PERJANJIAN...Lim (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Mayban Trustees Berhad, Badirul Ismail (kiri) dengan Pengarah Eksekutif Prima Avenue, CM Chong, semalam.
AM ARA Reit Managers Sdn Bhd, pengurus dana pelaburan amanah harta, AmFirst Real Estates Invetment Trust (AmFirst Reit) menyempurnakan proses perolehan dua bangunan komersial Prima 9 dan 10 yang terletak strategik di Jalan Persiaran Apec, Cyberjaya bernilai RM133 juta.
Ketua Pegawai Operasinya, Lim Yoon Peng berkata, perolehan baru itu meningkatkan saiz asetnya kepada RM1.16 bilion, iaitu peningkatan 13 peratus.
“Kedua-dua bangunan ini, kini disewa syarikat multinasional bagi tempoh jangka panjang dan ia adalah pelaburan pertama kami di luar Lembah Klang. Pilihan lokasi ini dibuat kerana kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi di Cyberjaya akan lebih rancak pada tahun akan datang.
“Kejayaan menyempurnakan perolehan ini membayangkan keupayaan syarikat untuk mengukuhkan lagi kedudukan AmFirst Reit dalam pasaran,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara pemegang amanah Mayban Trustees Berhad dan Complete Event Sdn Bhd di Petaling Jaya, semalam.
Lim berkata, ini adalah hartanah ke tujuh di bawah portfolio syarikatnya menandakan satu lagi usaha AmFirst Reit meningkatkan pulangan kepada pemegang unit amanah melalui pembelian aset yang memberikan pulangan baik.
“Bangunan hartanah Prima 9 dan 10 adalah bangunan komersial pegangan bebas terdiri daripada tujuh tingkat di atas tanah seluas 1.16 hektar. Selain itu, kami turut memiliki Bangunan AmBank Group, Menara AmBank, AmBank Group Leadership Training Centre, Menara Merais, Kelana Brem Towers dan kompleks komersial pelbagai, The Summit Subang USJ.
“Menerusi perolehan terbaru ini, menjadikan 65.45 peratus aset AmFirst Reit terdiri daripada ruang pejabat, 23.39 peratus pusat beli-belah dan 11.16 peratus hotel,” katanya yang bekerjasama erat dengan rakan kongsinya dari Singapura, ARA Group (ahli Kumpulan Cheung Kong) untuk meningkatkan prestasi dan berkongsi pengalaman mengendalikan hartanah pejabat dan komersial.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: