
SEKITAR tahun 1958, Hush Puppies hanyalah sebuah jenama dari Amerika Syarikat (AS) yang mengusahakan perusahaan kasut konsep santai dan kasual.
Kemunculan koleksi kasut Hush Puppies di pasaran pada era tersebut bagai memberi isyarat kepada pencinta fesyen bahawa sepatu untuk acara formal terutamanya yang diperbuat daripada kulit jenis suede sudah boleh dimiliki di semua rangkaian Hush Puppies.
Ternyata kehadiran koleksi sepatu suede mencipta fenomena luar biasa dalam kalangan jejaka. Selain menggunakan kulit suede berkualiti dan mudah dilentur, kasut berkenaan juga selesa digayakan kerana tapaknya yang diperbuat daripada getah krep bersifat ringan serta lembut.
Sehubungan itu, melihat pada sambutan yang menggalakkan daripada peminatnya di seluruh dunia, Hush Puppies beralih pada fasa baru yang menawarkan variasi item fesyen di bawah satu bumbung.
Kini, jenama tersebut bukan sekadar menampilkan seleksi kasut pelbagai potongan dan warna malah turut menyediakan himpunan pakaian kasual buat wanita, jejaka dan kanak-kanak.
Secara tidak langsung, ia mengalakkan orang ramai mempraktikkan konsep suai dan padan.
Terbaharu, Hush Puppies yang tersenarai di antara jenama pakaian utama di dunia telah melancarkan koleksi kasual Nautika Perancis.
Koleksi busana yang dijual bermula pada bulan Jun hingga Ogos 2011 itu, diinspirasi daripada Coco Chanel, pereka fesyen wanita Perancis yang dikagumi di persada fesyen antarabangsa sekitar 1930-an.
![]() |
| KOLEKSI Hush Puppies mengekalkan rekaan kasual untuk bersantai. |
Trend fesyen pada era berkenaan sarat dipengaruhi elemen nautika Perancis yang banyak bermain dengan palet warna biru. Oleh kerana ingin mengembalikan nostalgia fesyen berunsur lautan biru dan mendamaikan, maka tema Nautika Perancis menjadi pilihan ideal.
"Kami sentiasa berusaha menghasilkan pakaian yang mengikut trend fesyen semasa meskipun sehingga kini kami masih mengekalkan konsep kasual dan santai. Bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia, maka pakaian Hush Puppies untuk pasaran tempatan diperbuat daripada kain kapas berkualiti tinggi. Ia selesa dipakai dan dijaga.
"Koleksi terbaharu Nautika Perancis ini sesuai dipakai untuk semua peringkat umur. Selain dipakai ke pusat beli-belah, pakaian Nautika Perancis juga ideal digayakan ketika menghadiri majlis semi formal dan parti," jelas Ketua Barangan Hush Puppies Malaysia dan Singapura Yasmin Lim.
Dalam koleksi musim panas/luruh 2011 itu, selain nuansa biru gelap dan lembut, pilihan rona produknya turut diilhamkan putih awan, biru mozek, biru dakwat India, kelabu berdebu, hitam dan merah enamel.
Dari aspek corak, koleksi yang tampil dengan dres separa lutut, baju-T, kemeja, jaket dan seluar Bermuda itu tertumpu pada corak jalur, berkotak-kotak, polos dan polka dot.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: