
SERAMAI 30 delegasi Politeknik Indonesia telah mengadakan lawatan ke Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang baru-baru ini.
Delegasi itu terdiri daripada 16 buah politeknik dari seluruh Indonesia yang diketuai oleh Direktor Politeknik Negeri Medan, Prof. Ir. Zulkifli Lubis.
Kunjungan selama tiga jam menjurus kepada perbincangan dan pertukaran idea serta jalinan kerjasama yang boleh dijalinkan antara politeknik kedua-dua negara.
Sesi dialog turut diadakan di kalangan ahli akademik bagi meningkatkan kerjasama dan persefahaman dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P), pemahaman budaya, pemantapan pelajar dan kakitangan pengajar serta perkongsian maklumat dalam sistem pembelajaran di politeknik.
Delegasi politeknik Indonesia yang hadir terdiri daripada Politeknik Bangka Belitung, Politeknik Batam, Politeknik Pertanian Pangkep, Politeknik Negeri Tual, Politeknik Padang, Politeknik Pertanian Samarinda, Politeknik Negeri Bali, Politeknik Pertanian Payakumbuh.
Selain itu, Politeknik Manufaktur Bandung, Politeknik Negeri Pontianak, Politeknik Negeri Manado, Politeknik Perkapalan Surabaya, LP3I Medan, LP3M Medan, Politeknik MBP dan Politeknik Negeri Medan.
Kunjungan rombongan ke PSP disambut Timbalan Pengarah Akademiknya, Mohd. Najib Yaacob.
Mohd. Najib berkata, kunjungan muhibbah delegasi dari Indonesia itu mampu mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara dengan semangat ASEAN.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada delegasi Indonesia kerana memilih politeknik ini sebagai lokasi kunjungan.
"Kita mengharapkan lawatan ini dapat menyemai sifat tolong-menolong dan saling hormat-menghormati antara satu dengan lain," katanya.
Selain sesi dialog yang berlangsung, delegasi turut di bawa melawat bengkel aktiviti pengajaran dan pembelajaran di PSP.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: