Wednesday, June 8, 2011

Bayar bil U Mobile di Pos Malaysia


KAIZAD (kiri) dan Syed Faisal mengumumkan kerjasama strategik antara U Mobile dan Pos Malaysia.


PELBAGAI pilihan medium pembayaran bil telefon dan Internet mudah alih pasca bayar tentu sekali dapat memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran dengan lebih pantas.

Menyedari keperluan itu, U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menjalin kerjasama bagi membolehkan pelanggan perkhidmatan telekomunikasi tersebut membuat pembayaran bil menerusi pelbagai rangkaian Pos Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Dr. Kaizad Heerjee berkata, melalui kerjasama tersebut, pelanggan-pelanggan U Mobile dapat membuat pembayaran bil talian dan Internet mudah alih pasca bayar mereka dengan lebih mudah dan berkesan.

“U Mobile amat komited dalam memastikan setiap pelanggan dapat menerima produk dan servis terbaik serta keutamaan dalam hubungan pelanggan.

“Kerjasama dengan Pos Malaysia ini akan merealisasikan lagi kemudahan dan capaian kepada saluran pembayaran yang lebih meluas,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama antara Pos Malaysia dan U Mobile di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Kaizad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar mengenakan cop PAID secara simbolik di latar belakang replika bil U Mobile sebagai menandakan termeterainya kerjasama strategik itu.

Kaizad menambah, Pos Malaysia yang mempunyai rangkaian meluas sangat ideal dalam melengkapkan kerjasama dengan U Mobile.

Katanya, cawangan Pos Malaysia yang boleh didapati di setiap ceruk bandar dan desa di negara ini membolehkan pelanggan membayar bil tanpa sebarang masalah.

Syed Faisal memberitahu, pelanggan-pelanggan U Mobile boleh melunaskan pembayaran bil melalui kaunter di 700 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara. Pembayaran juga boleh dibuat di kios pembayaran automatik atau melalui laman web Pos Malaysia.

“Kami mempunyai 702 cawangan di seluruh negara dengan 182 terletak di kawasan utara, 162 di kawasan tengah, 109 di Sabah dan Sarawak serta lain-lainnya di kawasan selatan dan pantai timur.

“Pos Malaysia dilihat sebagai pusat sehenti pilihan rakyat Malaysia kerana menyediakan perkhidmatan bersama 180 agensi melalui rangkaiannya di seluruh negara,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: