Friday, June 10, 2011

Kebangkitan semula APM

Anugerah Planet Muzik (APM) menghimpunkan karyawan dari tiga buah negara serumpun, Malaysia, Indonesia dan Singapura ternyata mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Sembilan kali penganjurannya, APM tidak pernah menghampakan. Cuma pada tahun lalu, APM tidak diadakan kerana masalah kegawatan ekonomi yang melanda.

Kini memasuki angka ke -10, APM penuh semangat dan menjanjikan yang terbaik buat peminat industri seni.

Pengarah urusan Beyond Events, Amin Hussein berkata penganjuran kali ini mendapat respons yang begitu baik daripada pihak penaja mahupun ­pencalonan daripada penggiat seni.

“Jika tahun lalu, hanya 170 pencalonan yang diterima, tetapi tahun ini ia telah meningkat kepada 200 pencalonan. Ini membuktikan ramai yang mempercayai usaha kami untuk memartabatkan industri muzik. Peratusan ini telah melonjak kepada 33 peratus yang terdiri daripada pencalonan daripada syarikat rakaman antarabangsa dan juga Indie.

“Sebanyak 17 anugerah akan ­dipertandingkan di mana 12 merupakan kategori terbaik dan lima lagi bagi kategori popular,” katanya pada sidang media yang diadakan di Hard Rock Cafe baru-baru ini.

Pada sidang media itu juga diumumkan senarai pencalonan akhir dan juga senarai artis yang akan membuat persembahan pada malam gemilang itu nanti.

Antara persembahan artis Malaysia adalah Datuk Siti Nurhaliza, Amanda Imani, Atilia, Loque, Hafiz AF7, Ajai, Faizal Tahir, Ana Raffali, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: