Monday, June 20, 2011

Siswa tertarik suasana kampung


PESERTA bersama keluarga angkat Program Khidmat Komuniti Pelajar Antarabangsa UUM di Besut, Terengganu, baru-baru ini.


SUASANA kampung dan kemesraan masyarakat setempat menjadi daya penarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.

Kokokan ayam pada waktu pagi, persekitaran menghijau, udara segar dan pantai terbentang luas merupakan pengalaman istimewa bagi pengunjung yang tidak pernah tinggal di desa.

Di samping itu, adat budaya masyarakat kampung seperti di Besut, Terengganu menambahkan lagi keunikannya.

Hal ini mengujakan 40 mahasiswa antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) dari 11 negara yang menyertai Program Khidmat Komuniti anjuran Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) ke daerah itu, baru-baru ini.

Seorang pelajar antarabangsa, Mahadi Hasan Miraz berkata, dia tidak akan melupakan kenangan dan pengalaman manis semasa mengikuti program tersebut.

Dia yang berasal dari Bangladesh memberitahu, sikap ramah mesra masyarakat kampung jelas terpancar di wajah mereka sewaktu menyambut kedatangannya dan rakan-rakan.

“Sambutan penduduk di sini memang di luar jangkaan. Saya tidak pernah menyangka rombongan kami akan disambut meriah dengan paluan kompang dan perarakan bunga manggar,” jelasnya.

Tambah Mahadi, dia merancang untuk datang kembali ke situ bersama keluarganya dan akan mempromosi keunikan daerah Besut selain berbangga kerana terpilih menyertai program khidmat komuniti itu.

Sementara itu rakannya yang berasal dari Uzbekistan, Nuriddin Eimurodov berkata, dia tertarik dengan demonstrasi majlis -majlis keramaian yang diadakan khusus untuk tontonan peserta program.

Menurutnya, pada demonstrasi itu, buat pertama kalinya dia dapat melihat sendiri keunikan menghasilkan busana tradisional seperti batik yang begitu popular di Terengganu.

Jelas Nuriddin, dia dan rakan-rakan lain juga tidak melepaskan peluang mempelajari tarian tradisional masyarakat Melayu dalam acara joget Terengganu dengan iringan muzik tradisional Melayu.

“Selain itu, saya pasti tidak akan melupakan kelazatan beraneka jenis makanan seperti keropok leko, kuih akok, satar dan kuih lompat tikam yang dihidangkan pada program tersebut.

“Kami juga rasa bertuah kerana walaupun berlainan budaya dan negara namun kami dilayan begitu mesra sekali,” katanya.

Program itu turut disertai pelajar antarabangsa UUM dari Chad, Nigeria, Somalia, Thailand, Uzbekistan, Sudan, China dan Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UUM Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, program pembelajaran luar kelas itu dapat meningkatkan hubungan pelajar antarabangsa UUM dengan masyarakat kampung.

Katanya, peluang untuk tinggal bersama keluarga angkat bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari dan mengenal budaya penduduk daerah itu malah dapat menyelami adat dan budaya Melayu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: