Sunday, June 12, 2011

Hunny Madu pilih Anuar Zain

Mencipta populariti menerusi Hitz FM, Xfresh dan kini Fly FM sebagai penyampai radio, Hani Farhana Mohd. Hatim atau popular dengan panggilan Hunny Madu semakin mengukuhkan kedudukannya di persada seni tanah air.

Menceburi dunia lakonan, nyanyian, pengacaraan serta penulisan lirik, dalam diam, Hunny membuktikan dia hadir di dalam bidang seni ini bukan kerana untuk mengejar populariti semata-mata.

Bakat yang ada biarpun agak lambat dan mengambil masa yang lama untuk ditonjolkan, namun Hunny kini sudah berjaya membuktikan dirinya serius untuk bergelar artis serba boleh.

Kini, setelah empat tahun bertungkus lumus, Hunny lahir dengan sebuah album muzik miliknya sendiri yang diberi nama, Pulau Janji. Tidak menggunakan mana-mana syarikat rakaman untuk membantu penghasilan album ini, Hunny bagaimanapun, puas dengan kejayaan barunya ini.

"Pulau Janji adalah pulau angan saya, yang mana saya cuba meletakkan bayangan pulau ini sebagai satu lokasi untuk saya mencipta 12 buah lagu dalam album ini.

"Memang album ini lahir seratus peratus daripada duit sendiri, jadi saya memang bersungguh dalam pemilihan lagu dan semua yang berkaitan. Jika pulangannya nanti berbaloi, Alhamdulillah, saya lahirkan album ini juga adalah untuk peminat-peminat saya, kerana mahu mereka ada sesuatu dari saya untuk dikenang,"jelas Hunny.

Turut memuatkan lagu duet miliknya bersama Anuar Zain, jelas Hunny, sejak empat tahun dahulu dia sudah merencanakan untuk berduet bersama penyanyi lelaki tersohor ini.

"Kalau orang beranggapan saya mahu menumpang populariti Anuar, mereka silap. Empat tahun lalu memang saya sudah bercerita dengan Anuar Zain tentang perkara ini, namun oleh kerana terlalu banyak kekangan masa, maka ia terpaksa mengambil masa yang lama untuk di realisasikan.

"Jika saya sekadar mahu menumpang populariti, bukan Anuar Zain sahaja yang boleh saya dapatkan, malah ramai lagi artis lain, tapi memilih Anuar Zain adalah kerana dia sememangnya orang yang saya mahu dan teringin untuk bergandingan.

Malah lagu, Kisah Kita itu sememangnya direka khas untuk Anuar Zain, jika dia tidak mahu berduet dengan saya, saya tidak akan memberikan lagu ini kepada sesiapa pun,"jelas Hunny.

Melihat jadual aktivitinya yang semakin sibuk selepas muncul dengan album ini, Hunny bagaimanapun mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan suaminya.

"Suami telah lama mengizinkan saya bergiat dalam industri muzik ini sejak sebelum kahwin lagi, jadi tiada sebarang halangan daripada mana-mana keluarga,"luah Hunny yang turut berduet dengan Najwa dalam lagu Hey R.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: