Sunday, June 26, 2011

Guna 'cahaya' rawat luka


Sinaran cahaya Bioptron dipancarkan pada luka.


PERINGKAT awal luka berhampiran buku lalinya kelihatan seperti luka biasa. Namun ada rasa gatal di situ menyebabkan Mustafa Mansor, 60, menggaru luka tersebut. Siapa sangka, luka kecil merebak menjadi besar. Sakitnya tidak terhingga dan berdenyut-denyut menyebabkan dia tidak mampu melelapkan mata.

Bukan setakat merebak, luka yang dialami Mustafa mula bernanah dan mengeluarkan bau - akibat jangkitan kuman. Tentunya sebagai pesakit kencing manis, luka yang semakin merebak dan sakit yang tidak mampu ditanggung menimbulkan kerisauan.

Enggan ke hospital, pada mulanya dia membiarkan masalah tersebut. Namun tidak tahan menanggung kesakitan, dia mula mencari alternatif. Kebetulan seorang sahabat memberitahu tentang kaedah Bioptron bagi merawat luka. Mustafa pantas mencuba. Dia hadir ke Klinik Penawar untuk mengetahui tentang kaedah merawat luka menggunakan 'cahaya' .

Merawat luka di kalangan pesakit kencing manis atau pun mereka yang terlibat dalam kemalangan bukanlah sesuatu yang mudah. Ada kalanya rawatan mengambil masa berbulan-bulan. Bagi pesakit diabetes, mengalami luka adalah perkara yang paling dielakkan. Ini kerana sekali terluka sukar untuk dirawat. Malah tidak mustahil sampai ke satu peringkat bahagian yang luka terpaksa dipotong lantaran tidak lagi boleh diselamatkan.

Keadaan itu menyebabkan ramai pesakit kencing manis terutama warga emas enggan ke hospital apabila luka menjadi makin parah. Ini kerana bimbang kaki mereka dipotong. Maka hiduplah mereka menanggung kesakitan selain bau akibat luka yang bercampur darah dan nanah. daging yang semakin rosak serta sel-sel mati akhirnya menyebabkan gangren.

Untuk ke klinik swasta, kos membersihkan luka secara asas sahaja boleh dikategorikan sebagai agak tinggi. Membersihkan luka terutama yang telah dijangkiti juga mesti dilakukan setiap hari. Masalah kos, pengangkutan dan masa menyebabkan rawatan luka tidak begitu popular. Ramai pesakit terpaksa membiarkan keadaan menjadi semakin parah, sementara tidak kurang juga yang mencuba rawatan tradisional.

Teknologi perubatan memperkenalkan pelbagai kaedah merawat luka bagi meringankan pesakit selain memastikan kos yang ditanggung tidak terlalu membebankan. Kaedah laser Bioptron Light adalah salah satu daripada kecanggihan dunia perubatan. Kaedah ini mampu menggantikan teknik mencuci luka menggunakan bahan kimia seperti povidone iodin, flavin, dan hidrogen peroxide. Menurut Dr. Mery Menaga, penggunaan bahan kimia semasa proses mencuci luka akan mematikan sel.

''Bukan saja sel kuman dimatikan tetapi sel-sel yang muda dan baru tumbuh (granulation tissue) turut mati,'' katanya ketika ditemui di Klinik Penawar baru-baru ini.

Keadaan itu, menurut Dr. Mery, hanya membersihkan luka pesakit dan bukan merawat atau menyembuhkannya.

Kelebihan Bioptron adalah ia mematikan kuman dengan memecahkan dinding bakteria. Bioptron turut mematikan virus membuatkan luka bersih dan tidak berbau. Pada masa yang sama ia meningkatkan penghasilan granulation tissue yang mempunyai salur darah baru. Selepas tiga hari rawatan, luka mula menjadi merah dan berdarah semula. Ini adalah tanda-tanda bahawa pengaliran darah mula berlaku.

Mustafa yang baru enam kali menjalani rawatan mula mengalami perubahan. Malah rawatan kali pertama berjaya mengurangkan kesakitan yang dialaminya.

''Saya mampu tidur nyenyak selepas kali pertama menjalani rawatan,'' katanya.

Menurut Dr. Mery, rawatan luka di kaki Mustafa bermula dengan suntikan antibiotik, kemudian sel-sel mati digunting serta dibersihkan. Selepas itu cahaya laser Bioptron ditumpukan kepada bahagian luka selama 45 minit.

Hasilnya, bengkak di kaki Mustafa semakin susut, luka mula mengering dan bau akibat jangkitan kuman juga hilang. Isi di bahagian yang luka mula kemerahan menunjukkan aliran darah di kawasan tersebut mula berfungsi.

Bioptron bukan saja untuk merawat luka akibat diabetes, kesan kemalangan mahu pun ruam selain beberapa masalah kulit termasuk ruam kanak-kanak sesuai dirawat menggunakan kaedah tersebut.

Untuk menjadikan rawatan lebih sempurna, satu lagi kaedah iaitu Negative Pressure Pump juga berkesan untuk merawat pesakit. Menurut Pakar Produk dari Avromedical Sdn. Bhd., John M. Tusam, menggunakan kaedah itu, luka disedut oleh mesin dengan tekanan negatif 25 mmhg. Tekanan yang konsisten dikenal pasti boleh menarik semua kekotoran daripada luka. Menerusi kaedah ini proses pembentukan granulation tissue dapat ditingkatkan membolehkan luka sembuh tiga kali lebih pantas daripada biasa. Ini bermakna luka yang mengambil masa tiga bulan untuk sembuh dicepatkan kepada sebulan sahaja.

Menariknya tentang kaedah ini, peralatan yang digunakan boleh dibawa ke mana-mana dan dipasang di bahagian yang ingin dirawat. kaedah tersebut semakin digunakan secara meluas terutama untuk merawat mangsa kemalangan.

Untuk keterangan lanjut hubungi Poliklinik Penawar di talian 03-87231719 dan 03-31413719.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment