Wednesday, June 8, 2011

Keunikan siput tanpa cengkerang




HIDUPAN yang habitatnya di dasar laut ini mempunyai saiz sebesar kepala mancis sehingga ibu jari. Kepada para penyelam biasa, mungkin mereka terlepas pandang dengan kewujudannya. Namun, kepada penyelam dan jurufoto marin tegar, haiwan ini menjadi salah satu objek buruan lensa kamera mereka.

Mata mereka cekap mengenal pasti kewujudan siput tanpa cengkerang atau lebih mesra dikenali sebagai nudibranch. Selain saiznya yang comel, haiwan tersebut juga terkenal kerana corak pada badannya yang berwarna-warni.

“Sebelum ini sukar melihat nudibranch kerana saiznya yang kecil. Maklumlah, dasar laut dipenuhi dengan pelbagai hidupan. Tetapi kekerapan menyelam akhirnya memberi saya kemahiran mengesan nudibranch di merata-rata tempat di dasar laut,” jelas penyelam skuba Mohamad Tajuddin Mohd. Kassim, 40, sambil memberitahu di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu terdapat beberapa spesies nudibranch.

Antaranya nembrotha kubaryana, black spot jorunna, glossodoris atromarginata dan flabellian exoptata.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, aktiviti menyelam memberinya kepuasan yang sukar ditemui di darat. Anak kelahiran Trong, Perak yang mempunyai lapan tahun pengalaman menyelam itu menjelaskan, menyelam memberi seseorang pengalaman berada di kawasan tanpa graviti.

“Mengenali dan mendekati pelbagai spesies di dasar laut antara aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap kali menyelam,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Tajuddin, lazimnya apabila menyelam dia akan terus ke sekitar kawasan yang berbatu atau terumbu karang semata-mata untuk mencari nudibranch. Kadangkala anak ketiga daripada empat beradik itu tidak melepaskan peluang merakam gambar nudibranch untuk koleksi peribadinya.

Menakjubkan

Kepada Fredy Tansari, 26, pula dia berasa bertuah kerana dilahirkan di Jakarta, Indonesia yang dikelilingi pulau-pulau yang memiliki keistimewaan khususnya buat penyelam skuba sepertinya.

Fredy yang merupakan jurufoto dasar laut sepenuh masa berkata, dia sudah menyelam hampir separuh pulau yang terdapat di Indonesia. Antaranya termasuklah Pulau Bali, Pulau Derawan, Pulau Maratua, Pulau 1000, Pulau Shang Hiang dan Pulau Raja Ampat. Dia juga mengakui aktiviti menyelam memberi pengalaman yang menakjubkan.

Menyelam, kata Fredy, memberinya peluang mendalami ekologi dan hidupan laut serta sejarah sesebuah pulau. Selain itu, dia dapat menenangkan fikiran setiap kali lensa kameranya sibuk mencari objek menarik dan pelik di dasar laut untuk dirakamkan.

“Buangkan persepsi bahawa pemandangan yang cantik hanya boleh dilihat di darat sedangkan dasar laut juga menawarkan kepelbagaian hidupan laut yang memukau pandangan. Selain menemui pelbagai jenis ikan yang cantik dan unik dari segi bentuk dan warna, saya menemui hidupan yang pelik.


PERBANDINGAN saiz nudibranch dengan hujung jari manusia.


“Salah satunya nudibranch yang berwarna-warni. Bayangkan, hidupan bersaiz antara dua hingga 21 sentimeter (sm) itu amat cantik dan terdapat dalam bermacam-macam jenis. Badannya lembut dan bercorak. Kadangkala ada spesies nudibranch yang hadir dalam dua warna seperti kuning dan hitam, ungu dan putih serta kuning dan coklat,” tambah Fredy yang berkelulusan dalam bidang sains komputer.

Menurut Fredy, nudibranch merupakan haiwan yang bertoksik bagi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa ikan. Biasanya, nudibranch makan makanan yang bertoksik bagi mengekalkan kandungan toksik di dalam badannya.

Hidupan beracun

Penyelam dan jurufoto dasar laut dari Pasir Mas, Kelantan, Tan Pee Pheng, 37, mengakui bahawa nudibranch merupakan hidupan yang beracun. Dengan bentuk fizikalnya yang kecil maka haiwan tersebut dapat melindungi diri daripada menjadi makanan si pemangsa.

“Selain dikenali dengan panggilan singkatan nudi, segelintir penyelam menggelarkan nudibranch sebagai permata dan rama-rama di dasar laut. Lihat saja warna-warna dan corak di badan nudi yang begitu menarik.

“Namun, jangan sangka hidupan yang kecil dan secantik itu tidak bahaya. Ia beracun dan bertoksik. Toksik tersebut diperoleh menerusi proses makan bunga karang, alga, rumput laut, obor-obor, binatang moluska, krustasia atau telur ikan,” terang Pee Pheng mengenai pemakanan nudibranch.

Nudibranch mampu menghasilkan racunnya sendiri. Biasanya haiwan tersebut menyimpan zat-zat beracun di dalam badan dan mengeluarkannya menerusi sel kulit atau kelenjar apabila diancam atau diganggu si pemangsa.

Selain itu, warna terang yang menghiasi nudibranch bukan sekadar daya penarik semata-mata malah ia bertindak memberi tanda visual pada pemangsa bahawa hidupan yang berwarna terang bermakna dagingnya tidak enak dimakan.

Menyentuh mengenai aktiviti merakam foto nudibranch, Pee Pheng memberitahu, ia adalah pengalaman yang menyeronokkan dan wajib dilakukan setiap kali pergi menyelam.

“Memang tidak dinafikan kehadiran nudibranch sukar dilihat kerana saiz kecil. Tetapi, biasanya ia berada di sekitar terumbu karang.

“Bagi memudahkan proses mencari haiwan ini, saya menggunakan kanta pembesar. Begitu juga dengan kamera, saya menggunakan kamera Canon G9 dan kanta makro,” kata Pee Pheng. Nudibranch boleh ditemui di pulau-pulau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun dan Korea.

Dalam pada itu, Pengarah dan Jurulatih Skuba, Ocean Elements, Mohd. Halimi Abdullah, 40, turut menyatakan kecantikan yang dimiliki nudibranch sering menjadi perhatian jurufoto dasar laut.

“Pulau Tenggol di Terengganu antara pulau di Malaysia yang menjadi kawasan habitat utama hidupan laut ini. Hidupan-hidupan laut di pulau itu agak banyak kerana pulau itu masih kekal terpelihara dan kurang dibangunkan.

“Tak silap saya terdapat lebih daripada 50 spesies nudibranch di Pulau Tenggol,” tambah Halimi, yang kerap ke Pulau Tenggol, selain Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu dan Pulau Mabul, di Semporna, Sabah untuk aktiviti merakam foto nudibranch.

Namun Halimi menyarankan supaya berhati-hati sewaktu merakam hidupan berkenaan. Dia menasihatkan kumpulan jurufoto terutamanya yang baru berjinak-jinak agar tidak bersandar atau memijak terumbu karang.

Terumbu Karang


HALIMI bersama kelengkapan fotografinya yang sering dibawa ketika menyelam di dasar laut.


“Seperti yang kita ketahui kebanyakan nudibranch berada di celah-celah dan sekitar terumbu karang. Jadi, memandangkan saiznya kecil maka ia memerlukan jurugambar mengambil gambar dari sudut yang lebih dekat.

“Namun, apa yang menyedihkan, dek terlalu teruja untuk merakamkan gambar hidupan itu, sesetengah individu secara tidak sengaja merosakkan terumbu karang. Ramai yang tidak tahu terumbu karang memerlukan ribuan tahun untuk membesar. Dianggarkan haiwan tersebut membesar satu sentimeter setahun,” ujar Halimi.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti merakamkan foto nudibranch di dasar laut, Halimi menerangkan penyelam boleh menggunakan kamera kompak digital ataupun kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR).

“Berdasarkan pengalaman peribadi saya, kedua-dua jenis kamera ini boleh digunakan untuk merakam foto nudibranch. Cuma perbezaannya dari segi kualiti dan perincian foto tersebut.

“Bagi mereka yang selesa menggunakan kamera kompak pastikan anda bawa bersama perumah kamera kedap air. Ia bukan saja mengelakkan kerosakan pada kamera malah membantu menghasilkan foto-foto nudibranch yang menarik,” jelas Halimi yang menggunakan kamera kompak digital jenama Canon G9.

Halimi dari Taman Melati, Kuala Lumpur mengakui kamera DSLR lebih baik berbanding kamera kompak dalam menghasilkan rakaman foto terbaik. Rupa dan corak nudibranch jelas kelihatan memandangkan aktiviti fotografi berkenaan dibantu dengan teknik fokus menggunakan lensa kamera yang sesuai.

Menurut Halimi, dia membelanjakan RM15,000 untuk membeli kelengkapan kamera di dasar laut. Bagi mendapatkan foto yang menakjubkan, sebaik-baiknya gunakan lensa makro berukuran antara 90 milimeter (mm) hingga 150 mm.

“Pemilihan lensa makro yang betul memudahkan aktiviti fotografi sekali gus membantu penyelam merakam nudibranch yang menyorok di celah-celah terumbu karang,” ujar Halimi ketika ditemui Kosmo!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: