>Konvensyen 1951
Menggariskan variasi hak yang perlu diberi kepada golongan pelarian, termasuk kebebasan beragama dan bergerak, hak untuk bekerja, pendidikan dan dokumen perjalanan. Elemen terpenting, negara penerima tidak boleh menghantar pulang pelarian ke negara asal kerana mereka akan berdepan ancaman keselamatan di negara asal.
Bagaimanapun, interpretasi konvensyen ini terhad kepada pelarian Eropah sebelum Januari 1951 berikutan Perang Dunia Kedua pada 1945 dan mengorbankan hampir 60 juta orang.
Ia adalah konvensyen pertama bagi melindungi aspek fundamental pelarian. Ia juga menggariskan satu set hak asasi manusia yang perlu diberi kepada pelarian, selain satu rangsangan kepada kepentingan kerjasama antarabangsa.
>>Protokol 1967
Merujuk kepada instrumen perundangan antarabangsa berkaitan perlindungan pelarian yang diwujudkan bagi menyelesaikan keterbatasan interpretasi dalam konteks geografi (Eropah) dan waktu kejadian yang berlaku sebelum 1951 seperti yang terkandung dalam Konvensyen 1951.
Antara hak pelarian
FAKTA
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: