Friday, June 17, 2011

Hidup saya boring: Dayang Nurfaizah

"Kehidupan saya sangat boring." Demikian kata penyanyi Dayang Nurfaizah bila ditebak pasal kehidupan di luar pentas seni. Sementelah pada usia lewat 20-an itu dia masih belum bertemu lelaki yang serasi untuk berkasih sayang.

Bukan tidak mahu, tetapi cinta belum datang dalam hidupnya lantaran memberi perhatian sepenuhnya kepada kerjaya seni yang masih banyak mahu digapainya pada masa akan datang.

"Saya datang dari Sarawak semasa remaja untuk menjadi penyanyi di Kuala Lumpur, kehidupan saya daripada dulu sehingga sekarang hanyalah bekerja. Macam mana nak cari teman lelaki?"

"Saya percaya suatu hari nanti akan ada lelaki yang benar-benar membuat hati saya terbuka menerimanya. Saya bukannya serik kerana pernah gagal bercinta, sebaliknya saya memang tak ada masa untuk memikirkan pasalnya.

"Saya tinggal dengan keluarga. Kalau keluar ke mana-mana semasa tak bekerja saya akan ditemani oleh keluarga," kata Dayang yang baru melancarkan album penuh terbaru berjudul Sayang & Cahaya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Keluarganya juga tidak pernah mendesak dia segera berkahwin, apatah lagi apabila mengetahui dia tidah mempunyai teman istimewa untuk membawa ke alam rumah tangga. Bukannya terlalu cerewet memilih, sebaliknya Dayang mahu memastikan dapat menyelesaikan banyak perkara sebelum melangkah ke alam kehidupan.

Ditanya konsep pemilihan pasangan oleh keluarga, Dayang dengan pantas menolaknya. Dia tak mahu jodoh yang ditentukan oleh keluarga dan masih menunggu kata hatinya untuk menerima mana-mana lelaki.

"Saya tak reti nak menilai kalau ada lelaki yang mahu mendekati saya, ajarlah saya bagaimana mahu mempelajarinya," kata Dayang berseloroh apabila ditanya pasalnya.

Saya kenal diri saya

Ada yang menanyakan soalan nakal kalau-kalau ada yang melabelkan dia sebagai peminat kaum sejenis sehingga payah terbuka menerima kehadiran seseorang lelaki.

"Saya kenal siapa diri saya. Dan saya tahu saya tidak seperti itu. Terserahkan kalau ada yang cuba memikirkan hal demikian bila saya mengatakan belum ada teman lelaki," kata Dayang.

Album ikut citarasa sendiri

Sekarang tak ramai penyanyi yang menerbitkan album penuh. Kalau ada yang dapat peluang pun mereka lebih suka menghasilkan album mini. Dayang pula menghadiahkan album penuh dengan 12 buah lagu khusus untuk peminat yang sudah lama merindui bingkisan terbarunya.

"Saya memulakan pembikinan album ini sudah lama. Memang asalnya mahu menerbitkan album mini, tapi untuk mencari kepuasan menyanyikan lagu yang saya suka, ia bertambah sehingga 12 lagu dirakam.

"Saya bukan jenis yang mengumpul banyak lagu sebelum memilih lagu-lagu yang mahu dirakam. Saya berbincang dengan komposer dan penilis lirik untuk menentukan lagu yang saya mahukan. Daripada situlah ia bertambah.

"Album ini ada kelewatan sedikit daripada perancangan awal kerana proses mendapatkan kod lagu bagi tujuan ringtones yang mengambil sedikit masa. Sekarang zaman jualan secara digital, jadi saya mahu album ini siap sepenuhnya sebelum dipasarkan," kata Dayang lagi.

Dia mahu memuatkan lagu-lagu yang kena dengan jiwanya dan berharap peminat akan menerima apa yang dilhasilkannya. Album baru ini memuatkan lagu-lagu Sayang (duet dengan Marcell), Rahsia Cinta, Sabarlah, Hingga Ke Akhirnya, Perlukan Cinta (bersama Tompi). Dayang juga merakan semula lagu Mulanya Di Sini yang pernah dipopularkan oleh Freedom.

Lagu Kutemu Cahaya pula dipilih sebagai lagu tema Majlis Aids Malaysia. Sementara itu Dayang akan mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 2 Julai ini. Ia kerjasama Maybank dengan sokongan Majlis Aids Malaysia. Tiket masuk RM50 dikenakan dengan satu minuman percuma. Untuk mahlumat lanjut pasal tempahannya boleh hubungi talian 03-2715 5555.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: