Tuesday, June 7, 2011

Fir Affandi banyak tawaran berlakon

Siapa sangka kemunculan selama dua minggu di Konsert Akademi Fantasia 9 benar-benar mengubah nasib Fir Affandi menjadi realiti. Ada pihak yang nampak kehadirannya dan menawarkan watak dalam beberapa buah drama.

Sekarang Fir sibuk menjalani penggambaran drama. Terkini dia sedang menyiapkan drama Berselindung Di Sebalik Kaabah setelah selesai beberapa drama, antaranya Hantu Susu dan Ceciter Cinta. Jadualnya semakin padat.

"Alhamdulillah nampaknya ada juga rezeki saya dalam bidang seni. Saya pun memang minat berlakon, jadi tawaran yang datang saya terima sebaiknya.

"Syukurlah rezeki saya agak murah dalam bidang lakonan ini," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sebagai model produk Alfio Raldo baru-baru ini.

Wajah Fir akan menghiasi katalog kempen terbaru Alfio Raldo yang akan diedarkan sekitar bulan depan kepada pelanggan. Dia melaram jam tangan, kacamata, beg sandang dan tal ipinggang model terbaru keluaran Alfio Raldo.

"Saya juga ada menghantar lagu demo kepada sebuah syarikar rakaman. Saya dah berbincang dengan mereka dan sekarang sedang menunggu keputusan daripada pihak mereka. Kalau tidak diterima, saya akan terus berusaha untuk menempatkan diri saya dalam bidang nyanyian," kata pemilik nama penuh Firdaus Affandi ini.

Fir, 22, sebelum ini pernah menyanyi di kelab di Kuching, Sarawak dan pengalaman itu boleh digunakan apabila menjadi artis rakaman nanti. Selama dua bulan menetap di Kuala Lumpur, dia belum lagi dapat tawaran menyanyi.

"Sekarang saya fokus pada lakonan terlebih dahulu sebab banyak pula tawaran yang datang. Sekiranya segala perbincangan berjalan lancar, saya akan berlakon sebuah drama bersiri pula pertengahan bulan ini," katanya kepada Mangga Online.

Pengalaman jadi model

Bila namanya dipilih menjadi wajah penghias katalog Alfio Raldo, Fir tidak berfikir panjang menerimanya. Apatah lagi menyedari jenama Alfio Raldo yang sangat terkenal.

"Saya ni masih baru, jadi saya anggap kemunculan wajah saya dalam katalog itu nanti sebagai promosi buat saya juga," katanya lagi.

Bercerita pasal jodoh dengan Alfio Raldo, kata Fir segala-galanya datang secara tiba-tiba apabila pegawai syarikat itu menghubungi seorang kawannya untuk memperkenalkan model baru. Kawannya itu ada kaitan dengan model-model dalam tugasnya.

"Kebetulan hari itu saya ada kerja bersama kawan saya tu. Bila dapat tahu mereka mencari model, kami singgah sekejap di pejabat mereka untuk memperkenalkan saya.

"Hari itu juga mereka menyatakan persetujuan memilih saya. Sebagai orang baru saya terima sahaja tawaran dan tak mahu terlalu memilih sangat.

"Kebetulan tarikh fotografi juga dibuat ketika penggambaran drama Berselindung Di Sebalik Kaabah berehat," kata Fir kepada Mangga Online.

Walaupun mengambil masa yang panjang untuk sesi fotografi tersebut, Fir kelihatan sabar menunggu. Apatah lagi dia berganding dengan model wanita profesional dalam sesi itu.

"Walaupun hanya berdiri di depan kamera, penatnya sama juga dengan masuk set berlakon," jelas Fir.

Kikis pelat Sarawak

Biasanya anak muda dari Sabah atau Sarawak pelat negeri mereka kuat sehingga payah mahu dibuang. Malah ada penyanyi dari sana yang masih kuat pelatnya walaupun sudah lama menetap di Semenanjung.

"Saya ada ramai juga kawan di Semenanjung, jadi sedikit demi sedikit saya boleh hilangkan loghat Sarawak. Kalau nak berlakon di Semenanjung, kenalah kikis pelat Sarawak.

"Lainlah kalau dapat watak sebagai lelaki Sarawak, bolehlah saya gunakan loghat Sarawak," kata Fir lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: