Sunday, June 12, 2011

Hazama juara AF9?




DEMAM dan kerisauan tentang konsert akhir Akademi Fantasia (AF) musim ke-9 semakin membara di jiwa peminat-peminat rancangan realiti tersebut ketika ini.

Keadaan itu juga turut melanda empat peserta yang telah berjaya melangkah keperingkat akhir ini sehingga mereka sendiri cuba untuk menenangkan diri mereka masing-masing.

Latihan serta persediaan yang dilakukan selama ini bakal disaksikan oleh berjuta rakyat Malaysia. Persembahan dan penyampaian lagu terbaik akan meletakkan salah seorang daripada mereka sebagai juara Akademi Fantasia musim terakhir ini.

Jika dilihat melalui pengalaman serta persembahan yang menyakinkan tentu sahaja jejaka dari Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai Hazama dijangka akan menjuarai musim terakhir AF.

Melalui persembahan yang disampaikan pada konsert-konsert sebelum ini, Hazama dilihat memberikan persembahan yang memenuhi kriteria kriteria sebagai seorang juara.

Sebelum ini, Hazama pernah dibuang dari menjadi peserta AF musim ke-4, dengan pengalaman yang ditimba dalam tempoh beberapa tahun ini, Hazama telah menampilkan satu persembahan yang matang berbanding pelajar-pelajar lain.

Walaupun begitu, Hazama berkata, dia masih lagi merasakan dirinya berada dalam mimpi kerana telah berjaya melangkah ke peringkat akhir.

“Saya rasa saya masih bermimpi. Dalam konsert akhir ini saya lebih fokus dan tidak lagi hanya ‘suka-suka’ seperti sebelum ini.

“Saya sebenarnya adalah orang yang serius dalam melakukan sesuatu pekerjaan, dalam konsert akhir ini saya mahu lakukan sesuatu kelainan berbanding sebelum ini,’’ ujarnya.

Ditanya mengenai persediaannya selepas keluar dari akademi ini katanya, dia ingin bekerjasama dengan artis-artis senior bagi menaikkan lagi industri muzik tanah air sehingga peringkat antarabangsa.

“Tidak perlulah kita ingin bersaing dengan mereka, apa yang lebih penting adalah kerjasama yang erat, dengan cara ini, industri kita akan turus berjaya dari satu peringkat hingga peringkat yang lain.

“Saya juga ingin buktikan kepada semua bahawa kami dari akademi ini adalah bukan artis ‘mi segera’ yang sering diperkatakan orang sebelum ini.

“Ilmu yang telah kami pelajari di sini telah banyak menjadikan kami sebagai seorang penyanyi yang serba boleh, kami bukan setakat boleh menyanyi tapi boleh melakukan apa sahaja,’’ kata Hazama ketika ditemui di pusat latihan AF9 di AEON AU2 Setiawangsa, Rabu lalu.

Namun, persembahan bertenaga tiga lagi finalis menjadi halangan besar kepada Hazama, antaranya, Lena yang tidak sabar untuk menunjukkan persembahan terbaiknya dalam pentas akhir nanti.

“Saya akan menyampaikan lagu Dunia yang dipersembahkan oleh Bunkface, secara jujurnya saya tidak pernah dengar lagu ini, namun setelah kali pertama mendengarnya, lagu ini terus menusuk ke jiwa saya, lagu ini sangat menarik.

“Saya berharap saya akan berjaya dalam persembahan kali ini, segala dugaan dan cabaran yang pernah saya alami sebelum ini menjadikan saya lebih matang dan lebih bijak untuk menangani segalanya ketika ini,’’ ujar anak jati Sabah ini.

Salah seorang finalis yang dikatakan bayangan kepada Faizal Tahir, Azri yang mempunyai suara yang sangat lantang juga mempunyai kelebihan yang tersendiri bagi menghalang Hazama muncul sebagai juara musim ini.

Mempunyai pakej lengkap dengan suara yang lantang dan raut wajah yang tampan akan membuatkan semua pendengar dan penonton terpesona dengan persembahannya.

“Dalam konsert akhir ini, saya mahu buktikan keupayaan saya yang sebenar, dalam konsert-konsert sebelum ini saya telah melakukan yang terbaik, jadi dalam konsert terakhir ini saya mahu lakukan sesuatu yang lebih baik.

“Bayangan Faizal Tahir itu sendiri sedang menghantui. Perlu buktikan yang saya adalah salah seorang pelajar yang mempunyai kreativiti tersendiri,’’ katanya.

Kelincahan yang dimiliki oleh seorang lagi finalis, Fina yang baru sahaja berusia 18 tahun ini juga mampu untuk muncul sebagi juara kali ini.

Jelasnya, menjelang konsert akhir ini, apa yang penting adalah mental perlu kuat, kerana konsert akhir ini berbeza dari sebelumnya apabila diadakan secara terbuka.

“Saya tidak pedulikan itu semua, saya berjanji pada diri sendiri ingin lakukan sesuatu yang terbaik,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: