Wednesday, June 1, 2011

Filem Bollywood tandus idea?


Aktor Sanjay Dutt (kiri), Boman Irani (dua dari kiri), Arshad Warsi (tengah), pengarah filem Rajkumar Hirani (dua dari kanan) dan aktres Vidya Balan semasa pelancaran sebuah buku yang memaparkan watak-watak dari filem Lage Raho Munnabhai di Mumbai pada 7 Disember 2009.


MUMBAI 31 Mei - Lambakan filem sekuel Bollywood yang bakal 'menerjah' layar perak dalam masa terdekat ini menimbulkan persoalan adakah industri tersebut kekeringan idea atau sekadar mahu mengaut keuntungan daripada populariti filem pertama?

Antara filem yang bakal ditayangkan ialah Bheja Fry 2, Dabangg 2, Dhoom 3 dan susulan siri filem Golmaal.

Studio-studio di Bollywood terdesak untuk menghasilkan filem blokbuster bagi mengaut keuntungan sehingga timbul masalah kekurangan keaslian filem serta kualiti skrip yang tidak bagus.

Namun, bagi pengarah filem Bheja Fry 2, Sagar Ballary, dia menyangkal idea bahawa penghasilan filem sekuel merupakan cara mudah untuk mengaut keuntungan.

"Saya tidak terburu-buru menghasilkan filem sekuel selepas filem pertama ditayangkan pada 2007, sebaliknya kami menunggu sehingga skrip yang bagus dihasilkan untuk menyambung ceritanya.

"Setiap filem yang dihasilkan berdiri di atas keasliannya. Sama ada ia filem sekuel atau bukan, ia perlu dihasilkan dengan baik," kata Ballary.

Dalam pada itu, pengarah filem Golmaal, Rohit Shetty berkata, dia tidak perlu meminta maaf sekiranya mengaut keuntungan daripada kejayaan filemnya.

"Jika saya sudah mencipta jenama sendiri, mengapa saya perlu rasa bersalah untuk mengaut keuntungan daripadanya?," kata Shetty baru-baru ini kepada akhbar Hindustan Times.

Penerbit Bollywood dan pengarah filem Dabangg 2, Arbaaz Khan berkata, terdapat banyak skrip dan jalan cerita yang bagus, namun pengarah tidak mahu mengambil risiko menggunakan idea baru, sebaliknya lebih selesa bekerja dengan filem asal kerana penonton menyukainya.

Ballary dan Shetty serta pengarah filem lain bagaimanapun mengakui kewangan merupakan faktor penting dalam penghasilan filem dan selepas menghasilkannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: