Monday, June 20, 2011

Farahdhiya tidak propa

pix_gal0
Farahdhiya tak kisah dituduh berlagak diva, mulut jahat

LELAKI mana yang tidak akan terkesima menjeling pandang susuk tubuh mungil penyanyi dan pelakon putih gebu ini. Malah, kaum sejenisnya sepertinya juga pasti ramai mengagumi di samping mencemburui kecantikan dan keseksian yang dimiliki gadis kelahiran Sarzana, Itali bernama Farahdhiya ini.

Semakin meningkat usia dan baru genap usianya 27 tahun pada 28 April lalu, penyanyi lagu Bertakhta ini dilihat semakin pandai bergaya seiring peredaran masa. Kulit putih gebu dan badan bergetah menjadi idaman ramai sang arjuna yang begitu memujanya.
Dengan dua persalinan koleksi peribadinya, termasuk menggunakan khidmat jurusolek kegemarannya iaitu kakak kesayangan penyanyi rock Ella, Saidatulnisa Aminuddin, Farahdhiya hadir ke Balai Berita dengan gaya berani. Itu pun secara kebetulan mendapat cuti sehari daripada berlakon.
Sudah lama tidak bersua, pelbagai cerita mahu dikorek dengan empunya badan. Malahan kalau ada yang masih ingat Farahdhiya menarik perhatian ramai pada malam kemuncak Anugerah Bintang Berita Harian mengenakan catsuit sendat rona biru turquise daripada fabrik lycra.

Pendek kata, dia yang mesra disapa Farah ini semakin berani bereksprimentasi dengan gaya. Bukan saja gaya, sebelum ini juga Farah juga dikatakan berani dan lantang dalam bercakap. Timbul juga cerita kononnya Farah berlagak diva dan lebih teruk daripada itu, dia dituduh bermulut jahat.

Paling menjadi perhatian apabila berlaku ‘drama realiti sebabak demi sebabak’ yang muncul dan menjadi bualan tatkala dia terbabit dalam pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta buat julung kalinya di Istana Budaya, Februari lalu. Sengketa ketika dalam produksi itu dikatakan membabitkan dirinya dan beberapa pelakon yang turut beraksi sama dalam teater berkenaan.

“Saya tidak takut untuk sebarang tuduhan. Apa yang tahu saya seorang yang telus dan tidak suka berpura-pura. Kalau saya cakap tak suka, tak sukalah jawabnya. Saya bukan kaki propa dan itu memang langsung tidak menjadi diri saya yang sebenarnya.
“Saya barangkali mewarisi sikap ini daripada ibu saya (daripada keluarga orang putih). Saya lebih suka berterus terang. Itulah warna diri saya sebenarnya. Kalau orang baik dengan kita, takkan kita nak jahat pula dengannya. Begitulah sebaliknya,” katanya kepada B*POP.

Tambahnya yang kini berada di lokasi penggambaran drama untuk slot Samarinda TV3, Anissa terbitan Zeel Production, manusia di luar sana bebas menghukum tanpa usul periksa. Tapi itu tidak menjadi kekangan buatnya untuk melakukan apa yang dirasakan ingin dilakukan.

“Saya tak pernah rasa diri ini macam diva. Kerjaya saya juga menuntut aspek profesionalisme seperti kerjaya lain seperti peguam dan doktor. Cuma selepas waktu kerja, saya hanya manusia biasa yang menginginkan kehidupan normal seperti orang lain.

“Bapa saya sendiri pernah berpesan, jangan terlalu memikirkan apa orang kata hingga menghalang apa yang kita nak buat. Sebab itu, saya tidak terlalu mudah mempercayai orang. Barangkali saya susah untuk difahami. Tapi yang mengenali saya itu kenal siapa diri saya sebenarnya.

“Kalau ada orang kata saya bermulut jahat, saya sendiri tak dapat mengingati kejadian atau adegan mengatakan saya begitu. Saya bukan jenis manusia suka mengumpat dan saya pun tak ramai kawan dengan golongan artis. Saya akan jadi tak selesa dengan orang yang suka mengumpat,” katanya yang sudah tujuh tahun bergelar anak seni.

Diajak berkongsi tips kecantikan diamalkannya, Farahdhiya sedia berkongsi pandangan. Tapi jangan pula ada memandai-mandai mengatakan kecantikan dimilikinya itu palsu semata-mata. Ia sememangnya tulen.

“Saya mencuri masa untuk ke gim. Kalau tak sempat ke gim, saya akan berlari di taman di sekitar kawan rumah. kalau tidak pun saya akan bersenam menggunakan mesin treadmill di rumah saja. Saya juga lebihkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya cuba menolak makanan bergoreng. Nasi pula, sebulan sekali pun belum tentu saya akan sentuh.

“Saya bersyukur dengan apa dikurniakan Tuhan. Setakat ini, saya belum terlintas mengubah atau menggunakan apa saja rawatan komersial untuk menjadi lebih daripada apa yang sudah dimiliki. Tapi untuk masa depan, saya belum mampu menduga apa bakal terjadi. Kawan saya sendiri ada mencantikkan wajah dan kulit dengan suntikan vitamin C contohnya. Untuk saya, minta maaf dan kirim sajalah. Tengok jarum pun saya sudah naik takut,” jelasnya sambil ketawa.

Farahdhiya belum bertemu pengganti

MENGULAS mengenai hubungan dengan rakan, Farahdhiya menjelasakan, dia kini berkawan baik dengan tiga wanita yang sudah bergelar isteri. Mereka yang dimaksudkan ialah dua artis - Zizie Ezette dan Datin Illyka selain wanita bernama Jue (bukan artis). Akuinya, Zizie sudah dikenali Farah sejak 10 tahun lalu.

Malah, panggilan B terhadapnya ialah singkatan kepada Baby di kalangan mereka yang rapat dengannya, membuatkan ada yang sudah salah sangka bahawa Farahdhiya kembali di ambang bahagia. Akuinya, dia kini masih solo dan belum mempunyai kekasih.

Umum tahu percintaan Farah dengan seorang lelaki selama hampir empat tahun yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini berakhir dengan perpisahan. Tetapi Farah tetap tabah menempuhi kegagalan itu dengan tangan dan hati terbuka.

“Saya masih ada kerjaya, kawan dan keluarga yang masih memenuhi ruang lingkup hidup saya. Bersama kawan baik yang saya sebut tadi, semestinya saya paling muda dan manja. Biarpun mereka sudah berkahwin, saya tak rasa langsung pun jurang itu.

“Kalau ada masa, kami akan keluar bersama. Mereka ditemani suami masing-masing, saya pula sesekali tidak keseorangan dan akan membawa teman. Teman itu tak semestinya kekasih. Apa yang boleh saya katakan saya belum bertemu pengganti. Setakat kawan-kawan itu adalah,” katanya sambil memberi penekanan bahawa dirinya masih bersendiarian tanpa ada teman lelai istimewa.

Ungkap penyanyi lagu Kau Telah Pergi itu lagi, dia bukannya serik untuk bercinta lagi. Cintanya masih ada untuk mereka yang bergelar lelaki. Apatah lagi, dia juga cukup menyukai kanak-kanak. Namun, buat masa ini dia belum terdesak untuk memikirkan soal perkahwinan secara serius.

“Saya masih menunggu seseorang untuk membuka hati saya kembali. Saya bersyukur dan yakin setiap apa yang terjadi termasuk perpisahan lalu memberi ruang untuk saya mencari lelaki lebih baik daripada sebelumnya. Yang lalu biarlah berlalu. Bayangkan dalam tempoh sembilan tahun, saya melalui tiga fasa percintaan yang kecundang di tengah jalan. Dalam tempoh itu, empat tahun saya bercinta dengan seseorang kemudian putus. Kemudian setahun pula dan terbaru hampir empat tahun.

“Ibaratnya saya rasa seperti membazir masa. Saya letih untuk melalui benda sama. Tapi itulah rentak perjalanan kehidupan. Saya sendiri tidak sabar menjadi ibu dan ada anak sendiri. Harapnya lelaki yang saya bakal temui nanti akan sehidup semati dengan saya,” katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama Puteri Santubong untuk siaran RTM.

INFO: Farahdhiya
  • Belum ada rezeki berlakon filem. Tapi akui Farahdhiya selalunya disebabkan faktor masa dan komitmen diberikan kepada medium TV, dia terpaksa melepaskan tawaran berlakon filem.
  • Dia memang teringin berlakon filem kerana bidang itu saja belum dipenuhinya. Selain menyanyi, dia juga pernah menceburi bidang pengacaraan.
  • Teruja menanti kemunculan telefilem, Mat Latah kerana buat pertama kalinya dia perlu menjadi gadis melatah.
  • Dalam hal nyanyian pula, dia sudah menandatangani kontrak selama setahun dengan Millenium Art Sdn Bhd dan dijangka muncul dengan album memuatkan lima lagu. Namun disebabkan kesibukannya dalam lakonan, Farah belum sempat melunaskan baki dua lagu lagi.
  • Akui Farahdhiya, Fasha Sandha cukup meminati lagu Kau Telah Pergi dan tidak kisah untuk tampil sebagai model klip video lagu itu.
  • Pandai memasarkan dirinya untuk tidak terikat dengan sebuah stesen TV saja. Wajah dan bakat lakonannya menjadi pilihan TV3, Astro dan RTM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: