Sunday, June 5, 2011

CSR Ikhlas Kifayah dan keranda mudah alih


Inilah keranda mudah alih yang merupakan produk terbaru Dunia Kifayah untuk tahun 2011.


BERMULA Januari 2011, Dunia Kifayah juga menjalankan satu program berbentuk pelaksanaan tanggungjawab sosial bagi pihak syarikat korporat yang sebelum ini banyak menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lumrahnya, pihak yang terlibat menyediakan sumbangan sama ada dalam bentuk keperluan sasaran yang mereka pilih, wang tunai, bantuan makanan, pakaian, kelengkapan persekolahan dan bermacam-macam lagi.

Namun Dunia Kifayah cuba membawa satu idea baru dan unik dari segi bentuk sumbangan iaitu Kit Lengkap Pengurusan Jenazah Kifayah.

Jasri berkata, mungkin ia satu idea yang agak pelik bagi mereka yang pertama kali mendengarnya tetapi kalau difikirkan, kit ini hakikatnya diperlukan oleh premis tertentu.

"Para penyumbang boleh memilih mana-mana masjid atau surau ataupun tempat yang dirasakan bersesuaian seperti di rumah-rumah anak yatim dan sebagainya untuk pihak kami cuba sampaikan sumbangan kit tersebut.

"Program ini kami namakan IKHLAS KIFAYAH dan sebelum ini kami ada membuat kerjasama dengan Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru UDA. Para penderma atau penyumbang berpeluang membuat sumbangan Kit Lengkap Pengurusan Jenazah Kifayah kepada mana-mana masjid, surau atau badan khairat yang mereka pilih sendiri," kata Jasri.

Sumbangan yang dihulurkan layak mendapat pengecualian cukai Di Bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pada tahun ini, atas respons dan permintaan beberapa pengendali jenazah Dunia Kifayah telah mengilhamkan produk terbaru iaitu keranda yang boleh muat dalam bonet kereta.

"Ini kerana kita dapati tanah perkuburan di Malaysia ini ia mempunyai pelbagai jenis tanah. Di Johor Bahru, tanah perkuburannya tidak sesuai menggunakan keranda kerana tanahnya keras atau kita sebut tanah bukit.

"Jadi kita hanya perlukan sekeping papan, masukkan ke dalam liang, kemudian tutup dan kemudian dikambus dengan tanah.

"Berbeza di Pontian dan Muar di mana di sana kebanyakan adalah bertanah gambut dan tanah berpasir. Jadi kita cipta keranda yang bukan sahaja mudahkan kerja-kerja pengkebumian tetapi uniknya keranda ini ialah ia boleh dimasukkan ke dalam bonet kereta.

"Apabila hendak digunakan, dipasang serta saiznya sesuai untuk bentuk tubuh orang Asia serta kukuh kerana turut disediakan dengan skru-skru khas," jelas Jasri.

Pada awal Januari tahun ini juga, Dunia Kifayah turut menyediakan perkhidmatan berasingan berkaitan pengurusan jenazah seperti; memandikan jenazah, mengkafankan, van jenazah, papan kubur, bacaan talkin, kayu nisan, penggali kubur, bunga rampai dan khemah.

"Ini mungkin bagi kawasan perumahan baru, yang kebiasaannya masih belum dilengkap dengan pelbagai aspek kemudahan pengurusan jenazah. Jika ada pun yang tahu selok-belok pengurusan jenazah tetapi mungkin bilangannya tidak ramai berbanding ramai yang tidak tahu.

"Di samping itu perkhidmatan dalam bentuk pakej juga disediakan, di mana terdapat dua jenis pakej iaitu; pakej Firdaus dan pakej Jannah. Selain itu ditawarkan juga pakej kenduri arwah dan doa selamat.

"Kesemua perkhidmatan ini tidaklah terlalu mahal berbanding dengan yang ditawarkan oleh konsortium yang banyak berlegar-legar di hospital-hospital," katanya.

Sebarang pertanyaan, pembaca bolehlah menghubungi talian 013-720 4050, 07-232 7525 atau layari www.kifayah.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: