Sunday, June 12, 2011

Nasi Padang Sungai Udang




GULAI tunjang dan gulai perut babat, dua jenis lauk ini mungkin boleh dikategorikan sebagai hidangan eksotik. Gulai tunjang diambil daripada bahagian kaki lembu yang perlu dibakar dan kemudian diketuk untuk mengeluarkan tapak kakinya.

Manakala perut babat pula masih lagi kekal warna kehitamannya. Tidak ramai yang tahu menikmati hidangan itu dan untuk mendapatkannya juga bukan mudah, kecuali andai berkunjung ke restoran yang menjual nasi Padang.

Lari dari kesesakan ibu kota, penulis menuju ke Klang untuk mencuba keenakan masakan Nasi Padang Sungai Udang yang menjadi sebutan di situ. Terletak di Kampung Sungai Delek, restoran yang berpindah ke tapak baru itu dikunjungi ramai penggemar masakan Minang asli.

Pemiliknya, Andre Rizal Subbas berkata, lebih 50 jenis lauk-pauk masakan Minang disediakan setiap hari. Selain daripada dua jenis masakan yang disebutkan di atas, jika anda terasa ingin mencuba masak lemak otak lembu, daging dendeng bakar, daging dendeng balado atau masak lemak pucuk ubi boleh mengunjungi restoran itu.

Tidak ketinggalan, masak lemak tempe, ikan keli bakar, ayam bakar, gulai jengkol, jengkol balado, masak lemak telur itik, masak lemak pucuk paku, kalio ayam kampung, sambal petai dan banyak lagi. Pastinya keenakan hidangan itu lebih puas andai dinikmati bersama sambal ijo dan sambal merah.

Kata Andre yang mengusahakan restoran tersebut bersama seorang lagi rakan kongsi, Jefri Johan, premis itu dibuka seawal pukul 6.30 pagi dengan menyediakan hidangan seperti roti canai ala kampung, lontong dan nasi lemak.

Seterusnya hidangan nasi Padang boleh dinikmati seawal pukul 11 pagi hingga petang sebelum pada sebelah malamnya disediakan sate Padang dan masakan ala carte.

Nasi Padang Sungai Udang turut menyediakan perkhidmatan katerer untuk majlis berskala kecil, sederhana hingga besar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: