Thursday, June 9, 2011

Kadar terendah BlackBerry

Tune Talk Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan prabayar mudah alih terpantas di Malaysia, optimis capai sasaran 1 juta pelanggan menjelang hujung tahun ini berbanding 700,000 pelanggan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, sasaran ini seterusnya disokong oleh kadar terendah bagi perkhidmatan prabayar telefon pintar BlackBerry yang baru ditawarkan.

“Perkhidmatan BlackBerry ini adalah penting bagi kami, Tune Talk sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan supaya dapat dinikmati oleh pelanggan dan seterusnya memberi lebih nilai kepada wang mereka.

“Kadar terendah BlackBerry membuktikan bahawa kami sedaya upaya memenuhi keperluan pelanggan dan ia sekali gus memberi lebih banyak pilihan yang semestinya terbaik kepada mereka,” katanya ketika melancarkan kadar terendah BlackBerry di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Jason, telefon pintar ini dipilih kerana ia adalah sebuah alat komunikasi paling hebat untuk rangkaian sosial pada hari ini tanpa mengira had umur.

Bagi projek BlackBerry ini, Tune Talk turut menjalin usaha sama bersama Research In Motion (RIM) untuk perkhidmatan BlackBerry tersebut.

Tidak seperti penyedia perkhidmatan prabayar lain, selain menawarkan kadar terendah untuk panggilan dan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), Tune Talk turut memberi perlindungan sehingga RM100,000 untuk kemalangan peribadi dan tiket penerbangan percuma menerusi pungutan mata Tune Talk.

Dengan perkhidmatan prabayar BlackBerry ini, pelanggan boleh menikmati kadar hebat dengan hanya RM0.98 sen sehari atau RM28 sebulan untuk perkhidmatan penuh internet BlackkBerry (BIS) dan RM0.38 sen sehari atau RM11 sebulan untuk pakej BlackBerry Messenger (BBM) serta Instant Messaging (IM).

Sementara itu, Tune Talk turut berhasrat meningkatkan pasaran sahamnya kepada lima peratus atau 1.5 juta pelanggan menjelang pertengahan tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: